Ayra membuntuti Cikgu Salmah ke kantin. Pertandingan melukis sepanduk akan bermula sebentar lagi. Pertandingan tersebut adalah salah satu acara bagi mengisi Bulan Penghayatan Kemerdekaan yang diadakan setiap tahun bermula pertengahan Ogos dan berakhir pada pertengahan September. Selain pertandingan melukis sepanduk, turut diadakan pertandingan mewarna, pertandingan mendeklamasi sajak, pertandingan nyanyian lagu patriotik serta pertandingan kuiz.
Pemenang setiap pertandingan akan menerima hadiah masing-masing semasa majlis penutupan. Program diadakan bagi menyemai semangat patriotik dalam diri murid-murid selain menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi negara tercinta.
"Cikgu! Cikgu kumpulan kami."
Dania, murid tahun lima mengangkat tangan. Dia dan ahli kumpulannya yang lain sedang duduk mengelilingi meja.
Ayra dan Cikgu Salmah bergerak menuju ke arah Dania dan ahli kumpulannya. Mereka adalah guru penasihat kumpulan tersebut. Para pelajar tahap dua telah dibahagikan kepada sepuluh buah kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai tujuh orang ahli termasuk ketua. Dua orang guru penasihat dipilih secara rawak bagi membimbing murid-murid menghasilkan sebuah sepanduk tentang kemerdekaan negara.
"Ahli kumpulan cukup?" Ayra mengajukan pertanyaan pada Dania selaku ketua kumpulan.
"Seorang tak datang, cikgu."
"Siapa?"
"Hamizah, murid tahun empat. Dia demam."
"Okey, tak apalah. Enam orang pun kerja tetap boleh jalan, kan?"
"Boleh, cikgu!" balas ahli kumpulan serentak yang kelihatan cukup bersemangat untuk menghasilkan sepanduk.
"Dah berbincang dah nak lukis apa?" tanya Cikgu Salmah.
"Dah cikgu," balas Dania.
Dia segera memberi penerangan tentang idea ahli kumpulannya.
"Apa kata di setiap penjuru kamu lukis sekuntum bunga raya?" Cikgu Salmah memberi cadangan.
Ahli kumpulan terus berbincang lalu mencapai kata sepakat. Mereka bersetuju untuk menghias penjuru sepanduk dengan sekuntum bunga raya, bunga kebangsaan negara Malaysia.
Sebentar kemudian, ketua-ketua kumpulan dipanggil Cikgu Farid, guru yang bertanggungjawab menguruskan program melukis sepanduk. Mereka diminta untuk mengambil kain putih yang telah dipotong dua meter, tiga botol warna air yang terdiri daripada warna-warna asas dan beberapa batang berus. Cikgu Farid memberi arahan dan beberapa peraturan yang wajib dipatuhi. Setelah semuanya bersedia, barulah murid-murid dibenarkan melukis sambil diawasi guru penasihat masing-masing.
"Bila nak jemput Kak Sal makan nasi minyak?"
Ayra tersentak diajukan soalan cepu emas.
"Isy, nasi minyak apa pulak ni Kak Sal?"
"Alah, senang cakap, bila Ayra nak dirikan rumah tangga?"
Dahinya berkerut seribu. Tak ada angin, tak ada ribut, kenapa soalan tersebut terpacul dari mulut Cikgu Salmah?
"Tak faham lagi?" Cikgu Salmah dengan mata bulat tersenyum-senyum memandang Ayra.
"Faham... belum fikir lagi semua tu kak."
"Hmm yelah tu. Bila? Hujung tahun ni ke?"
"Isy, Kak Sal ni... nak kawin macam mana... calon pun belum ada lagi."
"Hmm... yelah tu." Cikgu Salmah senyum-senyum lagi.
"Yang sama-sama makan kat kedai tu siapa?"
Pipinya terus kemerah-merahan. Tersentap urat sarafnya dengan pertanyaan Cikgu Salmah. Sama-sama makan kat kedai? Siapa lagi kalau bukan Dean. Ayra yakin Cikgu Salmah ternampak dia makan bersama Dean tempoh hari.
"Kuala Kangsar ni kecik aje Ayra."
"Tu kawan biasa je Kak Sal."
Ayra membetulkan tanggapan Cikgu Salmah. Dia berharap Cikgu Salmah tak buka cerita tersebut sehingga ke pengetahuan guru-guru lain.
"Cikgu jugak ke?"
Ayra angguk kepala.
"Kami sama kelas kat IPG."
"Eloklah tu Ayra. Kalau dah berkenan, jangan tangguh-tangguh lagi. Nanti disambar orang lain. Lagipun, banyak gadis yang tak kawin sekarang tau, sebab memilih sangat. Orang nak, jual mahal."
Ayra hanya membisu, enggan membalas kata-kata Cikgu Salmah. Dia tidak berminat untuk membicarakan topik tersebut. Sensitif!
TQ sudi baca. Mohon vote ya utk bab seterusnya ;-)
Follow my ig : karya_zz
Like my fb page : Karya ZZ
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...