"Yahoo! Merdeka!!!"
Jerit Ayra kegembiraan setelah hanya tinggal dia dan Syidah sahaja di luar dewan peperiksaan. Sudah lama dia mengidam untuk menjerit perkataan tersebut, yang menandakan bebanan sebagai seorang pelajar sekolah menengah sudah berakhir.
Terasa seperti batu berat yang selama ini bertenggek di atas bahunya kini jatuh ke lantai lalu pecah. Lapang dadanya saat ini. Dia tak perlu lagi bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran setiap malam. Dia tak perlu lagi menahan diri untuk mengikuti siri telenovela di kaca tv. Dia kini tidak terikat lagi dengan jadual belajar yang dicipta sendiri.
Ayra pandang Syidah di sebelah. Muka sahabatnya itu moyok semacam, persis ayam berak kapur.
"Ai, ndak kau gembirakah? Peperiksaan sudah tamat. Kita ndak perlu berhempas pulas study gila-gila lagi... kita ndak payah tahan nafsu dari menonton tv lagi, membaca majalah hiburan, gosip... dan kita juga ndak payah berjaga lewat malam lagi..."
"Aku tau la ba, tapi mulai sekarang kita akan menanti dalam debar selama beberapa bulan sebelum keputusan diumumkan. Aku takutlah ba. Takut sangat Ayra."
Syidah meluahkan kerisauan di hati. Keputusan lambat lagi untuk diketahui tapi Syidah sudah rasa seram sajuk. Terasa seperti keputusan akan keluar esok hari.
Ayra tersenyum melihat Syidah yang belum apa-apa lagi dah mula risau lebih-lebih.
Mereka beriringan menuju ke kelas 5 Mesra. Keadaan lengang. Syidah lantas mengeluarkan kamera dari beg sekolahnya. Sejak petang semalam lagi, mereka sudah berpakat hendak bergambar kenang-kenangan di sekitar kawasan sekolah.
"Bawak sini kamera tu. Ambil gambar kau dulu."
Ayra menghulur tangan. Syidah menghulurkan kameranya. Dia segera berdiri di tempat duduknya yang bersebelahan tingkap. Dia suka duduk di situ sebab dapat melihat pemandangan di luar yang cantik. Puncak gunung Kinabalu yang sentiasa diliputi awan itu menjadi pilihannya untuk menghayati keindahan alam.
"Kenapa muka kau masam saja ni. Senyum ba."
Syidah mengukir senyum paksa.
"Senyum lagi Syidah."
"Macam mana mau senyum kalau hati aku ni resah. Banyak soalan yang aku ndak dapat jawab ba. Padanlah dengan muka aku, study last minute lagi!"
"Tiga bulan Syidah... lambat lagi ba. Sepanjang tempoh tiga bulan ni ndak payahlah kau takut. Come on Syidah. Kata mau enjoy lepas habis belajar. Ingat lagikah janji kita dulu? Kita mau pergi semenanjung, bekerja di sana kan. Aku sudah ndak sabar pegang duit sendiri ba."
Dalam fikiran Ayra, sudah terbayang keseronokan bekerja dan menerima gaji di hujung bulan. Dia mahu beli macam-macam dengan duit tersebut. Pertama sekali, dia mahu membeli komputer riba.
"Kalau aku jadi kau pun, aku mau enjoy jugak. 7A dalam tangan ba."
"Amin..."
Ayra menyapu muka. Senyuman menguntum di bibirnya. Syidah turut tersenyum. Ayra segera menekan punat kamera. Cahaya terpancar.
Selesai bergambar di dalam kelas, mereka berdiri pula di luar kelas. Beberapa keping gambar diambil di kawasan koridor.
"Percubaan hari tu pun kau dapat 7A. Aku? Satu A pun ndak dapat. Huhu... sedih!"
Syidah mengesat matanya yang tak berair. Dia melabuhkan punggung di atas tangga yang menuju ke aras satu.
"Tu baru percubaan. Nanti bila keluar keputusan betul, kau dapat 10A. Ha, terkejut beruk nanti kau Syidah."
Ayra cuba menceriakan Syidah yang masih belum hilang kerisauan di hatinya itu.
"Amin... harap-harap masin la mulut kau tu."
Syidah menadah tangan dan menyapu mukanya.
Ayra tersengih dengan gelagat Syidah. Dia dan Syidah berkawan sejak kanak-kanak lagi, kemudian bersekolah rendah dan menengah di sekolah yang sama. Syidah tempat Ayra meluahkan perasaan. Syidah juga tempat dia berkongsi rahsia. Syidah sudah dianggap saudara sendiri.
"Sekarang kita posing kat pagar sekolah pulak."
Mereka terus bergerak menuju ke pintu pagar utama.
"Petang ni kita makan sayap ayam, maukah?"
Syidah memberi cadangan. Kepak ayam panggang makanan popular di situ. Ramai pelancong yang datang pasti tidak akan melepaskan peluang makan kepak ayam.
"Petang ni aku sudah janji mau tolong bapak aku di kebun. Sayur sudah boleh dipetik ba."
"Kalau kau sibuk, bila masanya kau mau jumpa Adiy?"
Berkerut dahi Ayra. Setahunya, Adiy sekarang berada di Kuala Lumpur.
"Eh, dia mana ada di sini. Dia masih di KL. Belum cuti lagi ba."
"La... ndak kau tau, dia ada di sinilah."
Syidah renung tajam wajah Ayra. Terkebil-kebil Ayra mendengar berita yang disampaikannya. Ayra tidak tahu kedatangan Adiy di Kundasang. Pelik!
"Betul kau ndak tau atau kau buat-buat ndak tau?"
Ayra menggeleng kepala. Langsung dia tak tahu Adiy berada di situ sekarang. Rasa terkilan di hati kerana Adiy tidak memaklumkan kedatangannya.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
Roman d'amourAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...