Shahin Adiy menjemput Ayra seperti yang dijanjikan. Mereka terus menuju ke Ipoh.
"Kalau kau nak, kita boleh adakan satu majlis perkahwinan. Aku baru terfikirkannya semalam."
"Buat majlis? Kau gila ke?" Ayra tak bersetuju dengan cadangan Shahin Adiy yang tak masuk akal.
"Yelah... hari tu kita nikah saja. Kenduri belum buat lagi. Kau pun mesti nak naik pelamin, kan? Jadi raja sehari, sekali seumur hidup."
"Jangan nak bergurau."
"Tak salah, kan? Kita nak buat majlis kat mana?"
Ayra angkat bahu. Dia tak pernah fikir nak adakan majlis perkahwinan.
"Kita buat kat hotel area KL, okey tak?"
Hotel? Tak meriah kalau buat kat hotel. Lebih baik buat kat kampung. Ayra teringat majlis kenduri kahwin yang pernah dihadirinya di kampung. Sangat meriah!
"Kau macam tak setuju. Kau nak buat kat sini ke?"
'Kuala Kangsar? Gila ke apa. Di sini tak ada sesiapa. Takkanlah nak buat majlis di rumah sewa? Tak manis. Sekurang-kurangnya orang tua mesti ada bersama dalam mengatur majlis.'
"Kenapa diam saja ni?"
"Aku belum bersedia. Bagilah aku masa. Entahlah, aku rasa semua ni satu mimpi."
"Aku faham. Dah bertahun kita berpisah. Kau pasti rasa janggal bila bersama aku. Tapi aku yakin perasaan tu lama-kelamaan akan hilang. Dan perasaan sayang, yang tiada lagi di hati kau untuk aku, juga perlahan-lahan akan lahir. Kita bersabar dan kita akan semai perlahan-lahan perasaan tu."
Terharu Ayra mendengar kata-kata Shahin Adiy. Walaupun dia bagai tunggul kayu, Shahin Adiy tetap bersabar. 'Aku sepatutnya bersyukur. Shahin Adiy sudah berubah. Shahin Adiy ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Kenapa aku pulak sukar untuk menerima? Sombongkah aku? Apa lagi yang aku cari dalam hidup ini?'
"Kita buat majlis di kampung."
Ayra buat keputusan. Kalau nak adakan majlis perkahwinan, kampung adalah tempat yang paling sesuai.
"Kampung mana?"
"Tanya lagi, mestilah Kundasang."
Ayra dah tak sabar nak balik kampung dan bertemu dengan keluarganya di sana. Dia amat merindui mereka. Mereka juga pasti merinduinya.
"Kenapa kau nak buat kat sana? Kau kan dah tak tinggal sana. Aku dan keluarga aku pun dah berhijrah ke sini. Aku rasa kalau kita buat kat sini lagi meriah."
"Kalau buat kat sini, bapak, mak dan adik-adik payah nak datang. Jauh. Tambang pun mahal."
Shahin Adiy terkenang keluarga mentuanya. Sudah lama dia tak menziarahi mereka. Kali terakhir dia bertemu mereka sekitar tiga tahun lalu. Janjinya untuk membawa pulang Ayra menyebabkan dia tak menjejakkan kaki ke Kundasang lagi. Tapi sekarang, Ayra sudah berada di depan mata. Shahin Adiy tidak sabar hendak membawa isterinya pulang bertemu keluarganya.
* * *
Ayra biarkan teh di dalam uncang kembang dulu sebelum masukkan susu sejat. Azan maghrib dari surau berdekatan sedang berkumandang. Nadira dan Syafiqah masih belum pulang. Nadira keluar bertemu dengan rakan lama yang baru dikesan dalam facebook. Syafiqah pulak macam biasa. Keluar ke rumah saudaranya.
Macam tak percaya dia bila dengar cerita tentang Syafiqah. Menurut Shahin Adiy, Syafiqah cuba menggodanya! Sebab itulah Shahin Adiy mengesyorkannya supaya berpindah segera dari rumah sewa tersebut. Shahin Adiy bimbang jika dia terus tinggal serumah dengan Nadira dan Syafiqah, yang Shahin Adiy percaya kedua-duanya boleh mendatangkan bahaya kepadanya.
'Aku akan fikirkannya.' Ayra menggosok-gosok telapak tangannya.
"Menung apa tu Kak Ayra?"
Hampir terpelanting sudu di tangan. Syafiqah menegurnya tiba-tiba. Kus semangat.
"Bila sampai?" Ayra langsung tak sedar kepulangan Syafiqah.
"Baru je. Kak Ayra bancuh air ke?"
"Ya. Iqa nak tak?"
"Boleh juga. Terima kasih ye Kak Ayra."
Syafiqah terus membuka kunci pintu bilik. Ayra perhati gerak-geri Syafiqah. Nampak biasa saja. Penggoda? Mustahil!
Tutur bicaranya lemah lembut. Gerak-gerinya sopan santun. Setiap kali berbicara, bibirnya sentiasa mengukir senyum, seolah-olah langsung tiada masalah dalam dirinya. Ramai jugak cikgu lelaki yang ingin mendekatinya. Sayangnya, semua tak berjaya. Sebabnya, Syafiqah sudah ada yang punya. Kalau sudah berpunya, mustahil Syafiqah masih ingin menggoda lelaki lain.
Mungkin Shahin Adiy tersalah tafsir dengan kelembutan Syafiqah. Ada-ada saja. Ayra tersenyum, geleng kepala. Shahin Adiy sebenarnya mahu dia berpindah segera dari rumah tersebut.
Nota Penulis : Terima kasih yang mengikuti MDIC. Saya hargai kesetiaan anda menunggu bab baru. Terima kasih juga yang memberi komen.
Macam biasa, I need 12 vote utk bab seterusnya.
Bab 61 - Nadira syak seseorang menjalin hubungan dengan bekas tunangnya. Siapakah dia?
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...