Shahin Adiy mengeluarkan beberapa helai baju T dan seluar jean dari dalam almari. Dia hulurkan kepada Ayra. Ayra melipat dan menyusun pakaian Shahin Adiy ke dalam beg.
"Kita tinggal kat hotel dulu."
"Tak payahlah. Kau hantar aku ke stesen bas je. Kau tak payahlah bazir duit duduk di hotel. Mama tak halau kau, dia halau aku sorang je."
Ayra semakin dihenyak rasa bersalah. Dia tidak berniat hendak menggugat perhubungan seorang ibu dengan anaknya.
"Kau tu isteri aku. Takkan aku nak biar kau keluar sorang diri. Sini KL. Bahaya perempuan jalan sorang diri." Ujar Shahin Adiy yang tak sanggup lagi untuk kehilangan Ayra.
Suka duka biarlah mereka lalui bersama-sama.
"Tolong ambil sikat atas almari tu."
Ayra bangun menuju ke almari solek.
"Tapi mama ibu kandung kau. Kau kena hormat dia. Kau tak boleh derhaka pada dia."
Ayra menghulurkan sikat. Inilah yang tak sanggup Ayra hadapi. Andai kehadirannya membuatkan keluarga Shahin Adiy berpecah belah, dia rela mengundur diri. Dia tidak mahu masalah menjadi lebih besar hingga tak terkawal.
"Aku hormat pada mama. Aku tak pernah derhaka pada mama. Tapi kalau mama salah, takkan aku nak berdiam diri saja."
Shahin Adiy zip beg. Dia sudah selesai mengemas. Dia mengangkat beg atas katil. Pemegang ditarik.
"Jom."
Shahin Adiy dan Ayra meninggalkan bilik. Ayra terpaksa turuti kehendak Shahin Adiy walaupun dia tidak bersetuju dengan cadangan suaminya untuk menginap di hotel. Dia lebih suka jika lelaki itu menghantarnya ke stesen bas.
"Jangan pergi."
Datin Fadhilah menahan di ruang tamu. Dia tidak sanggup kehilangan anak lelakinya. Shahin Adiy tidak bersalah dalam hal ini. Dia telah termakan tipu helah Ayra.
"Adiy takkan pergi kalau mama benarkan Ayra tinggal di sini."
Datin Fadhilah memandang Ayra. Dia menahan sabar hanya kerana anak lelakinya.
"Benarkan aku bercakap dengan anak aku."
Ayra akur. Dia segera meninggalkan Shahin Adiy dan Datin Fadhilah. Ayra menuju ke garaj. Dia menunggu Shahin Adiy di situ. Dia berharap agar ada jalan penyelesaian nanti.
"Kau kena buka mata hati kau tu luas-luas. Jangan dengan mudahnya kau lupakan apa yang dia dah buat pada kau."
"Ayra tak ada buat apa-apa pada Adiy mama. Adiy yang banyak menyakiti hati dia selama ni."
"Tak ada buat apa-apa? Kau dah lupa ke? Kerana dialah perut kau tercucuk pisau yang hampir meragut nyawa kau. Marcos pulak hilang ingatan! Kau boleh cakap dia tak buat apa-apa?"
"Mama, apa yang menimpa Adiy dengan Marcos tu satu kemalangan. Berapa kali Adiy nak ulang mama?"
"Kalau kemalangan, kenapa dia mesti lari tinggalkan kau? Mujurlah mama sampai tepat pada waktunya. Kalau tidak, entah apa yang akan berlaku pada kau... Marcos..."
"Adiy yang bersalah. Kalau bukan kerana Adiy layan dia teruk, kurung dia kat rumah tu, Ayra takkan lari mama."
"Dia lari sebab dia takut dengan kesalahan yang dia dah buat. Dia buat kau hampir kehilangan nyawa. Dia buat Marcos hilang ingatan. Itulah, mama dah suruh kau buat laporan polis, tapi kau tak nak. Degil!"
"Mama, Ayra larikan diri sebab salah Adiy. Apa yang telah berlaku tu satu kemalangan. Bukan salah Ayra. Adiy kan dah terangkan pada mama."
"Memang kau dah terkena Adiy. Sampai kau langsung tak nampak sikap sebenar budak perempuan tu."
"Mama yang harus buka mata. Kenali Ayra dengan hati mama, bukan dengan pandangan luaran. Adiy pergi dulu."
Shahin Adiy menunduk mencium tangan Datin Fadhilah. Dia terus melangkah keluar.
"Mama tak pernah halau kau."
Air mata bergenang di kelopak mata Datin Fadhilah. Pedih hatinya bila melihat anak lelaki kesayangannya itu melangkah pergi. Dia tidak akan biarkan Shahin Adiy terus tertipu dengan lakonan isterinya. Dia akan mendapatkan Shahin Adiy kembali.
"Jom gerak sekarang." Shahin Adiy meletakkan beg di tempat duduk belakang. Dia terus masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan suis enjin.
"Kau tak perlu lakukan semua ni. Aku yang rasa bersalah. Kerana aku hubungan kau dan mama jadi renggang." Ujar Ayra yang terus-terusan merasa bersalah kerana turut mengheret Shahin Adiy dalam sengketa yang berlaku di antara dia dan Datin Fadhilah.
"Tak payahlah kau nak rasa bersalah. Tahulah aku pujuk mama nanti. Aku faham sangat dengan perangai dia tu. Lama-lama okeylah tu. Mama tu ego je lebih."
Ayra mengehela nafas. Dia pejamkan mata. 'Kenapa Datin Fadhilah benci sangat pada aku?'
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
Roman d'amourAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...