Majlis perkahwinan telah selesai dijalankan. Hampir kesemua tetamu yang dijemput hadir kecuali rakan-rakan di semenanjung. Mereka mendesaknya supaya mengadakan majlis di Kuala Lumpur pula. Shahin Adiy belum ada perancangan untuk mengadakan majlis perkahwinannya sekali lagi di Kuala Lumpur. Dia tidak mahu mengundang masalah dengan ibunya. Datin Fadhilah pasti tidak bersetuju andai dia mahu mengadakan majlis di Kuala Lumpur.
"Cuti tinggal tiga hari lagi. Dah tak sempat nak pergi bulan madu. Tangguh hingga cuti tahun baru Cina tahun depan boleh, sayang?"
"Ayra tak kisah bulan madu ke tak. Dah dapat balik sini pun cukup dah. Happy sangat." Ujar Ayra. Matanya melekat pada skrin kamera DSLR Nikon D90. Di leka memerhati gambar-gambar perkahiwnan yang diambil oleh adik iparnya.
"Mana boleh. Setiap pengantin mesti pergi bulan madu."
Shahin Adiy mengaktifkan Apple iPad 2. Dia mahu memasukkan gambar-gambar perkahwinannya ke dalam facebook. Rakan-rakan yang tidak berkesempatan sudah tidak sabar hendak melihat gambar majlis perkahiwnannya.
"Kita dah lama nikah. Tak pergi pun tak apa abang."
"Isy, abang nak jugak kenangan bulan madu tu. Ayra nak ke mana? Kita boleh buat perancangan awal."
"Pergi ke pulau pun okey jugak. Pulau Tioman ke... Langkawi ke..."
"Yang tu tiap-tiap tahun kita boleh pergi." Shahin Adiy ketawa.
"Abang nak ke mana? Ayra ikut saja."
"Kita pergi jauh sikit. Kita ke Rome, Itali. Nak tak?"
"Rome? Ish, jauhnya. Takutlah." Ayra terus menolak cadangan suaminya.
"Apa yang nak ditakutkan. Bukan Ayra pergi sorang. Abang ada."
"Kita orang Islam. Orang Barat anti pada kita."
Shahin Adiy tergelak mendengar komen Ayra.
"Kita bukan nak duduk sana. Kita pelancong. Kerajaan Itali takkan nak sekat pulak. Dia orang jugak yang dapat duit hasil daripada industri pelancongan."
Sedikit lega Ayra mendengar kata-kata Shahin Adiy. Dia belum pernah ke luar negara seumur hidupnya. Sebab itulah dia merasa sedikit cuak. Berbeza dengan Shahin Adiy. Lelaki itu selalu ke luar negara atas urusan kerja.
"Bahaya ada di mana-mana, dalam negara mahu pun di luar negara. Kita kena sentiasa berwaspada. Itu yang penting."
Kata-kata Shahin Adiy membuatkan Ayra teringat pada Nadira. Gadis itu yang menjadi ancaman kepadanya kini sudah berada di tangan pihak berkuasa.
"Apa cerita Dira sekarang?"
"Dengarnya dia sudah diikat jamin. Kak Sya ada hubungi abang melalui facebook. Dia hantar pesanan. Satu tu dia mintak abang tangguhkan majlis perkahwinan kita tapi abang tak ambil peduli. Satu lagi dia tanya soal Dira. Mereka dapat tahu melalui surat khabar. Mereka pun tak sangka Dira sanggup buat macam tu. Nampak macam mama dan Kak Sya tak tahu rancangan Dira tu. Apa pun kita tunggu polis siasat kes ni hingga selesai."
"Ayra risau dia akan balas dendam pada Ayra. Dia tak akan berputus asa selagi rancangannya belum berjaya."
"Insya-Allah tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku lagi. Ayra tinggallah dulu dengan Ila dan Aisyah. Risau jugak abang kalau Ayra tinggal sorang diri kat rumah sewa tu."
"Ayra pun dah tak berani nak duduk sorang lagi. Kita hentikanlah menyewa rumah tu."
"Tengok dulu macam mana. Susah jugak kalau tak ada rumah sewa tu. Bila abang datang nanti, takkan kita nak bermalam kat hotel saja."
Shahin Adiy masuk ke akaun facebooknya. Terdapat makluman penerimaan mesej baru. Shahin Adiy segera membuka peti mesej.
Syamila Aqilah menghantar pesanan lagi.
Mama strok.. Pulang segera.
Berderau darahnya membaca pesanan tersebut.
"Kita kena pulang segera." Shahin Adiy bingkas bangun lalu mencapai beg pakaian di atas almari.
"Kenapa?" soal Ayra yang terpinga-pinga.
"Mama strok."
Terkejut Ayra mendengar berita tersebut. Dia segera tutup kamera. Dalam hati dia berdoa agar Datin Fadhilah selamat.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...