Pelbagai cara dilakukan Ayra untuk mengelak daripada bertemu dengan Shahin Adiy. Dia mencipta pelbagai alasan dengan menghantar pesanan kepada lelaki itu. Demam, sakit perut, pening kepala dan pelbagai masalah kesihatan lagi. Namun, alasan-alasan itu membuatkan Shahin Adiy tak sabar hendak bertemu dengannya. Shahin Adiy mahu membawanya ke klinik! Sudahnya, Ayra terpaksa menyambut kedatangan Shahin Adiy.
Shahin Adiy masih dalam perjalanan. Dia memandu ke Kuala Kangsar. Dia tak peduli dengan alasan-alasan yang diberikan Ayra. Dia tetap mahu jumpa Ayra. Dia amat memerlukan Ayra sekarang. Hatinya merasa tenang bila di samping isterinya. Buat kali keduanya, dia telah jatuh cinta pada wanita yang sama!
Ayra resah. Sekejap-sekejap dia melihat jam dinding. Shahin Adiy mengirim mesej memaklumkan yang dia sudah melepasi tol Kuala Kangsar. Shahin Adiy juga memaklumkan yang dia akan menjemput Ayra di rumah sewa. Cepat-cepat Ayra menghalang.
Ayra mengarahkan Shahin Adiy supaya menunggunya di simpang. Tak elok jika Shahin Adiy menjemputnya di rumah. Sudahlah Nadira sedang dalam kesedihan sekarang. Dia tidak ingin menambah kesedihan Nadira lagi.
"Nak ke mana?"
"Keluar, jumpa kawan."
Ayra membetulkan tudung. Nadira terbaring atas katil sambil memeluk teddy bear warna merah jambu. Dia sedang melayan perasaan atau mungkin sedang mengatur strategi untuk menawan hati Shahin Adiy kembali.
"Kawan? Kawan kau yang mana satu?"
Nadira yakin bukan Dean yang dimaksudkan Ayra. Kalau Dean, pasti Ayra tidak akan menyembunyikan nama kawannya itu.
"Buah hati ya..."
Nadira mengusik bila dilihatnya Ayra senyap saja. Ayra hanya tersenyum. Shahin Adiy bukan buah hatinya.
"Kawan biasa saja."
"Hmm... yelah tu. Balik dating jangan lupa cerita kat aku ye."
"Okey. Itu pun kalau ada cerita yang menarik."
Ayra mencapai beg tangan lalu meninggalkan bilik. Dia menarik nafas lega. Mujurlah Nadira tak menanya banyak soalan.
"Eh, nak ke mana Kak Ayra?"
'Aduh, Syafiqah pulak! Aku belum selamat lagi rupanya.'
"Jumpa kawan."
Ayra mengeluarkan kasut dari rak.
"Abang Dean ye..."
Ayra tak mengiakan atau menidakkan. Biarlah Syafiqah berteka-teki. 'Jangan ekori aku sudahlah.'
Dengan berpandukan cahaya lampu jalan, Ayra menapak ke simpang. Kepalanya serabut memikirkan tujuan Shahin Adiy hendak bertemunya dengan malam itu. Sampai dah tak boleh nak tunggu esok. Pasti ada hal penting. Kalau berkaitan dengan Nadira, Ayra tak akan masuk campur. Biarlah Shahin Adiy dan Nadira selesaikan sendiri perbalahan antara mereka.
Ada sebuah Honda Jazz di simpang. Ayra cepat-cepat menghampiri kereta lalu membuka pintu. Shahin Adiy sedang melayan lagu.
"Lewat dua minit."
"Aku datang jugak. Jom."
Malas Ayra hendak melayan ketegasan Shahin Adiy yang tak bertempat. Sepatutnya lelaki itu bersyukur sebab dia muncul jugak akhirnya, bukannya merungut hanya kerana dia lewat dua minit.
"Aik, dah tak sabar ke?"
"Tak sabar nak tahu kenapa kau nak sangat jumpa aku. Sampai dah tak boleh tunggu esok ke, lusa ke, cuti hujung minggu ni ke."
Ayra membebel. Satu kerjanya tertangguh gara-gara memenuhi permintaan Shahin Adiy. Sepatutnya, dia berada di rumah sekarang untuk menyiapkan kad imbasan.
"Kita nak ke mana?"
Shahin Adiy meminta Ayra untuk memilih sendiri tempat yang sesuai untuk mereka berbual.
"Aku ikut je."
"Tempat yang romantik sikit ada tak kat sini?"
"Tempat romantik? Huh!" Ayra mencebik.
"Kat mana ye?"
"Entah, aku pun tak tahu."
"Kita ke Ipoh, nak tak?"
"Jauh tu. Aku nak balik cepat."
"Sekejap je."
Shahin Adiy terus memandu keretanya menghala ke Ipoh. Ayra menghela nafas berat. Lambatlah dia pulang ke rumah sewa nanti.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...