Part 104

915 26 0
                                    

Ayra menerima jelingan tajam daripada Nadira sebaik sahaja dia tiba di kelas. Ayra agak kelewatan kerana bermalam di luar. Baru sebentar tadi Shahin Adiy menghantarnya ke asrama. Terus Ayra bersiap secepat yang mungkin. Suhaila dan Aisyah setia menantinya. Mereka tumpang gembira apabila mendapat tahu hubungannya dengan Shahin Adiy sudah pulih.

"Keluar kejap, aku nak cakap dengan kau."

Selepas berkata-kata, Nadira terus melangkah keluar. Ayra memandang Suhaila. Suhaila mengangguk. Ayra terus melangkah keluar.

"Ada apa?" Ayra terus mengajukan pertanyaan.

"Kau ke mana semalam?"

Dengan muka yang kelat, Nadira terus mengajukan pertanyaan. Ketika pulang dari kafeteria petang semalam, dia terlihat kelibat Shahin Adiy. Hatinya berbunga-bunga kerana menyangka Shahin Adiy datang untuk menemuinya. Tapi, belum pun sempat menyapa Shahin Adiy, lelaki itu terlebih dahulu mengorak langkah menghampiri Ayra yang baru melangkah keluar dari pintu pagar.

"Perlu ke aku laporkan pada kau apa yang aku buat semalam?"

Terkejut Nadira dengan jawapan yang keluar dari mulut Ayra. Sungguh kurang ajar! Terasa ingin merenyuk kepala Ayra. Pedih hatinya bila melihat Shahin Adiy menarik tangan Ayra menuju ke kereta. Sepatutnya, Shahin Adiy menarik tangannya dan bukannya tangan Ayra. Dialah yang banyak membantu Shahin Adiy ketika Shahin Adiy terlantar di hospital. Dia juga yang paling banyak meniupkan semanga kepada Shahin Adiy ketika lelaki itu dibawa pulang ke rumah. Hampir setiap minggu dia menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk ke Kuala Lumpur semata-mata mahu membantu Shahin Adiy. Mudahnya lelaki itu melupakan segala jasa-jasanya.

"Kenapa kau keluar dengan Adiy lagi? Kau pun tahu kami akan melangsungkan perkahwinan dua minggu lagi."

"Ye ke?" Ayra tergelak kecil. "Tak pulak aku dengar dari mulut Adiy pasal perkahwinan kedua. Agaknya, kau yang terlebih berangan kut."

Nadira menggetap bibir. Sakit hatinya mendengar kata-kata Ayra. Dia mendengus lalu terus melangkah pergi. Kakinya terus membawanya pergi ke kelas kosong.

Puas hati Ayra bila melihat raut wajah Nadira apabila dia menempelak. Sesekali dia harus berani. Berani untuk mempertahankan haknya. Biar Nadira sedar, lelaki yang dikejarnya tak akan mampu dimilikinya.

Ayra yakin, andai dia tidak berkahwin dengan Shahin Adiy, belum tentu lelaki itu akan memilih Nadira sebagai calon isterinya. Gadis itu harus mengubah sikap andai mahu memiliki seseorang. Dia tidak boleh mengubah orang lain untuk memiliki apa yang dihajatinya. Sebaliknya, dia harus mengubah diri sendiri terlebih dahulu.

"Kenapa?"

Suhaila terus mengajukan pertanyaan sebaik sahaja Ayra melabuhkan punggung di sebelahnya. Risau hatinya bila Nadira mengajak Ayra keluar. Dia bimbang Nadira akan bertindak di luar jangkaan.

"Macam biasalah, dia cuba nak rebut Adiy dari aku."

"Tak habis-habis."

"Selagi dia tak ubah sikap, selagi itulah benda ni tak akan selesai. Dia akan cuba rebut Adiy dari aku. Entah apa pulak yang akan dilakukannya selepas ni."

"Aku harap dia masih berfikiran waras. Dengar cerita, selain tempah kad jemputan, Dira juga dah tempat pelamin dan set persalinan raja sehari."

"Hah? Apa dah kena dengan Dira ni. Segala tindakan yang dia lakukan tu, menjurus ke arah... tak payahlah aku sebut. Kau faham-fahamlah sendiri."

"Tak betul. Aku faham maksud kau. Itu yang aku risau tu. Dira dah lain macam. Berangan lebih."

"Sysss..."

Suhaila dan Ayra terus menutup mulut apabila melihat kelibat Nadira melangkah masuk ke dalam kelas. Mata dan hidungnya merah. Dia menonong terus ke tempat duduknya.

Hati Nadira hancur. Hampir 60% persiapan telah dilakukannya bagi menyambut hari bahagia bersama lelaki yang dicintai. Datin Fadhilah yang mengesyorkan kepadanya supaya membuat persiapan segera. Kononnya, Shahin Adiy sudah menfailkan perceraiannya. Dan Shahin Adiy juga tidak akan membantah segala arahannya lagi.

Nadira mengetap gigi, menahan perasaan marah.

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now