"Abang kena terbang ke Jakarta pagi esok." Ujar Shahin Adiy yang baru selesai bercakap di telefon.
Berdegup kuat jantungnya bila mendengar Shahin Adiy akan ke Jakarta. Ayra tidak mahu ditinggalkan seorang diri di rumah tersebut. Dia tidak mahu Datin Fadhilah dan anak perempuannya mengambil kesempatan ke atasnya disebabkan ketiadaan Shahin Adiy. Hatinya rasa tak sedap, seolah-olah sesuatu yang buruk akan berlaku. Peristiwa minggu lepas masih mengganggunya.
"Er, kalau abang tak pergi tak boleh ke?"
"Tak boleh sayang. Ada barang sangkut di sana. Abang nak kena uruskan segera."
Ayra menyedut nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Kalaulah dia tahu Shahin Adiy terpaksa ke Jakarta esok, sudah tentu dia tidak akan bertamu di situ. Lebih baik cuti dua hari itu dia duduk di rumah sambil menyiapkan bahan bantu mengajar.
"Kenapa ni?" soal Shahin Adiy dalam nada lembut bila dilihatnya muka Ayra muram.
"Bila abang balik?"
"Abang tak pasti. Tiga, empat hari juga abang di sana."
"Kalau macam tu, pagi esok Ayra nak balik Kuala Kangsar. Abang tak ada, rasa tak seonok pulak tinggal sini."
"Laa.... tunggulah sampai lusa. Mama ada, Kak Sya pun ada. Kalau bosan, Ayra ikutlah Kak Sya ke butik dia tu. Tak pun ajak mama shopping. Mama tu suka shopping, pantang diajak."
Ayra telan air liur. 'Habiskan masa di butik D'Syamila? Ajak mama shopping?' Dua-dua dia tak minat!
Dia tidak mahu bersama Syamila mahupun Datin Fadhilah. Ayra bingung bagaimana hendak memberitahu pada Shahin Adiy yang Datin Fadhilah dan kakaknya tidak pernah menerimanya. Mereka hanya berpura-pura depan Shahin Adiy supaya Shahin Adiy tak syak perangai mereka yang sebenar.
"Kalau Ayra malu, biar abang bagitahu mama ye." Ujar Shahin Adiy sambil mengeluarkan beg dari almari. Dia membuka beg atas katil.
"Eh, tak payahlah."
Ayra mengeluarkan pakaian yang akan dibawa suaminya ke Jakarta. Pakaian tersebut diletakkan di atas katil.
"Tugasan Ayra pun banyak lagi yang tak siap. Tak lama lagi kursus interaksi dah nak mula. Semua tugasan nak kena hantar." Sambung Ayra sambil mengira-ngira tugasan yang perlu dihantar. Lima kesemuanya. Satu pun dia belum siap.
"Ayra tinggallah sampai Ahad ye. Minggu depan, kita tak payah balik KL. Abang temankan Ayra buat tugasan ye," pujuk Shahin Adiy.
Dia tak mahu Ayra meninggalkan rumah itu esok. Apa pulak kata ibunya nanti. Dia tak ada, Ayra pun terus cabut balik. Shahin Adiy lebih suka Ayra tinggal di situ bagi merapatkan lagi hubungan Ayra dengan Datin Fadhilah.
"Pukul berapa abang gerak esok?"
"Awal pagi. Lepas Subuh dah nak kena gerak ke airport."
Ayra mendoakan agar perjalanan suaminya selamat ke Jakarta dan segala masalah dapat diselesaikan segera. Dia terpaksa akur dengan permintaan Shahin Adiy untuk duduk di rumah itu sehingga lusa. Entah kenapa terasa lama benar dia akan bertamu di rumah itu.
* * *
Selepas menghantar Shahin Adiy, Ayra ke dapur. Dia membantu Mak Onah menyediakan sarapan pagi. Mak Onah sedang menggoreng mi.
"Bila Adiy balik?"
"Katanya tiga empat hari lagi."
Mak Onah membilang hari dengan jari-jemarinya.
"Selasa atau Rabu la baru sampai sini. Lambat lagi tu. Ayra balik Kuala Kangsar bila?"
"Ingat nak balik hari ni tapi Adiy tak bagi. Dia suruh balik esok."
"Dengan bas?"
"Aah. Tak ada kereta Mak Onah. Kena la balik naik bas."
"Suruh la Adiy beli kereta. Bukan dia tak mampu."
"Beli pun nak buat apa, saya bukannya ada lesen memandu."
Ayra mengeluarkan pinggan mangkuk dari rak. Dia bercadang hendak naik teksi sehingga ke Hentian Duta pagi esok walaupun Shahin Adiy sudah berpesan kepadanya supaya meminta tolong Pak Mustafa menghantarnya. Ayra yakin Datin Fadhilah mesti tidak akan membenarkannya memohon bantuan Pak Mustafa menghantarnya hingga ke Hentian Duta.
Datin Fadhilah muncul di dapur.
"Adiy dah gerak?"
"Dah, dekat setengah jam dah dia keluar," balas Ayra.
"Adiy sempat sarapan tak?"
"Tak sempat. Adiy cakap nak sarapan kat airport."
"Sepatutnya Ayra bangun awal, sediakan sarapan untuk suami. Jangan biar suami makan kat luar selalu. Nanti kasih sayang makin renggang."
"Baik mama. Salah Ayra juga sebab terlewat bangun."
'Terlewat bangun?' Dati Jamilah mencebik. 'Cakaplah yang kau tu malas nak bangun, malas nak masak.' Datin Fadhilah membebel dalam hati. Lama-kelamaan Ayra mesti naik lemak. Mentang-mentang dapat suami orang senang!
"Kak Onah masak apa?"
"Mi goreng."
"Mi goreng saja ke?"
"Kuih seri muka pun ada."
"Ha Ayra, belajar masak dari Mak Onah ni. Jangan tengok saja."
"Baik mama."
Datin Fadhilah meninggalkan dapur. Hati Ayra merasa lega bila kelibat Datin Fadhilah sudah tidak kelihatan lagi. Satu perasaan aneh timbul apabila dia bersama Datin Fadhilah. Rasa benci, menyampah dan marah. Perasaan itu lahir tiba-tiba.
Ketika sedang bersarapan, Ayra telah dipelawa oleh Syamila Aqilah untuk mengikutinya ke pertunjukan fesyen malam nanti. Pertunjukan fesyen tersebut akan diadakan di Bukit Bintang. Ayra menolak namaun Syamila Aqilah tetap memujuknya.
"Bolehlah Ayra tengok fesyen-fesyen terkini. Mama tengok Ayra ni pakai simple saja. Tak pandai nak berfesyen. Di sana nanti, bolehlah Ayra tengok fesyen-fesyen terkini." Ujar Datin Fadhilah.
"Tak apalah mama. Ayra ke sekolah pakai baju kurung saja."
"Siapa kata guru tak boleh bergaya dan wajib pakai baju kurung saja? Mama tengok cikgu-cikgu kat sekolah Haziq rata-rata memakai baju kurung moden dengan fesyen terkini. Tambah-tambah yang sebaya dengan Ayra. Murid pun suka kalau cikgu berpakaian cantik."
Ayra terdiam dibidas secara lembut oleh Datin Fadhilah.
"Ayra tu menantu mama. Malu mama kalau kawan-kawan mama tengok Ayra yang hanya memakai baju kurung, slek dan blaus saja sepanjang masa. Apa kata dia orang nanti. Mungkin mereka fikir mama ni tak pandai ajar menantu berfesyen."
'Aku bukannya selalu ikut mama pun. Baru sekali saja teman mama shopping. Tak ada jumpa sesiapa pun. Kenapa mama nak malu pulak? Bukannya aku pakai baju tak cukup kain pun.' Ayra membebel dalam hati. Bila memakai blaus dan slek atau baju kurung dikatakan tak pandai berfesyen. Malu nak bawa ke majlis. Tapi kalau pakai pakaian tak cukup kain, dedah sana dedah sini, tak rasa malu pulak.
"Ayra temankan Kak Sya ye. Kak Sya pun tak ada teman nak ke sana malam ni. Kawan Kak Sya terpaksa tolak saat akhir. Jadi Kak Sya ingat tempat dia tu Kak Sya nak gantikan dengan Ayra. Boleh ye?"
"Ayra mintak izin Adiy dulu."
"Eloklah tu. Ayra telefon dia ye. Adiy mesti suka tu kalau tahu Ayra nak ke pertunjukan fesyen dengan Sya," ujar Datin Fadhilah.
Mi goreng tinggal separuh lagi namun Ayra sudah hilang selera. 'Kenapa aku harus hadir ke majlis yang aku tak suka? Apa aku nak buat kat majlis tu nanti?.' Dia buntu memikirkan agenda malam ini yang tentunya cukup membosankan. 'Takkan aku nak bawak novel ke majlis tersebut?' Ayra terus mengomel.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...