Part 96

787 24 0
                                    

Shahin Adiy cuba mengambil gelas di atas rak tepi katil. Namun, tangannya tidak sampai. Nadira segera mencapai gelas lalu menghulurkannya pada Shahin Adiy walaupun Shahin Adiy tidak suka dengan pertolongannya itu. Shahin Adiy keras hati. Walaupun kakinya tidak dapat bergerak, dia tetap mahu melakukan sesuatu sendiri tanpa bantuan.

"Kau ada jumpa Ayra?"

Nadira sudah bosan dengan pertanyaan Shahin Adiy. Sikit-sikit Ayra. Terlantar sakit pun masih ingat lagi pada Ayra.

"Dua hari lepas aku ada jumpa dia. Kenapa?" bohong Nadira.

"Dia sihat?"

Nadira mengangguk. Padahal, dia langsung tak tahu khabar Ayra. Dia tidak jumpa lagi dengan Ayra sejak menghadiri majlis pertunjukan fesyen.

"Kau tak ajak dia ke sini? Aku nak sangat jumpa dia."

"Ada, tapi..." Nadira melontar pandangan ke luar.

'Gila kau Adiy! Ajak dia ke sini? Tolonglah! Takkanlah aku nak bawak wanita yang dah buat hidup aku sengsara berjumpa dengan kau? Kau pun tahu kami mencintai lelaki yang sama. Melepaslah aku nanti.' Nadira mengomel.

"Tapi apa?"

"Entahlah. Ayra macam... macam tak berminat saja bila aku ajak dia ke KL hari ni." Nadira berharap lakonannya menjadi.

Berkerut dahi Shahin Adiy dengan dakwaan Nadira.

"Kau ada bagi tahu dia keadaan aku?"

Nadira mengangguk.

"Dia tak cakap apa-apa?

Nadira menggeleng. "Aku nak ke kafe. Lapar. Kau rehatlah ye."

Nadira terus bangun lalu meninggalkan bilik. Dia tidak mahu Shahin Adiy bertanya lebih lanjut mengenai Ayra. Hatinya yang sakit setiap kali nama itu meniti di bibir Shahin Adiy. Dalam keadaan sekarang pun, Shahin Adiy masih ambil berat soal Ayra. Sedangkan kehadirannya langsung tidak dihargai. Sayangnya, Shahin Adiy tak nampak semua itu. Ayra jugak yang dicarinya.

* * *

Perkhemahan unit beruniform yang berlangsung selama tiga hari dua malam di kawasan sekolah berakhir. Ayra turut serta dalam perkhemahan tersebut. Dia adalah setiausaha. Banyak kerja yang perlu diuruskannya. Arahan diterima daripada penolong kanan kokurikulum.

Ayra meletakkan beg berisi pakaian yang belum dicuci di kaki meja. Dia mengeluarkan telefon bimbit. Nombor telefon Shahin Adiy dihubungi dengan nombor telefon barunya. Namun, panggilannya yang entah ke berapa kali itu gagal lagi.

"Dapat?" tanya Suhaila.

Dia yang membelikan kad SIM baru untuk Ayra. Dia juga yang mengajak Ayra untuk tinggal bersamanya sementara waktu sehingga keadaan reda. Ayra tidak boleh tinggal seorang diri ketika masalah besar sedang melanda dirinya. Perlu ada seseorang untuk mengawasinya.

Ayra menggeleng.

"Telefon dia mesti rosak dalam kemalangan tu."

Ayra harap Shahin Adiy sudah membeli telefon bimbit baru namun masih mengekalkan nombor lama. Shahin Adiy pasti mahu menggunakan nombor yang sama kerana dia banyak kenalan perniagaan. Kalau dia tukar nombor, pasti kenalannya sukar untuk menghubunginya.

"Semalam Aisyah jumpa Dira."

"Er... mana Aisyah?" Ayra tercari-cari Aisyah namun gadis itu tidak kelihatan. "Dia ada tanya pasal Adiy tak?"

"Aisyah dah keluar. Er... kata Aisyah, Adiy... Adiy..."

"Kenapa dengan Adiy?" Ayra sudah mula rasa tak sedap hati.

"Adiy tak dapat gerak kedua belah kaki."

Tergamam Ayra bila mendengar berita tersebut. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya. Ayra menenangkan diri, mengawal emosi yang tak keruan.

"Kau yakin Dira tak bohong?"

"Itu kau kena tanya Aisyah sendiri. Tapi, ada lagi satu cerita yang tak sedap didengar."

"Apa?"

Berdebar-debar Ayra menunggu jawapan daripada Suhaila. Semoga tidak ada sesuatu yang lebih buruk menimpa Shahin Adiy. Kakinya yang tak dapat bergerak pasti banyak mengganggu kehidupan Shahin Adiy. Ayra berharap agar Datin Fadhilah segera mendapatkan rawatan fisioterapi bagi memulihkan semula kaki Shahin Adiy.

"Dira burukkan kau lagi."

Ayra menghela nafas. Dia menyangka ada berita lebih buruk mengenai Shahin Adiy. Kalau soal Nadira memburuk-burukkannya, itu sudah menjadi lumrah. Dia sudah lali. Nadira tidak akan berhenti memburuk-burukkannya selagi mulutnya boleh bercakap. Ayra hanya mampu mendoakan agar Nadira diberi hidayah oleh-Nya. Kalau setakat menasihati Nadira supaya mengubah sikap, pasti tak menjadi.

"Apa pulak cerita dia kali ni?" soal Ayra setelah bersedia untuk mendengar satu lagi cerita hebat yang dicetuskan Nadira.

"Dira tuduh kau isteri dot dot sebab kau jalin hubungan dengan Dean."

Suhaila tidak sampai hati untuk menyebutkan perkataan 'jalang'. Hati sahabatnya harus dijaga.

"Tak habis-habis."

"Dia merepek kat Aisyah, sejak Adiy kemalangan, kau langsung tak pergi jenguk Adiy. Dia juga cakap, sejak kau tahu kaki  Adiy tak dapat gerak... kau terus senyap. Kau tak nak terima suami... OKU. Tapi Aisyah dah basuh Dira cukup-cukup! Dia suruh Dira henti ganggu kau dengan Adiy. Kau tahulah perangai Aisyah, dia jenis yang cakap depan. Bengang Dira sebab Aisyah tak percaya cerita dia."

"Mujurlah Aisyah tak termakan dengan kata-kata Dira."

"Dean pun dah tak percaya dia lagi. Aku rasa sikit hari lagi, Iqa pun jauhkan diri dari dia. Orang macam Dira tu, mana boleh buat kawan. Menipu saja kerjanya."

Ayra bersyukur kerana kawan-kawannya sudah tidak termakan lagi penipuan Nadira. Dia tidak melakukan apa-apa untuk meyakinkan rakan-rakannya bahawa Nadira adalah pembohong. Masa yang menentukan segalanya.

* * *

Berita Shahin Adiy tidak dapat menggerakkan kakinya mengganggu fikiran. Ayra belum dapat memastikan kesahihan berita tersebut. Dia harus berjumpa sendiri dengan Shahin Adiy. Jika benar berita yang disampaikan oleh Nadira itu, Ayra mahu segera berada di samping Shahin Adiy. Dia ingin membantu suaminya yang tentunya menghadapi banyak kesukaran.

'Perlukan aku ke hospital sekarang?'

Kalaulah Datin Fadhilah tidak menghalangnya, pasti dia akan sentiasa berada di sisi Shahin Adiy. Dia mahu menjaga Shahin Adiy, memberi kata-kata semangat untuk lelaki itu dan menghiburkannya selalu.

Mengenang perbuatan Datin Fadhilah, Ayra jadi tawar hati untuk melawat Shahin Adiy. Dia tidak akan ke Kuala Lumpur walaupun sedih dengan apa yang menimpa Shahin Adiy. Dia sudah penat berhadapan dengan karenah Datin Fadhilah yang terlalu membencinya. Datin Fadhilah menghukumnya atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.

'Aku harus lupakan Datin. Aku harus lupakan Adiy. Aku harus lupakan apa yang dah berlaku.'

Itulah keputusannya!

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now