"Pukul berapa kau dan Dean nak bertolak ke Butterworth?"
"9.30 pagi ni. Dean kata, dalam dua ke tiga jam sampailah. Jomlah ikut sekali."
Ayra terus memujuk Suhaila yang sedang sibuk membetulkan cadar. Dia rasa tak sedap hati jika hanya dia dan Dean sahaja yang menghadirkan diri ke kenduri kahwin kakak Nadira. Gadis itu turut menjemput rakan-rakan sekelas yang lain. Kalau mereka datang, pasti mereka akan terkejut bila melihat dia dan Dean datang bersama. Bertambah yakinlah mereka yang dia dan Dean menjalin hubungan istimewa.
"Eh, tak mahulah!"
Suhaila menggeleng-geleng kepala dengan dahi berkerut. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu, membuang habuk-habuk yang melekat.
"Dira dah pesan kat aku awal-awal lagi suruh kita semua pergi. Siap pesan suruh kita bawa teman masing-masing lagi tau. Dia tak kisah kita nak bawa sesiapa pun. Tunang, teman lelaki, adik, abang, mak, ayah semua dia jemput."
Ayra terus memujuk. Dia berharap sangat Suhaila tak jadi berjumpa tunangnya dan seterusnya dapat menyertai dia dan Dean ke utara.
"Maksud Dira tu, teman lelaki la. Teringin sangat dia nak tengok tunang Ila, boyfriend aku."
Aisyah yang berdiri di muka pintu menyampuk. Dia melangkah masuk lalu terus duduk di kerusi Suhaila.
"Eh, ke situ pulak. Dia tak sebut pun teman yang kita kena bawa tu seharusnya seorang lelaki."
Ayra membetulkan tudung. Untuk ke majlis kenduri, dia mengenakan selendang dan baju kurung bunga-bunga kecil. Baju kurung tersebut baru dibelinya sebulan lepas. Dia membeli baju kurung siap jahit. Sejak melangkah ke alam pekerjaan, dia memerlukan banyak baju kurung. Dibelinya sedikit demi sedikit. Baju kurungnya sudah ada sepuluh pasang.
"Hmm... yelah tu. Aku dan Ila satu rumah dengan dia. Kami faham sangat la dengan perangai dia tu. Tak boleh orang lebih sikit dari dia."
"Aku no komen. Setakat yang aku kenal, dia kira okey la. Sesuai untuk dibuat kawan. Suka membantu. Tak kedekut."
Ayra memberi komen dari sudut pandangan positif. Nadira memang gadis yang suka membantu. Kalau dia tak faham sesuatu, Nadiralah tempat dia bertanya. Nadira tak lokek ilmu.
"Soal tu, aku pun setuju."
Suhaila akur dengan sikap murah hati yang ada pada Nadira. Gadis itulah yang selalu memenuhkan peti ais di dapur dengan beraneka makanan. Siapa nak makan ambil saja. Dia tak kedekut.
"Cuma dia tu belagak sikit. Dengan pensyarah tak pernah pun dia nak tunjuk rasa hormat. Anak orang berada la katakan."
Itu salah satu sikap Nadira yang Aisyah tidak gemar. Sukar betul untuk Nadira menunjukkan rasa hormatnya pada pensyarah apa lagi pada rakan-rakan.
"Eh, orang tua dia kerja apa ye?"
Ayra ada dengar mengenai status Nadira yang dikategorikan sebagai orang berada. Yang memusykilkan hatinya, kalau Nadira anak orang berada, kenapa masih nak bekerja dengan kerajaan atau lebih mudah, kuli kerajaan! Otaknya ligat berfikir sambil tangan memasang krongsang di bahu kanan.
"Bapa dia tu kan ada perniagaan sendiri. Mak dia pulak kalau tak silap aku Pegawai PPD."
Aisyah mencapai sebatang pen lalu diketuk-ketuk atas meja. Sejak mula berkenalan lagi, dia sudah mengajukan pelbagai pertanyaan pada Nadira. Kebetulan pula, Nadira memang suka bercerita tentang kehebatan orang tuanya. Mereka berjaya dalam bidang masing-masing.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...