Mak Onah mencari-cari Shahin Adiy. Sudah sebulan Shahin Adiy dibawa pulang ke rumah. Dia masih belum sembuh sepenuhnya. Sejak pulang, Shahin Adiy tidak banyak bercakap. Keceriaannya hilang bersama kemalangan ngeri. Mak Onah pernah ajak Shahin Adiy berbual, namun tidak berjaya. Shahin Adiy mungkin masih trauma dengan kemalangan yang menimpanya.
Tidak kelihatan sesiapa di ruang tamu. Dia berjalan ke halaman luar. Di tempat kegemaran Datin Fadhilah menikmati keindahan alam.
Mak Onah menarik nafas. Akhirnya dia bertemu dengan Shahin Adiy. Lelaki itu sedang merenung jauh. Entah apa yang berada di dalam fikirannya. Simpati Mak Onah bila melihat Shahin Adiy yang berkerusi roda sekarang.
"Puas Mak Onah cari. Di sini rupanya. Siapa bawak Adiy ke sini?"
"Adiy sendiri Mak Onah."
"Laa... kenapa tak panggil Mak Onah."
"Tak apalah. Adiy boleh buat semua ni."
"Mak Onah nak ajak Adiy makan. Mak Onah dah masak makanan kegemaran Adiy. Jom ke dapur, biar Mak Onah tolak ye."
"Terima kasih Mak Onah. Adiy belum lapar lagi."
"Tapi Adiy belum makan lagi, kan? Jomlah makan sikit. Rasa masakan Mak Onah tu. Sedap ke tak sedap..." Mak Onah memujuk.
Shahin Adiy menggeleng kepala. Seleranya hilang. Fikirannya masih belum stabil. Terganggu dengan pelbagai peristiwa aneh. Sebaik sahaja tiba di rumah, dia terus mencari bil telefon yang disimpan di dalam laci di biliknya. Dia mahu mendapatkan nombor telefon Ayra. Namun, bil-bil telefonnya tiada di dalam laci. Bila ditanya, semua penghuni rumah tersebut mengaku tidak tahu-menahu mengenai bil-bil tersebut.
Shahin Adiy mahu menghubungi perkhidmatan pelanggan syarikat penyedia telekomunikasi melalui talian telefon rumah, namun entah bila talian telefon rumah telah diberhentikan. Begitu juga dengan perkhidmatan internet.
Dunia luarnya terputus sama sekali!
Khabar isterinya amat dirindui. Dengan keadaan kakinya sekarang, dia hanya boleh berada di dalam rumah sahaja dan juga di pusat fisioterapi. Setiap pagi, Pak Mustafa akan membawanya ke sana dengan ditemani Datin Fadhilah untuk menjalani rawatan memulihkan semula kakinya supaya dapat bergerak seperti biasa.
"Macam mana kaki Adiy? Dah tiga minggu jalani rawatan, kan?"
"Okey sikit Mak Onah. Adiy dah boleh berdiri. Tapi tak boleh melangkah lagi kalau tanpa bantuan."
"Alhamdulillah. Jangan berhenti jalani rawatan tu. Dan jangan putus asa. Kaki Adiy pasti akan pulih seperti sedia kala. Oh ye Mak Onah, Mak Onah ada simpan nombor telefon Ayra?"
Mak Onah menggeleng. Telefon bimbitnya hanya menyimpan nombor telefon saudara maranya sahaja.
"Tak apalah Mak Onah. Mak Onah nak tahu tak apa yang Adiy akan lakukan bila kaki Adiy dah pulih?"
"Er..." Mak Onah menggaru kepala. "Ha, mesti Adiy nak pergi pejabat, betul tak?"
Shahin Adiy tersenyum. Dia menggeleng kepala.
"Abang Syam kan ada. Adiy tak risau sangat pasal tu. Syarikat okey di bawah pengurusan Abang Syam. Ada lagi yang lebih penting dari tu."
"Adiy nak jumpa Ayra?"
"Tepat sekali! Adiy dah tak sabar tunggu kaki Adiy ni pulih. Adiy nak jumpa Ayra. Dah lama kami tak jumpa, Mak Onah. Sejak Adiy terlantar di hospital, Ayra langsung tak datang. Adiy tak marah. Adiy faham keadaan Ayra. Selain sibuk dengan kerja, Ayra juga tak ada kenderaan." Shahin Adiy memujuk hati.
"Tak datang? Eh, dia tak jumpa jalan ke?"
Mak Onah menggaru-garu kepala. Dia teringat peristiwa tempoh hari. Ayra dalam keadaan tergesa-gesa. Nampak sangat raut wajahnya yang dalam kebimbangan dan keresahan.
"Kenapa Mak Onah?" soal Shahin Adiy.
Dia yakin Mak Onah tahu sesuatu apabila melihat reaksi wanita tersebut.
"Ayra ada datang sini."
"Bila? Bila Ayra datang sini?" soal Shahin Adiy yang dah tak sabar hendak tahu mengenai isterinya itu.
"Sehari selepas Adiy terlibat dalam kemalangan tu. Dia sampai sini dah lewat petang masa tu. Dia tanya Mak Onah, Adiy kat hospital mana. Dia dari Hospital Ipoh. Dia ingat Adiy masih kat situ. Mak Onah bagi tahu dia yang Adiy dirawat di Hospital Ampang Puteri. Lepas tu dia mintak Mak Onah telefon teksi. Masa tu telefon rumah ni belum ditamatkan lagi. Ish, takkan Ayra tak sampai hospital pulak. Dia naik teksi. Mustahil sesat."
"Ayra dengan siapa masa tu?"
"Dia sorang saja. Muka dia resah sangat, risau keadaan Adiy. Dia tanya Mak Onah keadaan Adiy tapi Mak Onah pun tak tahu. Mak Onah nak melawat tapi Datin suruh jaga rumah."
"Tak apa Mak Onah. Adiy faham. Jadi, Ayra ada datang sini?"
Mak Onah mengangguk-angguk kepala. Kasihan Mak Onah dengan hubungan Shahin Adiy dan Ayra yang terhalang oleh Datin Fadhilah. Dia berharap perbuatan Datin Fadhilah akan terbongkar suatu hari nanti.
Shahin Adiy yakin ada sesuatu yang berlaku di belakangnya. Dia akan menyiasat perlahan-lahan walaupun agak sukar untuk melakukannya dengan keadaannya sekarang.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...