"Bila Ayra balik?" tanya Shahin Adiy kepada ibunya.
"Ahad lepas."
Tiba sahaja di rumah, Shahin Adiy terus menanyakan tentang isterinya. Khabarnya langsung tak dipedulikan. Datin Fadhilah terpaksa bersabar. Sejak mengenali perempuan tersebut, perhatian Shahin Adiy ke atasnya semakin kurang. Shahin Adiy terlalu mendewakan Ayra. Sikapnya itu melukakan hati Datin Fadhilah secara senyap.
"Apasal Adiy call tak berangkat? Mesej pun tak berjawab."
"Telefon rosak agaknya."
"Pelik. Macam ada yang tak kena."
Shahin Adiy mengehela nafas. Badannya yang kepenatan tersandar di sofa. Datin Fadhilah berharap agar rancangannya untuk memisahkan Shahin Adiy dan Ayra berjaya. Ayra gagal dihubungi. Rancangannya sudah menampakkan kejayaan.
"Adiy nak ke Kuala Kangsar."
Shahin Adiy terus bangun berdiri. Dia tidak boleh duduk diam selagi khabar Ayra tidak diketahui. Dia bimbang andai sesuatu yang buruk menimpa Ayra. Mungkin Ayra jatuh sakit. Atau mungkin dia ditimpa kemalangan. Fikirannya asyik memikirkan benda-benda negatif.
Shahin Adiy keresahan.
"Adiy baru je sampai. Rehat dulu. Esok pergilah."
Datin Fadhilah tidak bersetuju dengan keputusan Shahin Adiy yang mahu ke Kuala Kangsar. Dia harus menahan Shahin Adiy untuk sekurang-kurangnya hingga esok hari. Dalam kepalanya sudah ada rancangan yang diatur. Pura-pura sakit. Ya, dia akan berpura-pura sakit pagi esok. Pasti Shahin Adiy tidak sanggup untuk meninggalkannya.
"Tak boleh ma. Adiy kena pergi sekarang jugak. Adiy bimbang keselamatan Ayra. Dia seorang diri di rumah sewa tu."
"Mama yakin Ayra tak apa-apa. Adiy rehatlah dulu ye. Mama ke dapur, buatkan air."
"Tak payah mama. Adiy nak gerak sekarang."
Shahin Adiy menyeluk saku. Dia mengeluarkan kunci kereta.
"Kenapa Adiy degil sangat ni? Mama tahu Adiy penat sekarang, tapi kenapa nak paksa diri? Bukannya dekat Kuala Kangsar tu. Buatnya accident di tengah jalan, siapa yang susah? Mama jugak!"
"Adiy yakin ada sesuatu yang berlaku pada Ayra. Dia tak pernah macam ni sebelum ni. Adiy bimbang keadaan Ayra."
"Buat apa kau nak bimbang dengan perempuan macam tu? Sia-sia saja!"
Terkasima Shahin Adiy bila mendengar kata-kata ibunya.
"Apa maksud mama? Ayra tu isteri Adiy. Mestilah Adiy bimbang."
"Isteri?" Datin Fadhilah mencebik bibir. "Perempuan macam dia tu tak layak digelar isteri. Dasar perempuan jalang!"
"Mama!"
Shahin Adiy tidak faham kenapa Datin Fadhilah harus memanggil isterinya dengan panggilan yang tak sepatutnya. Hatinya turut terhiris dengan bisa mulut Datin Fadhilah. Kalau perempuan itu bukan ibunya, pasti penampar sudah melayang ke pipi wanita itu.
"Kau tak tahu apa perempuan tu dah buat masa kau tak ada. Mama pun malu nak sebut. Kenapalah kau boleh terpikat dengan perempuan macam dia tu?"
"Ayra dah buat apa?" Berkerut dahi Adiy.
"Isteri kau tu keluar dengan jantan lain. Itu di sini. Kalau di Kuala Kangsar, mama yakin lagi keraplah dia keluar dengan jantan lain."
"Adiy tak percaya!"
"Kau nak mama buktikan? Okey. Kau tunggu sini."
Datin Fadhilah meninggalkan ruang tamu. Dia menuju ke biliknya. Shahin Adiy langsung tak percaya dengan dakwaan Datin Fadhilah. Dia kenal Ayra. Isterinya tidak akan berlaku curang kepadanya.
Sebentar kemudian, Datin Fadhilah keluar bersama sampul surat di tangan.
"Kau tengok dan nilai sendiri!"
Datin Fadhilah melempar sampul ke atas meja. Shahin Adiy mencapai sampul. Dia mengeluarkan isi di dalamnya. Dadanya berdebar-debar.
Berderau darahnya bila melihat tiga keping gambar Ayra dalam pelukan Dean.
* * *
Honda Jazz menyusuri lebuh raya utara selatan. Shahin Adiy memandu dengan kelajuan 150 km/j. Dia mahu menemui Ayra segera bagi mendapatkan penjelasan. Berat hatinya untuk percaya kata-kata Datin Fadhilah hanya dengan melihat gambar. Zaman sekarang, pelbagai teknik boleh dilakukan bagi mengedit gambar.
Ayra bukan seperti yang didakwa Datin Fadhilah. Ayra tidak akan sanggup berlaku curang kepadanya. Ayra tidak mungkin akan melakukan perkara tersebut. Shahin Adiy percayakan Ayra. Dia lebih percayakan isterinya itu daripada percaya dengan apa yang ditunjukkan oleh ibunya.
Shahin Adiy yakin Ayra dianiaya.
Keretanya meluncur keluar dari Terowong Menora sepanjang 800 meter itu. Dia semakin hampir. Sebuah kereta menghalang perjalanannya. Shahin Adiy memberi isyarat lampu tinggi supaya pemandu kereta di hadapan segera ke kiri. Namun isyarat yang diberikannya tidak diendah. Shahin Adiy terus memandu ke kiri tanpa memberikan isyarat terlebih dahulu.
Dum!
Dentuman kuat kedengaran. Honda Jazz dirempuh kuat sebuah lori.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...