Part 28

840 24 1
                                    

Ayra tak peduli walau badannya basah kuyup. Semakin cepat melangkah terasa semakin lambat pula untuk sampai ke Vila Cahaya. Nafas sudah tercungap-cungap. Ayra terus meredah kepekatan malam. Akhirnya sampai juga di pekarangan vila. Kereta Adiy tersadai di halaman. Cahaya terang-benderang dari dalam.

Ayra tercegat depan pintu rumah. Kelihatan sepasang kasut dan sepasang selipar di situ. Selipar orang tuanya tidak kelihatan.

Jantung yang berdegup semakin hilang rentak. Ayra pernah melangkah kaki ke dalam vila tahun lepas. Shahin Adiy menjemputnya untuk makan malam bersama keluarganya. Berat juga hatinya hendak menerima jemputan Shahin Adiy.

Namun Ayza meminta dia bersetuju dengan pelawaan Shahin Adiy. Kata Ayza, tak baik menolak. Ayra agak rapat dengan satu-satunya adik perempuannya itu. Apabila mahu membuat keputusan, dia sering berbincang dengan Ayza.

Ketika itu perkenalan Ayra dengan Shahin Adiy masih baru lagi. Perkenalan yang berlaku secara kebetulan. Ketika sedang melangkah pulang dari sekolah, sebuah MPV berhenti. Seorang lelaki menanyakan jalan untuk ke sebuah vila yang baru siap dibina. Vila yang baru siap dibina ketika itu hanya sebuah sahaja. Nun di kaki bukit. Kebetulan, vila tersebut tidak jauh dari rumahnya.

Ayra melukis peta ringkas, panduan untuk Shahin Adiy yang mendakwa kali pertama sampai ke Kundasang.

Semasa pulang dari vila, Shahin Adiy singgah di kedai makan. Sekali lagi Ayra bertemu dengan Shahin Adiy. Lelaki itu mengajaknya untuk makan sekali. Sambil makan mereka rancak berborak. Shahin Adiy memaklumkan yang mereka memerlukan seseorang untuk menjaga vila.

Apa lagi, Ayra terus tawarkan pekerjaan tersebut kepada Pak Sudin. Gaji sebagai penjaga vila boleh tahan. Sejak Pak Sudin melakukan dua kerja dalam sehari, barulah kehidupan keluarganya senang sedikit dari dulu.

Melopong mulut Ayra saat pertama kali melangkah masuk ke vila. Cantik! Kagum dia dengan hiasan lampu dan perabot yang ada di ruang tamu. Mewah-mewah belaka buatan kayu jati yang terkenal dengan ketahanannya dan keunikan ukirannya.

Pak Sudin selalu bercerita tentang kemewahan keluarga Dato' Jamil kepada isteri dan anak-anaknya. Ayra dan adik-adik suka mendengar cerita Pak Sudin dan mereka turut berangan hendak memiliki kemewahan seperti Dato' Jamil suatu hari nanti.

Ayra menolak daun pintu. Tak kunci! Nafas kian menyesak dada. Hati berdebar hendak tahu bagaimana keadaan bapanya.

"Assalamualaikum! Bapak! Bapak!"

Ayra memanggil beberapa kali walaupun dia tahu Pak Sudin tak mungkin menyahut panggilannya sekarang. Bapanya sedang sakit.

"Mak! Mak!"

Pun tiada jawapan. Senyap! Ayra beranikan diri lalu melangkah masuk. Susun atur perabot masih sama seperti tahun lepas. Ayra tak tahu ke mana hendak dituju. Vila Cahaya luas. Bilik pun banyak. Suara laungannya mungkin tenggelam kerana di luar hujan masih lebat.

"Mak! Mak!"

Ayra menonong, mengikut sahaja langkah kaki. Kelibat bapa mahupun ibunya belum kelihatan. Ayra melintasi sebuah bilik. Dia menolak daun pintu. Gelap! Pintu ditutup kembali. Ayra menolak pula pintu bilik berhadapan bilik yang baru dibuka tadi.

Terang!

"Mak... mak..."

Daun pintu yang ada di dalam bilik tersebut tiba-tiba terbuka. Seorang lelaki melangkah keluar dengan hanya memakai tuala. Ayra terkasima lalu segera mengalih pandangan.

"Kau? Kau buat apa di sini?" soal Adiy yang terkejut dengan kehadiran Ayra.

"Er, aku cari..."

Belum sempat Ayra menghabiskan ayat, pintu utama diketuk. Kuat! Bertalu-talu! Seolah mahu pecah!

"Kau kunci pintu?" soal Adiy.

Ayra geleng, gelabah dengan apa yang sedang berlaku. Ibu dan bapanya langsung tidak kelihatan di situ.

Adiy segera menuju ke pintu. Dia menarik daun pintu yang tidak berkunci itu. Sekumpulan lelaki tercegat berdiri dengan muka yang tidak menyenangkan.

Malam itu Ayra dan Adiy ditangkap basah!


Jemput follow my ig & fb pages

Intagram : karya_zz

FB Pages : Karya ZZ

PLEASE READ, VOTE AND SHARE. TQ :)

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now