Part 37

859 16 0
                                    

Kereta meluncur masuk ke kawasan perumahan Golden Hill. Tiba di rumah yang tidak bernombor, pagar terbuka dengan sendirinya apabila Shahin Adiy menekan alat kawalan jauh. Ayra terkulat-kulat memandang ke arah rumah tiga tingkat di depan mata.

Kepalanya terus berserabut dengan pelbagai pertanyaan. Hendak diajukan pada Shahin Adiy, pasti lelaki itu tidak akan memberi jawapan yang diinginkan.

'Rumah Dato' Jamilkah?' Ayra tidak pasti milik siapakah rumah tersebut dan apakah tujuan sebenar Shahin Adiy membawanya ke situ. Mustahil rumah keluarga Shahin Adiy. Lelaki itu pasti tidak sanggup untuk memperkenalkannya sebagai isteri kepada keluarganya. Keluarga Dato' Jamil juga pasti tidak akan menerimanya sebagai menantu.

"Turun! Kau ingat aku nak layan kau macam puteri raja? Kena buka pintu dulu baru kau nak turun?" Shahin Adiy marah-marah sambil menarik beg pakaiannya.

Ayra bengang dengan tuduhan Shahin Adiy. Tak pernah dia meminta Shahin Adiy melayannya bagai puteri raja. Yang diinginkannya sekarang ialah balik ke Kundasang segera!

Shahin Adiy sudah menghilangkan diri dalam rumah.

Ayra menolak pintu kereta dengan muka kelat. Dia berlagak biasa padahal dadanya berdebar-debar. Kalau betullah ini rumah Dato' Jamil, pasti mereka terkejut besar bila melihat dia pulang bersama Shahin Adiy. Pasti drama yang tidak menyenangkan akan berlaku.

Tidak kelihatan sesiapa di kawasan berhampiran. Kanak-kanak juga tidak kelihatan. Pagar rumah jiran kiri dan kanan tertutup rapat. Ayra tidak pasti rumah di sebelah berpenghuni atau tidak. Dia meninjau pula rumah yang bertentangan. Ada kereta pacuan empat roda tersadai di garaj. Namun tidak kelihatan sesiapa di situ.

Ayra membuka pintu belakang kereta. Dia menarik beg pakaiannya. Perlahan-lahan dia menapak ke pintu utama dengan membimbit beg pakaiannya.

"Assalamualaikum."

Ayra memerhati keadaan di dalam rumah. Kosong! Tiada sesiapa di dalam. Lengang! Rumah tersebut tidak menunjukkan yang ianya berpenghuni. Kelihatan sofa, televisyen dan meja makan serta sebuah cermin besar melekat di dinding. Perabot yang menghiasi Vila Cahaya jauh lebih menarik dan tampak mewah.

Ayra melangkah masuk. Sunyi. Diletakkannya beg pakaian di tepi sofa. Mata masih liar memerhati keadaan rumah. Ada tangga yang menuju ke atas.

Sebentar kemudian Shahin Adiy muncul bersama gelas di tangan.

"Mana keluarga kau?"

"Kau jangan harap aku akan bawa kau jumpa dengan keluarga aku!"

Shahin Adiy melabuh punggung di sofa. Dia mencapai alat kawalan jauh.

"Ini bukan rumah keluarga kau?"

Ayra sekadar inginkan kepastian. Lega hatinya andai Shahin Adiy bercakap benar. Dia sebenarnya malu dan takut hendak berhadapan dengan keluarga Dato' Jamil. Tentu mereka tidak dapat menerima kehadirannya sebagai sebahagian dari keluarga mereka apabila mereka mendapat tahu bagaimana pernikahannya dan Shahin Adiy terjadi. Tambah parah lagi kalau Shahin Adiy mengadu pada Dato' Jamil konon dia dan orang tuanya yang merancang sesuatu sehingga pernikahan tersebut berlaku. Bapaknya pasti dipecat!

"Kalau bukan rumah keluarga kau, jadi ini rumah siapa? Kenapa kau bawa aku ke sini?"

"Ini rumah aku. Kalau kau nak tau, rumah aku ni tak ada apa-apa. Kau janganlah berangan nak makan enak-enak, nak bersantai di kolam renang, nak berendam dalam jakuzi..."

"Astaghfirullah! Kau fikir aku mau semua tu?" bentak Ayra.

Sakit telinganya mendengar sindiran tajam Shahin Adiy. 'Macamlah aku ni kemaruk sangat nak menikmati segala kemewahan keluarga dia!'

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now