Ketika Shahin Adiy tiba, Ayra sedang termenung di katil sambil melihat Ayza dan Aydil mengemas pakaiannya yang akan dibawa bersama. Ayra sudah hilang semangat untuk meneruskan hidup. Apa lagi menjalani kehidupan sebagai isteri.
Dia tak ingin mengikut Shahin Adiy ke Kota Kinabalu. Dia belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Langsung tak pernah diimpikannya untuk bergelar isteri dalam usia yang masih mentah.
"Bapak, mak jangan risau. Saya akan jaga Ayra sebaik-baiknya."
Shahin Adiy memberi jaminan. Terukir senyuman di bibir ibu dan bapa mentuanya. Meluat dia dengan senyuman mereka. Rasa itu hanya terbuku di dalam hati.
"Alhamdulillah... itulah yang kami harapkan. Jagalah Ayra dengan baik. Ajar apa yang patut. Ndak biasa dia dengan kehidupan di bandar besar."
"Jangan fikirkan soal tu sangat. Saya yakin Ayra pasti akan gembira dengan kehidupan di bandar. Saya akan pastikan makan minumnya cukup. Kalau dia nak sambung belajar, saya izinkan."
Terukir senyum di wajah Pak Sudin dan Mak Siti mendengar kata-kata menantu mereka yang baik hati itu. Ayra yang mendengar kata-kata Adiy dari dalam bilik hanya mencebik bibir.
"Bertuah kakak dapat jadi isteri abang Adiy," bisik Ayza. "Kakak tentu dengar apa yang dia bilang tadi. Abang Adiy mau jaga kakak dengan baik. Ee... bestnya!"
Ayra menjuih bibir, langsung tidak suka dengan apa yang telah berlaku. Ayra tidak pernah bermimpi untuk berkahwin pada usia muda. Impiannya adalah untuk meyambungkan pelajaran di menara gading. Kemudian, cari kerja untuk membantu orang tuanya. Selepas itu barulah dia akan memikirkan soal jodoh. Tapi sekarang, impian yang dibina sejak di bangku sekolah rendah sudah hancur.
Ayra sudah bergelar isteri dalam usia muda. Bila sudah jadi isteri, belum tentu dia dapat meneruskan pelajaran. Berat tanggungjawab seorang isteri. Apa lagi bila sudah bergelar ibu.
"Kak, janganlah sedih. Mak dengan bapak sudah maafkan perbuatan kakak."
"Aku ndak buat apa-apa. Aku diperangkap."
"Mungkin orang kampung yang perangkap kakak. Sebenarnya, aku pun ada dengar orang kampung bergosip pasal kakak. Mereka tuduh kakak gila harta, sanggup gadai maruah. Bila abang Adiy datang sini, kakak mesti bersama dia. Di kedai makan, di kebun sayur, di pasar, di vila..."
Tersentak Ayra mendengar kata-kata Ayza. Barulah dia tahu dirinya menjadi bahan bualan orang kampung. Patutlah bapak memaksanya berkahwin.
"Aku dan Adiy kawan biasa saja ba. Ndak lebih dari tu."
"Orang kampung ndak peduli semua tu kak. Mereka lebih suka membuat andaian. Bila mereka nampak kakak sering bersama Adiy, macam-macamlah andaian yang keluar."
"Sudah siap kau ba?" soal Mak Siti yang tercegat depan pintu bilik.
"Sudah mak." Ayza menutup zip beg.
"Jom keluar. Si Adiy sudah tunggu tu."
Mak Siti menarik tangan Ayra. Dia sebenarnya turut simpati dengan nasib Ayra. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Jaminan Shahin Adiy yang mahu menjaga Ayra dengan baik membuatkan hatinya merasa sedikit lapang.
Dengan berat hati, Ayra melangkah keluar dari bilik. Ayza pula menjinjing beg pakaiannya.
"Salam dengan Adiy, suami kau." Bisik Mak Siti ke telinga Ayra yang belum sempat diajar ilmu rumah tangga itu.
Ayra bersalam acuh tak acuh. Wajah Shahin Adiy belum mampu dipandang.
"Kami nak bertolak sekarang bapak, mak."
Shahin Adiy bangun berdiri. Dia mencapai beg pakaian Ayra lalu terus dibawanya ke kereta.
"Aku ndak mau pergi mak..."
Air matanya gugur lagi. Dia harap Mak Siti pertimbangkan permintaannya. Dia tak sanggup berpisah dengan mak, bapak dan adik-adik. Dia tak mampu untuk melakukannya.
"Sudah aku beri nasihat pada kau ba. Kau sendiri sudah janji mau ikut cakap aku, mau jadi isteri yang baik. Soal sambung belajar tu, kau jangan risau. Adiy bilang, dia ndak kesah kalau kau mau sambung belajar." Mak Siti memujuk anak sulungnya yang akan dibawa pergi sebentar lagi.
"Ada duit lebih, kami akan ke KK, melawat kau. Ndak perlu kau bimbang apa-apa."
Pesan Pak Sudin sambil menggosok kepala Ayra yang sedang menunduk mencium tangannya.
"Jom!"
Shahin Adiy membuka pintu kereta.
Please read, vote and shate. TQ
Please follow my ig : karya_zz
Please like my fb page : Karya ZZ
Terima kasih atas sokongan. Nantikan novel Kalung edisi terbaru!
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...