Part 21

870 26 0
                                    

Hujan mula turun dengan lebat. Kilat sabung-menyabung. Ayra menutup semua suis peralatan elektrik. Ayza, adiknya yang berumur 14 tahun sedang khusyuk menyiapkan kerja sekolah. Aydil yang masih bersekolah rendah pula sudah lena dibuai mimpi. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Hujan yang turun sejak magrib tadi belum menampakkan tanda-tanda yang ia akan berhenti.

"Ke mana bapak kau ni ba. Sudah jam 9.30 tapi ndak balik-balik lagi."

Mak Siti muncul dari dapur. Wajahnya jelas terpancar kerisauan.

"Sabar mak. Mungkin bapak terperangkap di kedai makan. Atau mungkin terperangkap di vila Dato' Jamil tu."

Ayra sebagai anak sulung cuba menenangkan keresahan ibunya. Dia juga keresahan seperti Mak Siti. Bapanya, Pak Sudin jarang pulang lewat ke rumah. Biasanya sebelum masuk waktu maghrib, Pak Sudin sudah berada di rumah. Maghrib dan Isyak adalah waktu untuk mereka solat berjemaah bersama-sama.

"Ndak mungkin bapak kau di vila. Tadi, sebelum keluar, dia ada kasi tahu aku yang anak Dato' Jamil, Si Adiy ada di vila. Kalau ada orang di vila, bapak kau ndak perlu ke sana melainkan jika disuruh."

Ayra bersetuju dengan ibunya. Hatinya makin resah. Pak Sudin ada penyakit darah tinggi. Setiap bulan Pak Sudin perlu mendapatkan bekalan ubat darah tinggi di klinik. Kena makan hari-hari supaya tekanan darah tak naik. Tapi, kadang-kadang Pak Sudin terlupa yang dia ada penyakit.

Pak Sudin kerja kuat. Sebelah pagi dia ke kebun sayur. Sebelah petang pula, dia akan ke vila untuk membersihkan apa yang patut. Jika rumput panjang, dialah yang akan memotongnya. Pak Sudin juga yang akan memasang lampu di vila pada lewat petang dan menutup lampu keesokan pagi. Itulah tugas Pak Sudin setiap hari. Tiada istilah cuti dalam hidupnya.

"Kau tunggu di rumah, teman adik-adik. Aku mau cari bapak kau."

Mak Siti ke dapur. Dia mencapai payung yang terselit di dinding dapur. Hatinya rasa tak sedap selagi suaminya belum pulang.

"Mak mau cari bapak di mana?"

Ayra terus bertanya bila melihat Mak Siti melangkah keluar dengan sekaki payung di tangan. Dia terus menghampiri Mak Siti.

"Kedai makan. Mungkin bapak kau terperangkap di sana. Tapi kalau ndak ada juga, aku minta Si Atan cari."

Atan ialah anak saudaranya. Mak Siti membuka pintu. Dia mendongak ke langit yang hitam pekat. Belum ada tanda-tanda hujan akan berhenti.

"Hati-hati mak," pesan Ayra.

Mak Siti meredah hujan dalam kegelapan malam. Ayra memerhati langkah ibunya hingga hilang dari pandangan.

'Ya Allah, semoga bapak tak apa-apa. Harap mak dapat jumpa bapak dalam keadaan selamat.'

"Kak, mak pergi mana?" soal Ayza yang baru keluar dari bilik.

"Mak keluar cari bapak. Bapak belum pulang. Mak risau."

"Yalah kak, jarang bapak ndak balik rumah sebelum maghrib. Aku harap bapak selamat, kak."

"Insya-Allah. Kita doakan ya."

"Baik kak. Aku mau solat isyak dulu."

Ayra terus memandang ke luar, menanti kepulangan ibu dan bapaknya dalam debar.

* * *

"Kenapa tercegat saja di situ. Duduklah."

Dean menarik kerusi di sebelahnya lalu menjemput Ayra duduk. Ayra yang masih dalam kekeliruan melabuhkan punggung. Dia duduk di sebelah Dean, dan bertentangan tempat duduk dengan lelaki yang mirip wajah Shahin Adiy. Nadira pula bertentangan dengan Dean.

Ayam goreng, kentang putar dan seketul roti langsung tidak memikat hati. Ketika beratur untuk memesan makanan, Ayra menyerahkan bulat-bulat pada Dean untuk membeli apa saja.

"Maaflah, hari tu, aku tak sempat nak kenalkan korang dengan bakal tunang aku. Sekarang, aku nak kenalkan korang dengan lelaki yang dah berjaya mencuri hati aku, Shahin Adiy. Abang, ni rakan sekelas Dira. Dean, Ayra."

'Shahin Adiy???'

Gementar seluruh tubuh Ayra bila Nadira menyebut nama teman lelakinya. Sama! Sah, memang orang yang sama! Perut terasa memulas-mulas. Mual! Terasa nak muntah. Matanya berpinar! Kepala pening!

Dean dan Shahin Adiy bersalam. Shahin Adiy memandang Ayra lantas menghulurkan tangannya. Gadis itu hanya menghadiahkan senyuman tawar. Tangan Shahin Adiy tidak disambut. Dean menarik nafas lega. Nadira juga suka dengan tindakan Ayra.

"Oh ye abang, Ayra dengan Dean ni... ehem, ehem."

Nadira menunjukkan isyarat jari telunjuknya yang dirapatkan. Ayra mencerlung tajam ke wajah Nadira. Dean hanya ketawa kecil.

Shahin Adiy memerhati gadis yang sudah lama hilang dari pandangannya, namun tetap subur di hatinya. Sudah ada lelaki lain yang mengisi hati Ayra. Hatinya pulak bagai dihiris-hiris.

Ayra telan liur. Dia usik kentang putar dengan sudu. Roti dan ayam goreng belum disentuh lagi. Tak ada selera. Wajah Shahin Adiy belum lagi dipandang betul-betul. Tak berani! Bimbang mata mereka bertentangan sekali lagi. Ayra lebih selesa menundukkan kepalanya.

Dean dan Shahin Adiy rancak berbual seolah-olah mereka sudah kenal lama. Mesra! Ayra hanya menjadi pendengar. Suara itu mengembalikan kenangan lampau.

Shahin Adiy sudah meninggal. Keadaan Shahin Adiy yang berlumuran darah terbayang di ruang mata. Tak mungkin lelaki itu masih hidup. Ayra beranikan diri mengangkat kepala. Wajah Shahin Adiy direnung. Bulu kening yang sama, bentuk mata yang sama, hidung, mulut, gigi, semuanya sama! Cara gelak pun sama.

Ayra tunduk kembali. Tak sanggup memandang lelaki yang pernah muncul dalam hidupnya satu masa lalu. Nadira, Dean dan Shahin Adiy semakin rancak berbual. Mereka kebetulan meminati sukan yang sama iaitu bola sepak. Sama-sama penyokong Kelab Manchester United!

"Ayra diam saja. Tak suka saya ke?"

Shahin Adiy bersuara. Sejak tadi, Ayra hanya tunduk memandang makanan. Dia dapat membaca keresahan di hati Ayra. Resah kerana kemunculannya. Hubungannya dengan Dean pasti akan tergugat.

Ayra agak terperanjat dengan pertanyaan Shahin Adiy yang tiba-tiba.

"Tak suka saya ke?"

Ayra pandang Shahin Adiy. Panahan mata lelaki itu sukar ditepis. Shahin Adiy pura-pura tidak mengenalinya. Lelaki itu berlagak biasa seolah-olah mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

"Tak adalah."

"Ayra sebenarnya dah kenyang. Dia marah sebab aku join korang makan. Dia terpaksa ikut sekali." Ujar Dean.

"Tak adalah," Ayra menafikan dakwaan Dean. "Sebenarya sejak petang tadi aku tak sedap badan. Sakit perut. Aku nak ke tandas kejap."

Ayra terus meninggalkan tempat duduk, menonong menuju ke tandas. Bila berada jauh daripada Shahin Adiy, barulah dia mampu menarik nafas lega. Terasa bebas sebebas-bebasnya walaupun sekarang dia berada di dalam kamar kecil yang agak kurang enak baunya.

'Siapakah Adiy sebenarnya? Adakah dia sudah hilang ingatan?'

Ayra semakin bingung dengan identiti sebenar Shahin Adiy. 'Kalau mereka orang yang sama, kenapa Adiy tidak menegur aku selayaknya. Lagak Adiy selamba saja, seolah-olah aku dan dia memang tak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini.'

Ayra melangkah keluar setelah berjaya mengawal perasaan. Dia mencuci tangan di sinki.

"Akhirnya, kita berjumpa juga."

Ayra kaget! Shahin Adiy tersenyum sinis di sebelahnya.


P/S : PLEASE read, voted and share. TQ :)

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now