Ayra siap lukis pemandangan. Terdapat dua ekor angsa sedang berenang di dalam kolam. Di tepi kolam ada sebatang pokok rendang. Nun di hujung sana ada pokok mati. Di belakangnya, ada gunung-ganang. Ringkas sahaja hasil karyanya namun dia cukup puas hati. Terasa sedikit ketenangan bila melihat lukisan tersebut.
Ayra menolak kerusi ke belakang. Laci meja ditarik lalu cawan kertas dikeluarkan. Masa untuk mewarna. Dia bingkas bangun. Cawan kertas harus diisi dengan air untuk mencuci berus lukisan ketika proses mewarna berjalan.
Lukisan Suhaila yang terbiar atas meja sudah separuh diwarnakan. Sedang khusyuk dia mewarna, Muiz pulak menghubunginya. Suhaila lantas meninggalkan kerjanya. Dia terus keluar dari bilik dan menuju ke hujung koridor.
Ayra membawa cawan kertasnya keluar dari bilik. Pintu bilik penghuni yang bertentangan dengan biliknya terbuka. Dia terus menjenguk. Aisyah sedang leka melayari internet.
"Chatting nampak. Lukisan dah siap?" sapa Ayra.
Aisyah terus menoleh ke arah Ayra.
"Aku tak de mood lagi. Kau dah siap ke?"
"Lukis dah siap. Masa untuk mewarna pulak."
"Rajinnya. Jangan lupa tunjuk aku nanti bila dah siap."
"Okey."
Ayra tersenyum. Aisyah kembali mengadap komputer riba. Nadira tidak kelihatan. Nadira pasti keluar dengan Shahin Adiy.
Ayra bergerak menuju ke bilik air. Dia sudah jarang melayari internet sekarang. Blog kesayangannya juga terbiar, tidak dikemaskini lagi. Dia kehilangan mood sejak blognya diceroboh. Penceroboh blog tidak lain dan tidak bukan pastinya Shahin Adiy.
Malam semalam, dia langsung tidak boleh tidur dengan lena. Sekejap-sekejap dia terjaga. Kemunculan Shahin Adiy menghantuinya. Dia berdebar-debar menanti tindakan Shahin Adiy seterusnya. Adakah lelaki itu akan mendakwanya? Adakah dia akan membalas dendam padanya? Persoalan-persoalan itu menghantuinya.
'Ah, lupakan! Aku kena siapkan lukisan. Esok dah nak kena hantar!'
Ayra tiba di bilik air. Syafiqah sedang mencuci berus lukisan di sinki.
"Dah siap?"
"Ye. Siap dah! Kak Ayra baru nak warna ke?"
Syafiqah menjeling pada cawan kertas di tangan Ayra.
"Aah, baru je siap lukis."
Ayra memutar kepala paip lalu menadah air dengan cawan kertas.
"Mesti cantik, kan? Kak Ayra kan pandai melukis. Iqa buat biasa-biasa saja. Janji siap!"
"Akak tak ada mood nak lukis. Ni pun kena paksa diri nak warna, nak bagi siap cepat-cepat."
Ayra menutup kepala paip. Separuh cawan kertas sudah berisi air. Dia kembali ke bilik. Sekotak warna air BUNCHO yang baru dibeli di Giant semalam dikeluarkan dari dalam beg plastik. Tiub yang berisi warna merah, kuning dan biru dipicit masuk ke dalam palet.
Ayra menggunakan warna biru sebagai latar belakang. Leka dia menyapu warna sambil fikiran pula melayang-layang. Kadang-kadang dia mengharapkan agar pertemuannya dengan Shahin Adiy semula setelah enam tahun itu hanyalah sebuah mimpi.
Dia boleh jadi gila apabila lelaki itu mucul kembali dalam hidupnya. Sesuatu yang tak pernah dibayangkan selama ini. Kejayaannya menghilangkan diri disangkannya akan berterusan bertahun-tahun lagi. Malaysia dengan kepadatan penduduk seramai 28 juta orang mengurangkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan Shahin Adiy.
Namun, kemunculan Shahin Adiy membuatkannya berfikir dunia ini terlalu kecil.
Kehadiran semula Shahin Adiy dalam hidupnya bukan untuk menceriakan hari-harinya. Kehadiran lelaki itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata hendak menyeksa jiwa dan perasaannya lagi. Dia faham sangat sikap Shahin Adiy yang kuat berdendam. Sukar hendak memaafkan kesalahan orang lain. Macamlah dia tu sempurna, tak pernah melakukan kesalahan!
Mendengar bunyi pintu bilik terkuak, ingatannya pada Shahin Adiy terus terpadam. Suhaila masuk ke bilik, terus mencampakkan telefon bimbit atas meja belajar. Mujurlah telefon tersebut tidak jatuh ke bawah. Kalau tidak, pasti hancur!
Suhaila yang kemerah-merahan matanya terus meniarap atas katil, menyembamkan mukanya pada bantal. Ayra kehairanan dengan sikap Suhaila. Dia terus bangun lalu melabuhkan punggung di birai katil.
"Kenapa Ila?"
Ayra menggosok lembut badan Suhaila. Badan Suhaila terhinggut-hinggut. Kedengaran tangisannya tersekat-sekat.
"Dia tipu aku! Sampai hati dia tipu aku!"
Suhaila menumbuk bantal sekuat hati. Dia kemudian bangun lalu duduk bersila. Badannya menyandar di dinding.
"Siapa yang tipu kau?"
Ayra turut cemas bila melihat keadaan Suhaila. Selama mengenali Suhaila, dia belum pernah melihat gadis itu menangis seperti sekarang.
"Muiz! Aku benci dia!"
Suhaila meramas-ramas bantal, melepaskan perasaan bencinya pada Muiz. Kesetiaan yang diberi dibalas dengan kecurangan. Hati mana yang tak sakit jika diperlakukan begitu.
"Apa Muiz dah buat pada kau?"
"Dia cakap dia cintakan aku sepenuh hati. Dia tak bagi aku ragu dengan kesetiaan dia tu. Akulah yang pertama dan terakhir buat dia. Tapi tengoklah apa dia dah buat pada aku sekarang!"
Suhaila menangis teresak-esak. Janji manis Muiz ternyata hanya di bibir, bukan lahir dari hati yang ikhlas.
"Apa Muiz dah buat?" tanya Ayra lagi.
"Aku nak putus tunang segera! Aku benci dia!"
Suhaila terus melurutkan cincin di jari manisnya. Cincin pertunangan itu dilontarkannya ke pintu. Cincin terkena dinding lalu jatuh dan terus masuk ke dalam baldi yang berada berdekatan situ. Ayra perhatikan saja tingkah laku Suhaila yang sedang melepaskan kemarahannya.
"Apa yang Muiz dah buat pada kau sampai kau nak putuskan pertunangan? Dia ada orang lain ke?"
Suhaila tidak menjawab. Tangisannya semakin kuat. Dia meramas-ramas dan menekan-nekan bantal, melepaskan kemarahan.
"Nangis puas-puas. Lepaskan semua kemarahan yang ada di hati kau dulu."
Ayra biarkan Suhaila melayan perasaannya. Mungkin Suhaila belum bersedia untuk berkongsi cerita dengannya. Dia tidak akan memaksa. Ayra sendiri merahsiakan kisah lalu. Tiada seorang pun rakan yang mengetahui apa yang telah berlaku pada dirinya hatta keluarga sendiri. Kesengsaraan yang dilalui terpaksa ditanggung sendiri.
Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke semenanjung, dia menanam nekad hendak melupakan terus kenangan di negeri kelahirannya. Hanya dengan cara itu sahaja dia dapat memulakan hidup baru di tempat baru. Walaupun sukar, dia gagahi juga melawan keperitan hidup.
Kalau menukar nama itu satu perkara yang mudah, sudah lama dia melakukannya. Ayra mahu menukar identitinya seratus peratus. Dia tidak ingin menjadi Ayra lagi. Namun keadaan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian.
Ayra hanya mampu berusaha untuk melupakan peristiwa lalu dan memulakan hidup baru.
"Dia kena tangkap basah."
Ayra terkasima. Berita yang didengarnya tentang Muiz benar-benar mengejutkannya.
Jemput follow/like:
Intagram : karya_zz
FB Pages : Karya ZZ
LIKE, VOTE & SHARE. TQ :)
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...