Part 73

826 26 1
                                    

Suhaila menghubungi Ayra.

"Dah siap? Jom jalan sekali."

"Korang jalanlah dulu. Aku lambat lagi nak siap."

Panggilan ditamatkan. Ayra menipu lagi. Malas dia hendak menumpang kereta Suhaila kerana Aisyah turut menumpang kereta gadis itu. Aisyah ada datang ke biliknya dan bertanya macam-macam soal hubungannya dengan Shahin Adiy. Ayra mengunci mulut. Malas dia hendak berkongsi cerita dengan Aisyah.

Nadira dan Syafiqah pulak seperti belangkas. Ke mana sahaja mesti berdua. Di dalam kelas pun, meraka duduk bersebelahan.

Ayra mengunci bilik. Dia menapak ke kelas. Penat juga berjalan kerana jarak antara blok asrama dengan kelas yang terletak di bangunan pentadbiran bukannya dekat. Mujurlah bukan dia seorang yang berjalan kaki. Ramai lagi yang tidak berkenderaan juga menapak ke kelas.

Ayra meletakkan beg dan buku atas meja. Dia melabuhkan punggung di kerusi. Botol mineral dikeluarkan. Dia meneguk air.

Dean melangkah masuk. Dia terus menuju ke tempat duduknya. Sejak makan di gerai tempoh hari, dia dan Dean belum berbicara. Lelaki itu masih memandang serong terhadapnya. Sama seperti rakan-rakan lain.

'Perampas.' Itulah gelaran baru yang diterimanya.

Tiba-tiba dia jadi kekok berada di dalam kelas. Terasa dirinya menjadi perhatian rakan sekelas. Ada yang berani sindir depan-depan. Dia dituduh sebagai perampas. Beratnya menanggung dugaan. Kata Shahin Adiy, lama-kelamaan orang akan tutup mulut. Sementara menanti semua orang tutup mulut, terpaksalah dia menahan pedih di telinga. Sabar dan terus bersabar sehingga muncul cerita terbaru yang lebih menarik daripada kisahnya 'merampas' teman lelaki kawan baik sendiri.

"Makanlah."

Suhaila menghulurkan plastik berisi kuih karipap kepada Ayra. Dia baru balik dari kafeteria. Setiap pagi, dia akan bersarapan di kafeteria bersama Aisyah, Nadira dan Syafiqah. Ayra yang selalu bersama mereka kini tidak lagi menyertai mereka. Dia faham kenapa Ayra enggan menyertai mereka lagi. Mungkin dia rasa bersalah atas perbuatannya terhadap Nadira.

"Terima kasih. Mana kawan-kawan lain?"

"Singgah di tandas. Eh, sampai bila kau dan Dira nak jadi macam ni?"

"Aku okey je. Dira yang tak dapat terima aku. Dia benci aku sekarang. Kau pun mungkin dah tahu pasal tu kan."

"Ada jugak aku dengar. Tapi, kalau tak keberatan, aku nak dengar dari mulut kau sendiri. Yelah, dengar dari mulut orang ni, ada yang benar, ada jugak yang ditokok tambah."

"Apa yang kau dengar?"

"Kau bercinta dengan Adiy sekarang. Aku tak sangka jugak kau boleh terpikat dengan Adiy. Kau pun tahu kan dia teman lelaki Dira."

"Ada lagi yang kau tak tahu. Cerita di sebaliknya. Malam nanti, kau datanglah ke bilik aku."

Ayra tergerak hati untuk menceritakan kisah yang telah dilaluinya kepada Suhaila. Dia tidak mahu Suhaila turut berfikiran negatif ke atasnya. Dia memilih Suhaila untuk berkongsi cerita kerana di antara teman-teman, dia lebih selesa berkawan dengan Suhaila. Dia tidak mahu persahabatannya dengan Suhaila renggang kerana cerita yang tidak benar yang sedang kencang bertiup sekarang.

* * *

Malam itu, selesai menunaikan solat Isyak, Suhaila terus melangkah seorang diri menuju ke bilik Ayra di aras tiga. Mujurlah Aisyah tidak ada di bilik. Dia ke bilik Nadira. Kalau tidak, Aisyah pasti mahu mengekorinya ke bilik Ayra.

Suhaila mengetuk pintu bilik. Sebentar kemudian pintu dibuka. Ayra tersenyum menyambut kedatangannya. Dia memakai baju tidur corak bunga-bunga kecil.

"Aku tak paksa kau bercerita kalau kau belum sedia." Ujar Suhaila. Dia melangkah masuk.

"Duduklah. Aku memang dah bersedia. Tapi dengan kau saja."

Suhaila merasa terharu kerana Ayra memilihnya untuk berkongsi cerita. Dia bersila di atas katil.

"Sebelum tu, aku nak tahu dulu cerita yang kau dengar tentang aku."

"Aku dengar dari Aisyah. Kau tahulah Aisyah tu, berita apa yang dia tak tahu. Dira bagitahu kat Aisyah kau rampas Adiy dari dia." Ujar Suhaila.

Soal ilmu hitam seperti yang disebut Aisyah dipendamkan. Dia tidak mahu mengguris hati Ayra dengan berita tersebut. Lagipun dia yakin Ayra takkan guna ilmu hitam untuk memikat Shahin Adiy.

"Dira bagitahu tak yang aku dan Adiy dah nikah?"

"Kau... kau dah nikah?"

Melopong mulut Suhaila kerana terkejut dengan berita yang baru didengar. Rupa-rupanya perhubungan Ayra dan Shahin Adiy sudah sampai ke jenjang pelamin.

"Sebenarnya, kami dah lama nikah. Masa kat Sabah lagi. Masa tu aku sedang tunggu keputusan SPM. Adiy pulak masih belajar di sebuah kolej di KL."

"Aku ingatkan korang baru nikah."

Suhaila masih terkejut dengan berita yang baru didengar. Selama ini dia berkawan dengan perempuan berstatus isteri. Mati-mati dia sangka Ayra masih bujang.

"Tak adalah."

"Aku tak faham. Kalau korang dah nikah, kenapa tak tinggal bersama? Kenapa Dira dakwa Adiy teman lelaki dia?"

"Ada sesuatu dah berlaku, aku bawak diri ke semenanjung. Adiy pulak cuba cari aku tapi gagal. Bertahun-tahun kami berpisah. Dipendekkan cerita, saat Adiy dah hampir putus asa cari aku, mak dia kenalkan dia dengan Dira."

Suhaila khusyuk mendengar.

"Aku dan Adiy jumpa semula kerana Dira. Aku ingatkan Adiy dah lupakan aku. Jadi aku diam saja, buat-buat tak kenal dia. Aku memang tak harapkan apa-apa. Aku sendiri sudah memulakan hidup baru sebaik sahaja aku melangkah kaki ke semenanjung."

"Mesti Adiy tak berdiam diri, kan? Dia mesti cuba dapatkan kau semula."

"Aah. Dia ceritakan aku segalanya. Salah faham penyebab kami berpisah dulu. Dia rayu aku kembali padanya. Bukan mudah aku nak buat keputusan. Kau tahu kan, Dira terlalu mencintai Adiy. Aku serba salah. Adiy pulak terus merayu aku. Kami masih ada ikatan sah. Adiy tak pernah ceraikan aku."

Ayra menghela nafas. Terasa lega di hati bila dapat berkongsi cerita dengan seseorang.

"Dira tahu tak korang dah lama kawin?" soal Suhaila.

Dia sudah faham kedudukan sebenar Ayra dan Shahin Adiy. Ayra bukan perampas seperti yang dituduh Nadira.

"Adiy dah bagitahu. Tapi, Dira tak percaya. Dia tuduh aku dan Adiy reka cerita."

"Sabarlah. Takdir yang menemukan korang semula. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Dira dalam keadaan kecewa dan marah. Sebab tu dia tak boleh terima segalanya dengan hati terbuka. Berilah masa dan ruang pada dia. Aku yakin, lambat laun dia akan terima juga."

"Itulah yang aku harapkan. Aku pun sebenarnya rasa bersalah pada Dira. Aku tak sangka boleh jadi macam ni.

"Jangan salahkan diri sendiri pulak. Setiap orang berhak untuk kecapi kebahagiaan."

Ayra menarik nafas kelegaan mendengar kata-kata Suhaila.

"Sama-samalah kita doakan Dira akan bertemu dengan lelaki yang sesuai untuknya suatu hari nanti."

"Amin." Ayra menyapu tangan ke mukanya. Semoga doa mereka dimakbulkan. Dia tak ingin melihat Nadira menderita. 

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now