"Dari tadi masam saja. Ada apa-apa masalah ke?" tegur Shahin Adiy.
Dia tak mahu Ayra bersedih. Dia mahu isterinya sentiasa gembira. Mungkin sekarang belum masanya. Ayra terpaksa berhadapan dengan sindiran-sindiran pedas Nadira. Ayra ada mengadu kepadanya. Dia meminta Ayra bersabar buat sementara waktu.
"Mak kau datang jumpa aku."
"Mama jumpa kau? Bila?"
"Petang semalam. Dira yang bawak."
Shahin Adiy menyeka rambutnya yang terjuntai ke depan. Dia sudah dapat mengagak tujuan kedatangan ibunya. Dia sudah memaklumkan kepada Datin Fadhilah mengenai Ayra. Dia mahu mulakan hidup baru dengan Ayra.
Datin Fadhilah terus naik angin. Dia tidak suka dengan pilihan Shahin Adiy itu. Dari dulu lagi dia tidak suka dengan Ayra. Datin Fadhilah tak pernah beri sokongan pada Shahin Adiy ketika Shahin Adiy berusaha keras mencari Ayra. Malah, dia lebih suka jika Shahin Adiy tidak menemui Ayra.
"Datin tak terima aku. Sampai bila-bila pun dia takkan terima aku."
"Panggil mama. Kau jangan fikirkan sangat soal penerimaan mama. Tahulah aku pujuk mama. Aku yakin mama akan berubah satu hari nanti. Kita kena bersabar."
"Entahlah, macam tak ada harapan saja."
Harapan Datin Fadhilah akan menerimanya kini hanya tinggal satu peratus sahaja. Ayra tak yakin Datin Fadhilah dapat menerimanya sebagai menantu. Siapalah dirinya. Dia dan Shahin Adiy bagaikan bumi dengan langit.
"Jangan cakap macam tu. Sama-samalah kita berdoa agar Tuhan buka pintu hati mama. Insya-Allah segalanya akan berjalan lancar nanti. Mama belum kenal rapat dengan kau lagi. Bila dah kenal nanti, aku yakin dia akan terima kau."
Shahin Adiy terus memujuk. Dia tidak mahu Ayra patah semangat. Lebih tepat lagi, dia tidak mahu Ayra pergi meninggalkannya hanya kerana tidak diterima ibu mentua. Shahin Adiy tak sanggup kehilangan Ayra sekali lagi. Seksa!
Shahin Adiy membelok keretanya masuk ke kawasan IPG Kampus Ipoh.
"Nak ke mana?"
"Terus ke asrama. Blok B."
Semakin hampir destinasi, semakin kuat debaran di dada. Pasti Aisyah dan Suhaila terkejut kerana dia dihantar Shahin Adiy, bekas teman lelaki Nadira. Pelbagai pertanyaan akan menerjah ke kepala otaknya sebentar lagi. Dia tidak yakin dapat menjawab segala pertanyaan dengan baik.
Shahin Adiy berhenti di blok B.
"Kau tunggu kejap. Aku nak daftar dulu." Ayra melangkah turun dari kereta.
Ayra terus menuju ke pejabat yang terletak di aras bawah blok B. Ayra memberi salam pada kerani yang sedang bertugas.
"Tulis nama di sini."
Kerani menghulurkan kertas pendaftaran. Ayra membaca nama-nama yang tertera. Aisyah sebilik dengan Suhaila. Nadira sebilik dengan Syafiqah. Kesemua mereka memilih blok C, aras dua. Tiada lagi bilik kosong di aras dua. Yang tinggal hanya di aras tiga. Ayra terus mengisi nama.
"Sorang?" tanya kerani.
Ayra mengangguk. "Nanti, kalau ada sesiapa yang tak ada teman sebilik, puan masukkanlah namanya sebilik dengan saya."
Kerani tersenyum. Ayra meninggalkan pejabat asrama. Dia menuju ke kereta Shahin Adiy.
"Blok C."
"Arah mana?"
"Terus je."
Shahin Adiy memandu terus ke depan. "Kau sebilik dengan siapa?" soalnya.
"Sorang."
"Sorang? Tak ada kawan?"
"Dulu ada. Sekarang tak ada."
Ayra masih dibelenggu persoalan. Tiba-tiba Suhaila memilih Aisyah sebagai teman biliknya.
"Aku tak sedap hatilah. Aku bimbang Dira buruk-burukkan aku depan mereka."
"Kenapa kau fikir macam tu?"
"Ila pernah berjanji dia nak sebilik dengan aku saja sampai kami habis belajar. Tapi tak sangka pulak dia sebilik dengan Aisyah sekarang. Dulu Aisyah sebilik dengan Dira."
"Kalau tak silap aku, Dira bergaduh dengan Aisyah. Sebab tu dia pindah ke rumah sewa kau, kan?"
"Aah."
"Mereka dah berbaik ke?"
"Entahlah. Aku rasa tak baik lagi."
Tentu Aisyah dah tak sudi sebilik dengan Nadira lagi. Dan Nadira pun tentu tak ingin duduk sebilik dengan Aisyah. Ayra sudah dapat menangkap punca pertukaran rakan sebilik.
"Aku harap Dira belum sempat bercerita pada rakan-rakan lain soal kita."
"Kau sendirilah yang cerita. Kita dah janji tak mahu sorok lagi hubungan kita ni."
"Mereka nak percaya ke?"
"Percaya ke tak, itu belakang kira. Terpulang pada mereka. Kau jangan hirau sangat. Yang penting, kita berdua tahu cerita sebenar."
Terasa sedikit lega di hatinya mendengar kata-kata Shahin Adiy.
* * *
Shahin Adiy menurunkan beg Ayra. Dia menjingjing beg sehingga ke pintu pagar.
"Sampai sini saja. Larat ke kau nak angkat semua beg dan barang-barang kau ni sorang diri? Tingkat tiga pulak tu."
"Aku dah biasa."
"Telefon la Suhaila ke... Aisyah ke... mintak mereka tolong angkat barang-barang kau ni."
Ayra tergelak. "Aku boleh buat soranglah. Dah pukul lima ni. Kau nak gerak balik KL lagi, kan. Kau kena gerak sekarang."
"Aku terpaksa balik. Esok kalau tak ada apa-apa aku ke sini."
"Kalau kau sibuk, tak payahlah susah-susah datang sini. Penat. Telefon aje aku."
"Penat pun tak apa. Aku tak kisah. Asal dapat jumpa kau."
Ayra mengukir senyuman. Shahin Adiy menghulur tangan. Ayra menyambut tangan Shahin Adiy. Dia mencium tangan suaminya.
"Jaga diri baik-baik." Pesan Shahin Adiy.
"Kau pun sama, jaga diri baik-baik."
Shahin Adiy menuju ke keretanya. Ayra melambai tangan ketika kereta Shahin Adiy mula bergerak meninggalkan kawasan asrama. Ayra kembali ke tempat beg dan barang-barangnya dikumpulkan. Terasa ada sepasang mata sedang memerhati gerak-gerinya. Dia pantas menoleh ke kanan.
Dean memandangnya. Sayu.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...