Part 84

1K 25 1
                                    

"Mama minta maaf. Mama yang bersalah. Mama tak sepatutnya bersikap kasar pada Ayra. Maafkan mama ye." Datin Fadhilah menggenggam erat tangan Ayra. Air mata membasahi pipinya.

"Mama janganlah cakap macam tu."

"Mama menyesal atas perbuatan mama pada Ayra."

"Sudahlah mama. Ayra tak ambil hati pun. Lupakan hal yang dah berlaku tu."

Datin Fadhilah mengesat air matanya.

"Alhamdulillah. Segalanya dah selesai. Terima kasih mama sebab sudi menerima isteri Adiy."

Shahin Adiy memaut bahu Ayra rapat ke sisinya. Tiada halangan lagi untuknya membina keluarga bahagia bersama isteri tersayang. Dia bersyukur tak terhingga pada Allah kerana melembutkan hati ibunya. Tiada kebencian lagi di hati Datin Fadhilah. Dia sudah dapat menerima Ayra sebagai menantunya.

"Mama, Adiy, Ayra, jom makan." Jemput Syamila Aqilah.

Dia baru selesai membantu Mak Onah menyediakan hidangan makan malam.

"Jom."

Datin Fadhilah menarik tangan Ayra menuju ke ruang makan. Shahin Adiy bersyukur melihat kemesraan yang baru terjalin di antara ibunya dan isterinya, dua insan yang cukup bermakna dalam hidupnya.

Ayra terharu dengan layanan Datin Fadhilah ke atasnya. Perwatakannya sungguh berbeza. Daripada seorang wanita yang penuh dengan kebencian, kini telah bertukar menjadi wanita yang penyayang. Dia dapat merasakan kasih sayang yang baru tumbuh di antara mereka. Ayra tidak akan mensia-siakan peluang tersebut untuk merapatkan hubungan dengan Datin Fadhilah.

Syamila Aqilah, wanita berusia lewat 30-an itu juga menerimanya dengan baik. Orangnya peramah. Wajahnya mirip Datin Fadhilah. Tubuh badannya kecil molek. Syamila Aqilah pemilik butik D'Syamila. Dia seorang isteri, ibu dan wanita berkerjaya.

Ayra belum berkesempatan berkenalan dengan birasnya, Hisyam. Dia out station dan kini berada di Australia.

Syamila Aqilah dan Hisyam mempunyai dua orang cahaya mata. Haziq dan Chitah atau Masyitah yang masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun. Mereka cucu kesayangan Datin Jamillah.

Selesai makan, mereka kembali ke ruang tamu. Berborak untuk saling mengenali. Datin Fadhilah mengesyorkan supaya Shahin Adiy segera melawat keluarga mentuanya di Sabah. Shahin Adiy dan Ayra mencapai keputusan untuk ke Kundasang hujung tahun nanti, selepas tamat kursus Ayra di IPG. Ayra akan menghadiri kursus selama sebulan sebaik sahaja cuti sekolah bermula. Mereka diberi cuti selama dua minggu sebelum kembali ke sekolah.

* * *

"Mama ada berapa orang anak?" soal Ayra pada Mak Onah.

"Tiga."

Betullah seperti yang diduga Ayra. Dia masih ingat lagi, bapak pernah memberitahunya arwah Dato' Jamil mempunya tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki. Syamila Aqilah adalah anak sulung pasangan Dato' Jamil dan Datin Fadhilah. Shahin Adiy pua anak bongsu. Ketika sedang berbual dengan Datin Fadhilah semalam, dia langsung tidak menyentuh mengenai anak keduanya.

"Seorang lagi tinggal di mana?"

Ayra yakin Mak Onah pasti dapat menjawab soalannya kerana Mak Onah sudah lama bekerja dengan Datin Fadhilah.

Mak Onah memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ. Hanya dia dan Ayra sahaja. Mak Onah sebenarnya malas hendak membuka cerita lama. Tapi, bila sudah diajukan, kenalah dia menjawab. Lagipun, ada sesuatu yang membuatkan dia simpati pada Ayra. Dia tidak mahu mata Ayra dikaburi dengan sesuatu yang nampak cantik di luar, tapi buruk di dalam.

"Mak Onah pun tak tahu dia tinggal kat mana sekarang. Fina lari membawa diri," bisik Mak Onah.

"Lari?" Melopong mulut Ayra. "Er... kenapa?" soal Ayra dalam nada berbisik.

"Datin tak setuju dengan pilihan Fina. Datin sudah ada pilihan sendiri untuk Fina. Tapi Fina tak setuju. Dia cintakan lelaki satu universiti dengannya semasa dia menuntut di Jepun. Dia lari dengan lelaki tu."

"Orang Jepun?"

"Orang Malaysia jugak."

Ayra telan air liur mendengar cerita tersebut. Bukan setakat hubungannya dengan Shahin Adiy yang ditentang Datin Fadhilah, malah hubungan anak keduanya juga ditentang.

"Kak Sya kahwin dengan pilihan mama?"

"Aaah. Kalau ikut cakap Datin, tak ada masalah. Tapi kalau melawan, tengoklah kesannya nanti."

Berderau darah Ayra mendengar kata-kata Mak Onah. Ada peringatan yang sedang disampaikan kepadanya. Tapi, Datin Fadhilah sudah menerimanya sebagai menantu. Dia tidak perlu bimbang lagi.

"Ayra bila nak pindah sini?"

"Ayra sebenarnya belum tamat pengajian lagi. Tahun depan baru tamat. Lepas tu baru boleh mohon pindah."

"Tinggal kat sinilah bila pindah nanti?"

"Tak tahu lagi. Kena bincang dengan Adiy dulu."

"Batalkan saja niat nak duduk rumah sendiri. Datin takkan setuju. Kalau dah kawin, dah ada anak, kena duduk dengan dia. Itu syarat Datin kalau berkahwin dengan anaknya."

Berkerut dahi Ayra. Syarat yang tak munasabah. Takkanlah dah beranak-pinak pun kena tinggal dengan mak mentua? Ayra tak setuju. Dia beraharap syarat Datin Fadhilah itu sudah tidak dipakainya lagi.

"Ayra, Mak Onah nak pesan ni... Ayra hati-hati ye dengan Datin... dengan Sya."

Mak Onah teringat peristiwa tempoh hari. Dia tak sengaja telah terdengar perbualan Datin Fadhilah dan Syamila Aqilah. Mereka sedang merancang sesuatu ke atas Ayra. Mak Onah tak mampu hendak membantu Ayra. Dia hanya boleh memberi peringatan pada Ayra. Dia berharap agar Ayra akan sedar lakonan Datin Fadhilah dan Syamila Aqilah sebelum terlambat. 

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now