"Termenung apa tu? Hmm... teringatkan Dira ke?" usik Datin Fadhilah.
Setiap petang Jumaat, Nadira akan sampai. Dia menjadi pembantu setia Shahin Adiy. Datin Fadhilah kagum dengan sikap Nadira itu.
"Eh, tak adalah."
"Ye ke? Alah, dengan mama, takkan segan nak mengaku. Baik kan si Dira tu. Walau kau dah sakitkan hati dia, tapi dia tak ambik kisah pun. Dia layan kau seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku sebelum ni. Hmm... bertuahnya mama kalau dia jadi menantu mama. Senang kerja mama. Ringan tulang budak tu."
"Mama ni merepek apa? Adiy dah ada isteri."
Tidak pernah terlintas di fikiran Shahin Adiy untuk berkahwin dengan Nadira atau mana-mana gadis sejak dia menemui semula cinta pertamanya. Rasa cinta, rasa sayang hanya tercurah pada isterinya. Tidak mungkin ada perempuan lain yang dapat menggantikan Ayra di hatinya. Kedudukan Ayra terlalu istimewa.
"Mama tak merepek. Mama cakap yang benar. Kau tak nampak ke kebaikan yang ada pada Dira tu. Masa kau terlantar di hospital, dia berulang kali datang melawat kau, hiburkan hati kau. Bila kau dah kembali ke rumah, dia tetap datang melawat. Bantu kau berjalan, buatkan kau air, dan macam-macam lagi. Mama memang pandang tinggi pada budi pekerti Dira. Susah nak cari gadis macam dia dalam zaman sekarang ni."
Shahin Adiy mahu tergelak mendengar pujian melambung Datin Fadhilah ke atas Nadira. Jelas sekali, Datin Fadhilah belum kenal Nadira dalam erti kata yang sebenar. Depan orang, memanglah Nadira nampak macam baik sangat. Tapi bila di belakang, Tuhan saja yang tahu.
Persamaan antara Datin Fadhilah dan Nadira yang mungkin telah merapatkan perhubungan mereka. Masing-masing pandai berlakon.
"Masa Adiy kat hospital, Ayra ada datang tak mama?" soal Shahin Adiy.
Raut wajah Datin Fadhilah terus berubah bila nama Ayra disebut.
"Kau ni, kenapa masih nak ingat budak tu lagi? Kau tak sedar-sedar lagi ke, budak tu curang pada kau! Bukti pun mama dah tunjuk?"
Bengang Datin Fadhilah kerana Shahin Adiy masih teringat lagi pada isterinya.
"Tolonglah mama. Jangan sebut perkataan tu lagi. Adiy tak nak dengar. Ayra ada datang kat hospital tak masa Adiy masih kat sana? Adiy nak mama jawab dengan jujur."
"Tak ada! Kau tak percayakan mama ke? Dia tak pernah datang melawat kau kat hospital. Kau nilailah sendiri perangai isteri kau tu. Kalau orang lain, suami sakit, 24 jam isteri menemani. Tapi berbeza dengan kau. Kau cedera parah pun, batang hidung dia langsung tak nampak!"
Entah kenapa, Shahin Adiy lebih percaya cakap Mak Onah berbanding ibunya.
"Kau ceraikanlah isteri kau tu. Tak ada gunanya kau simpan lagi. Lepas tu nikah dengan Dira. Mama jamin hidup kau takkan merana kalau kau pilih Dira sebagai isteri kau. Dia pandai menjaga kau. Tak bawak masalah. Hati mama pun senang tengok rumah tangga kau bahagia."
"Adiy nikah sekali saja mak. Cukuplah isteri Adiy sorang saja."
"Tak faham aku dengan perangai kau ni!"
Datin Fadhilah terus bangun meninggalkan Shahin Adiy. Dia kecewa kerana Shahin Adiy masih setia pada Ayra. Kebaikan Nadira tak dihargai langsung.
* * *
Mak Onah menghulurkan tuala kepada Shahin Adiy yang sedang berlatih berjalan menggunakan alat bantu berjalan yang baru dibeli. Selain rawatan fisioterapi yang dijalankan selama tiga jam pada sebelah pagi, Shahin Adiy juga berlatih berjalan sendiri di rumah tak kira petang atau malam.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...