"Mama nak pinjam Ayra petang ni, boleh?"
"Mama nak bawa Ayra ke mana?" soal Shahin Adiy.
"Mama nak shopping. Mama nak Ayra temankan mama. Kak Sya kau tak boleh tinggalkan butik dia tu."
"Terpulang pada Ayra ma. Kalau dia setuju, Adiy tak kisah. Adiy pun tak sempat nak bawa Ayra shopping lagi." Ujar Shahin Adiy sambil membaca Yahoo News melalui iPad2.
"Nanti mama cakap sendiri dengan dia. Ayra ada kat mana sekarang?"
"Dapur. Tolong Mak Onah masak."
"Adiy, kan mama dah pesan, dia tu menantu mama. Tak payah nak masak. Biar Mak Onah uruskan semua tu."
Shahin Adiy tergelak kecil.
"Adiy dah cakap dah mama. Ayra tak peduli. Takkan Adiy nak heret dia keluar dari dapur tu. Lagipun, dia nak belajar masak dari Mak Onah tu. Biarkanlah ma."
"Tak payahlah nak belajar masak-memasak ni. Adiy dengan Ayra kan tinggal sini nanti. Bukan nak ke mana pun."
Shahin Adiy terus teringat perbualannya dengan Ayra ketika dalam kereta. Ayra ada mengesyorkan supaya mereka duduk rumah sendiri bila dia sudah dapat berpindah ke Kuala Lumpur. Tugas Shahin Adiy untuk memaklumkan kepada Datin Fadhilah mengenai keputusan tersebut.
"Kenapa diam saja? Ada perancangan untuk duduk rumah sendiri ke?" sindir Datin Fadhilah.
"Eh, tak adalah ma."
Masih terlalu awal untuk berterus terang. Ayra akan berpindah sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Lebih baik perancangan tersebut disimpan dulu agar hati ibunya tidak terguris. Shahin Adiy buat keputusan untuk tangguhkan dulu soal pindah rumah. Dia harus menjaga hati ibunya yang baru menerima Ayra sebagai sebahagian keluarga mereka.
"Baguslah. Mama ni dah tua. Bila-bila masa saja akan mengadap Ilahi. Jadi, sebelum mama pejamkan mata, mama nak anak menantu mama dan cucu-cucu mama hidup bahagia di rumah ni. Rumah ni besar. Banyak bilik."
"Ish mama ni, jangan cakap macam tu." Shahin Adiy meletakkan iPad2 atas meja.
"Mama cuma ingatkan saja."
"Adiy tak lupa."
Perlahan sahaja nada suara Shahin Adiy. Dia ketepikan masalah tersebut kerana masa masih panjang lagi. Banyak lagi benda lain yang perlu difikirkan. Hubungan Datin Fadhilah dan Ayra baru sahaja bertaut. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan semula.
Ayra muncul bersama seteko teh dan sepiring kuih seri muka. Dia menuang teh untuk ibu mentuanya dan Shahin Adiy.
"Mama, jemput minum." Ayra menghulurkan teh kepada Datin Fadhilah.
"Betuah Adiy dapat isteri rajin mcam Ayra ni," usik Datin Fadhilah.
Ayra terasa malu dipuji terang-terangan. Pipinya terus merah. Dia cuba mengawal perasaan sambil menghulurkan teh kepada suaminya.
"Mama pun bertuah jugak kan dapat menantu pandai memasak."
"Mak Onah yang sediakan air dan kuih ni, Ayra hidangkan saja."
"Malu nak mengaku pulak." Usik Shahin Adiy.
Dia menarik Ayra duduk di sebelahnya lantas meletakkan tangan di atas bahu isterinya itu. Ayra pandai mengambil hati ibunya. Shahin Adiy bertuah kerana mendapat isteri yang menghormati orang tua.
Datin Fadhilah tersenyum melihat kemesraan anak dan menantunya. Gelora di dalam hati ditekan-tekan agar tidak terpancar di raut wajahnya. Sabar... dia memujuk hati. Bibirnya terukir senyuman. Hatinya panas terbakar.
* * *
"Jemput kami tiga jam lagi."
"Baik Datin."
Datin Fadhilah dan Ayra melangkah turun dari Mercedes. Pak Mustafa memandu kereta menuju ke tempat parkir.
Pavilion Kuala Lumpur tersergam indah di depan mata. Pusat beli belah tersohor itu dibuka pada Oktober 2007. Ia dibina di atas tapak sebuah sekolah tertua di Kuala Lumpur iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Bintang. Pada tahun 2000, sekolah tersebut dikosongkan dan dipindahkan ke Cheras dan bertukar ke nama baru iaitu Sekolah Seri Bintang Utara.
"Hai mama, apa khabar?"
Ayra terperanjat apabila melihat Nadira menghampiri Datin Fadhilah. Matanya berkelip-kelip, tidak menyangka akan bertemu dengan gadis itu. Datin Fadhilah dan Nadira berpeluk cium seolah-olah sudah lama tidak berjumpa.
Ayra menjarakkan diri, membiarkan Datin Fadhilah melepas kerinduan pada gadis yang menjadi pilihan untuk menjadi menantunya.
"Mama yang ajak Dira teman mama sekali. Dira ni tahu pakaian yang secocok dengan tubuh mama," ujar Datin Fadhilah. "Tak apa kan mama ajak Dira sekali?"
"Eh, tak apalah." Ayra senyum-senyum walaupun hatinya menggerutu. 'Kalau dah ada teman, buat apa ajak aku?' Dia terus membebel.
'Tak apalah' hanya di bibir. Jauh di sudut hati, tentulah dia tidak bersetuju dengan tindakan Datin Fadhilah. Ajaklah orang lain asalkan bukan Nadira. Hubungannya dengan Nadira tidak baik. Datin Fadhilah sendiri maklum dengan hal tersebut. Tapi kenapa masih mahu khidmat Nadira? Takkanlah hanya kerana kepandaian Nadira dalam hal pemilihan pakaian? Atau ada agenda lain yang tersembunyi?
Ayra rasa terpinggir. Benar-benar terpinggir. Datin Fadhilah dan Nadira berjalan beriringan. Borak-borak dan ketawa kecil. Dia? Dia hanya mengekori mereka di belakang, menunggu mereka memilih pakaian dan dia juga yang membawa beg-beg kertas berisi pakaian yang sudah dibeli.
'Adakah aku menantu atau pembantu rumah?' Ayra mengomel, terasa hati denga layanan Datin Fadhilah. Ke mana menghilangnya rasa 'keinsafan' Datin Fadhilah?
Dia juga cemburu. Ya, Ayra akui hatinya amat cemburu melihat kemesraan Datin Fadhilah dan Nadira. Datin Fadhilah memintanya agar menganggap Nadira seperti adik sendiri kerana dia sendiri sudah menganggap Nadira seperti anaknya. Kerana Nadira dianggap seperti anak sendiri, maka gadis itu mendapat layanan yang cukup istimewa. Sudah tiga helaian pakaian dibelikan Datin Fadhilah untuk 'anaknya' itu. Bukan itu sahaja, Nadira turut dihadiahkan dengan beg tangan berjenama Gucci.
Untuk dirinya, langsung tiada apa-apa. Namun, bukan itu yang membuatkan hati Ayra terkilan, tapi kerana layanan Datin Fadhilah ke atasnya.
Benarkah Datin Fadhilah sudah berubah?
Benarkah Datin Fadhilah sudah insaf?
Benarkah Datin Fadhilah sudah menerima aku sebagai menantunya?
Pertanyaan-pertanyaan itu bermain-main di fikirannya. Kata-kata Mak Onah terngiang-ngiang di telinga.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...