ARTIKEL SWARA

10 0 0
                                    

BERKULIT BIAWAK MENYUSURI DUNIA

Tidak pernah terbayang separuh usia dilalui untuk terus berkisah tentang kewujudan LGBTQ.

Keluar masuk pusat pengajian tinggi menemui anak anak bangsa, berurusan dengan pihak media dan bertemu mereka yang dewasa dalam forum forum seksualiti hanya untuk berkisah keberadaan diri dan komuniti. Ia bagaikan kerja kotor yang harus ditangani kerana takut, takut jika tugasan tersebut jatuh pada perwakilan yang salah.

Muncullah saya seawal tahun 1997 setelah benar benar menjalani kehidupan sebagai Transnita. Dengan wajah dan fizik yang tidak seberapa memberanikan diri meleraikan pada umum tentang laluan hidup dan cabaran yang perlu dilalui oleh kaum Mak Nyah di Malaysia. Percayalah ia tidak mudah, sesekali seperti membuka pekong di dada.

Ini tugasan berat untuk manusia pemalu, namun dengan dukungan pengalaman sebagai bekas guru sekolah dan kerjaya pentas (penyanyi dan pengacara majlis) bermulalah kerja kerja advokasi tentang SOGIE (Orientasi Seksual, Identiti Gender dan Ekspresi Manusia). Di saat masyarakat terpana mahu tahu bagaimana kehidupan sebagai pondan (terma hina lama yang sudah jarang dipakai) tampillah saya dengan harapan, memperkenalkan terma terma seksualiti, memohon sedikit ruang untuk teman teman senasib di negara Malaysia (selalunya di bahagian utara tanah air - sekali sekala dijemput untuk ke Kuala Lumpur). Penerangan semakin betah setelah terjun ke dunia penulisan, giat bermedsos serta menghasilkan karya karya fiksyen dan non fiksyen di dunia penulisan Malaysia.

Adalah dipercayai bahawa di sekeliling, masih ramai manusia berhati mulia tanpa mengira apa jantina mereka. Kerap diusulkan bahawa kata kerja PENERIMAAN membawa makna besar nan sakral, terima atau tolak mampu berlaku dalam banyak segmen hidup, ia hak peribadi. Sayangnya Gender/Jantina/Orientasi manusia sudah dibuktikan mampu diangkat menjadi senjata politik, sosial dan agama. Di sinilah berlegarnya LGBT pelbagai polemik membebankan. Tidaklah pula dapat dipastikan bagaimana beratnya tanggungan emosi di pihak Cisgender (manusia yang emosi mereka selaras dengan gentalia sewaktu dilahirkan), apa yang pasti para Transgender (mereka yang emosinya tidak selaras dengan gentalia sewaktu dilahirkan) mendapat banyak kekangan/hadangan/kesulitan hidup demi menzahirkan  jantina masing masing. Jantina dan kelaku yang tidak pernah direkrut itu membawa masalah, bermula dari lingkung kecil keluarga, masyarakat kecil (tempat tinggal, sekolah) dan tempat kerja, menjurus pula ke tangga mahkamah syariah tanpa belas kasihan melibatkan terbantutnya kesejahtaraan manusia LGBTQ..

Menjadi perang  berterusan sejak pertengahan tahun 80an sehingga hari ini, polemik LGBT masih diangkat jadi hal tabu hanya kerana ada pihak secara diam atau terang terangan tidak dapat menerima keberadaan yang berbeza daripada mereka. Sesekali negara dikejutkan pemberitaan media yang melibatkan tingkah LGBT, hingga menyelinap masuk dalam ruang politik. Tidak kira samada ia kejadian benar atau fitnah semata mata, tidak dapat tidak masyarakat menjadi terganggu dan mula merangka penghakiman peribadi yang selalunya tidak adil, ada ketikanya begitu tidak berperikemanusiaan.

BERKULIT BIAWAK?

Untuk hidup rasa malu harus diketepikan. Atas dasar itu secara berjenaka dalam banyak wawancara, sering dijawab: "Jangan diambil kira tentang saya, saya ini berkulit biawak"

Berpakaian wanita sejak usia 15 tahun secara curi curi dan ketika cuti penggal, kemudian berpakaian sebagai lelaki bila terpaksa (ketika belajar & bekerja) membuahkan perasaan yang kucar kacir. Menjalani hidup sebagai transnita tanpa sebarang bimbingan sangatlah mengerikan. Apa tidaknya? Belanggu ketakutan akan sering ada. Merasa keseorangan dan depresi berat ditanggung sebaik akil baligh membawa dewasa.

6 tahun 7 bulan menjadi guru sekolah kerajaan (di Kelantan dan Brunei) hampir menjadikan saya gila akibat tertekan, lantas mengambil keputusan untuk berpakaian dan hidup sebagai perempuan sebaik sahaja adik bongsu tamat persekolahan (menjadi tulang punggung keluarga secara ekonomi/kewangan ketika itu). Ternyata 'berperasaan wanita di tubuh lelaki' bukanlah fasa hidup yang akan berubah selaras usia atau kematangan, saya kekal demikian. Proses menyalahkan diri tamat di situ juga sebaik diputuskan bahawa saya akan berurusan dengan Tuhan secara peribadi (kerana kiri kanan, termasuk dari komuniti mengatakan ia salah).

SELFISHWhere stories live. Discover now