BERTEMU MELAYU MUSLIM
Sebagai transnita biasa, aku sudah bertemu ramai manusia. Maklumlah di usia emas ini sudah tentu pelbagai pengalaman dikumpul, disimpul dan dicerna. Tidaklah istimewa mana menjalani kehidupan sebagai Transnita, sama sahaja perjuangannya seperti kau dan mereka. Cuma pembuktian selalunya harus dilipat ganda. Tidak kisahlah itu permintaan dunia di bahagian Asia dan di mana mana.
Seringnya mereka yang sukar dielak. Sukar bagaimana? Mereka yang suka menghakim secara sedar atau tidak. Dalam suasana lembut atau kasar. Kegemaran menegur atas alasan agama dan budaya ada ketikanya tidak kena. Takut mereka kalau masuk neraka kalau tidak menegur menghina sesiapa sahaja yang tidak beracuankan jalan hidup yang mereka lalui. Yang bijak dengan cara intelek, yang kurang bijak dengan cara mereka dengan makian dan kutukan yang dianggap biasa.
Hal hal ketidakadilan sudah dibincangkan sejak lama. Bosan kalau diulangi semula. Sifat manusia akan berterusan begitu, dipusing, tolak dan tarik, begitu juga... Jadi semakin usia meningkat kita mengumpul sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai untuk menjadi teman, saudara atau orang terdekat sebagai rakan sokong bantu.
Jangan main main dengan manusia. Ada yang hadir berpura pura dan jika ada selisih pemahaman, diangkatnya hal hal seksualiti kamu dan cara hidup kamu yang dianggap berdosa dan tidak kena. Kemesraan dan kasih sayang bagi mereka mungkin seharusnya menguntungkan secara materi atau menurut kata.
Manusia sama sahaja dalam meniti kehidupan. Masing masing mencari cara hidup terbaik, bahagia melalui amalan dan kegiatan segar baharu demi kesejahteraan. Apabila mula mempelajari susur galur agama, kita fikir mereka akan jadi lebih mengerti akan kekuasaan Pencipta.
Sayangnya apabila secara dasar/cetek sudah mengenali apakah itu Fiqah yakni:
"Kalimah Fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan ulamak kepada memahami ajaran Islam yang berkaitan dengan hukum-hakam amali sahaja, iaitu percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia"
Mereka mula menjadi takut dan gementar pada dosa lalu atau paling tidak hidup yang difikirkan salah, mungkin gementar tersebut mahu dilampiaskan pada orang orang sekeliling yang tidak sama dengan mereka. Paling sedih, mereka mula terlupa pada kemampuan Yang Esa. Hal hal remeh mula jadi pertikaian dari makanan, amalan, pakaian, seksualiti dan ada ketikanya mereka mampu menjadi rasis jahat tanpa sedar sekiranya diajar oleh tok guru yang silap. Terlupa habis habisan bahawa kasih sayang (compassion) yang dianjurkan oleh agama. Berbicara akan hal ini juga dirasakan lapuk sebenarnya, terasa bagai habis tenaga mahu berdebat atau menerangkannya.
1. Tiba tiba menjadi alim dan rigid
2. Perbualan akan menjurus pada hal agama sahaja
3. Sanggup menggelar diri yang dahulu sebagai jahiliah
4. Merasa resah melihat orang lain hidup tidak sepertinya
5. Selalu beralasan bahawa dirinya tidak mahu tanggung dosa
6. Segala kejadian baik atau buruk dipintas dengan alasan agama
7. Bertukar cara berpakaian dan mula menidakkan asal usul Melayu ke tahap eksterim.
8. Berana dan anta juga ramai
9. Mengkafirkan orang orang lain yang menumpang dunia
10. Tambahlah apa yang kamu fikirkan di sini...
Begitulah seadanya dari kawan kawan dan kenalan. Apa yang lucu ada yang bercakap seolah olah kita terlupa pada kegiatan mereka dahulu tanpa rasa malu. Kalau diingatkan marah jadinya. Begitu juga yang hanya beberapa ketika menjadi alim, bila pulang semula ke hidupan lama, janganlah diungkit tanya, marah mengamuk juga ada...
Mereka akan tersedia dengan jawapan beralaskan agama kalau dikatakan bahawa hubungan manusia dan tuhan serta agamanya adalah peribadi. Mereka ini selalunya tampil pelik. Bagaikan orang salah tersorok sorok apabila mahu melakukan kegiatan yang dirasakan salah. Apabila memasuki zaman medsos lagilah ribut. Mereka bagaikan lupa ada orang memerhatikan segala muatnaik mereka yang berunsur unsur taksub. Orang orang begini kalau sekali kecewa dengan Tuhan, perilaku mereka juga aneh. Mahu mempamerkan sifat rebel mereka pada Tuhan (entah untuk tatapan siapa). Muatnaik makanan haram, memeluk anjing untuk tatapan teman teman, berclubbing penuh ghairah dengan kata kata yang berbentuk perli...(saya sudah melihat banyak jenis yang sebegini). Entah apa agaknya fasa yang akan dilaluinya nanti?
Mengaku Athiest tetapi galau. Aduh kasihan... sudah jumpa jalan baharu...memerli agama lama bukanlah caranya untuk bahagia sayang...
Demi bersangka baik kita anggaplah itu alter ego mereka sahaja. Kita pura pura tidak nampak, itu jalan yang terbaik sebenarnya. Segala yang disebutkan di atas melibatkan semua jantina tidak kira para cisgender atau LGBT. Ya, kita mengerti manusia tercari cari bahagia. Berulang kali kita katakan bahawa bahagia ada dalam diri, memaafkan situasi, berdamai dengan hati, berhubung dengan tuhan, segalanya hanyalah duniawi, bersederhana dalam apa sahaja rentak hidup. Mungkin mereka kurang mengerti. Mungkin dalam diam terlalu asyik tercari cari idola hingga tampil pelik dan aneh. Idola tetap tidak ada...
Demi kemaafan dan kedamaian situasi kita memaafkan mereka dalam diam. Tidak mahu tahu apa yang mereka fikir tentang kita langsung. Kita juga mahu berhati hati sekiranya terpaksa berhadapan dengan orang yang sebegitu dan mula mencari manusia yang telus bicara dan tingkah lakunya.
Mansuia nabi, manusia tuhan sudah berlambak kita jumpa, sehingga kita belajar bagaimana untuk dielakkan. Itu belum diambil kira hal hal depresi, bi-polar dan sakit rohani mereka lagi. Kita maafkan lagi secara perlahan lahan sambil memohon pada yang Kuasa agar kita selalu diberi pencerahan untuk menggendalikan kehidupan.
Sekiranya kamu masih kabur akan sifat Melayu Muslim, saya anjurkan kamu perlahan lahan meneliti mereka yang sedia ada dalam kehidupan kamu. Perhatikan dengan teliti... Sifat mereka apabila berbicara tentang agama, tawaduk pura pura, hubungan mereka dengan duit, hormat mereka pada masa dan dominan beragama dan percubaan mereka menjual nilai. Kamu catat satu satu satu sehingga bertemu kesimpuan.
Kenapa Melayu Muslim? Kerana itulah agama dan bangsaku sebagai permerhati. Bukan semua, sila ambil perhatian. Saya masih dilingkungi ramai mereka Melayu Muslim yang baik baik, cuma artikel ini mahu kamu mengasah bakat mata hati kamu dan menilainya sendiri...
Salam kasih sayang...
YOU ARE READING
SELFISH
AcakIF ONLY I LIVE TO TELL... Do you think it will be fair? No doubt, I am an excellent storyteller. I will leave your jaw dropped with my tales of manipulated words and languages. It is going to be all about me, me and myself alone. I will pretend to i...