KEMARUK FACEBOOK.
Sesawang mukabuku yang sedang kamu gunakan ini dilancarkan pada Februari 2004, Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat oleh Mark Zuckerberg, Andrew McCollum, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz, Chris Hughes. (Sila tonton filem The Social Network terbitan tahun 2010)
Peranti genggam juga sudah berubah dari model ke model yang jauh lebih canggih, mukabuku kekal sebagai media perhubungan sosial sesama kita. Tempat berkumpul kenalan dan saudara mara terdekat atau yang terpisah. Ia sesawang yang menakjubkan sebenarnya. (Walaupun sesekali diperli oleh pengguna twitter yang acah acah terkedepan).
Setakat tahun 2020 negara India mencatat jumlah pengikut facebook tertinggi yakni 280 juta pelayar. Malaysia tidak masuk dalam senarai 10 tertinggi, meskipun pernah dikatakan paling atas kerana warga Malaysia sedang di ciwi di pertengahan tahun dua ribuan. Indonesia setakat ini berada di tangga ke 3 setakat perangkaan pengguna fb tahun 2020.
Fan Page facebook paling ramai diikuti adalah personaliti Cristiano Ronaldo dengan pengikut seramai 112 juta setakat bulan Februari 2020.
Mukabuku mampu menjadikan pengguna awal ketagihan. Maklumlah, manusia tanpa sedar perlu berhubungan, meluahkan perasaan dan berkognsi/mencari maklumat baharu. Sistem mukabuku yang semakin canggih menjadikan segalanya jauh lebih mudah.
"Kau add aku di fb senang nak contact nanti," frasa biasa bila ketemu teman lama...
"Kan Nab ada fb tak?"
"Mestilah ada... kau cari Nab21, aku ler tu," ujar Makcik Zainab yang meniaga pulut panggang di pinggir jalan Kuala Kangsar.
Cerita cerita tentang ulah dan konotasi pengguna mukabuku sudah kita sentuh dalam bab bab lepas. Dari kisah kesepian sehingga kisah kisah fitnah yang membawa ke tangga mahkamah, termasuk aksi aksi yang bagaikan menyelak kain sendiri. Namun mukabuka tetap membawa bersama kebaikan tersendiri sebagai laman untuk mempromosi hal hal perniagaan dan kerjaya. Jangan dinafikan kebaikannya.
Sensasi akan tetap mendapat perhatian, lambang azali sifat manusia. Lebih baik kisah aib orang atau kalau diri sekalipun biarlah saat kita jadi mangsa, di situlah laman yang memberi dukungan dan bantuan jika bernasib baik. 'Bunga Tahi' juga boleh muncul mekar dalam perhubungan di mukabuku, hanya kerana berbeza pendapat atau muatnaik digunakan untuk memperlekehkan pihak pihak tertentu. Ya, ada pengguna yang hanya terdorong hal tersebut, sila ambil maklum agar kamu mampu menjadi pengguna mukabuku yang baik, progresif dan aman. Ini antara keseronokan yang membikin kemaruk!
Jadi tidak silaplah jika ada yang mengatakan FACEBOOK bagaikan dinding ratapan atau kotak pengakuan. Manusia memerlukan rasa lega, jika zaman dahulu digunakan ketua masyarakat, pakar kaunseling, ketua keluarga atau teman rapat, kini secara perlahan lahan mukabuku menjadi tempat luah perasaan. TIDAK SALAH, tetapi membawa mudarat dan rentetan yang agak sesuatu jika tidak bijak ditangani...
Secara emosi boleh dilihat anak anak muda sepi tercari jodoh, NGI yang berjuang, rungutan sang surirumah, Mak Nyah yang sedang menikmati transisi, Gayah tayang body, Agamis menjual nilai, Politisi jadi jadian, Pengasas kosmetik memasang umpan, sang akademik berkongsi ilmu dan pelbagai urutan yang paling tidak membina hari kita yang membosankan.
Mencari barangan dan perkhidmatan tidak lagi sukar, meriki peluang (baik atau buruk), memanipulasi suasana juga mampu dilakukan jika mahu. Segalanya seolah olah memasuki ruang: TERPULANG PADA KAMU DAN RUANG PILIHAN.
Berkali kali sudah dipesan bahawa kebergantungan (attachment) pada sebarang hal adalah tidak elok bagi manusia. Pesanan agar berpada pada diulang sehingga timbul rasa meluat. Kemaruk membawa makna lahap, tergantung, memerlukan sangat sangat... dari waktu ke waktu luahan akan melibatkan kata kerja KEMARUK di mukabuku...
"Kau ingat aku kemaruk LIKES?" marah si gadis berDP wajah kartun Jesica Rabbit.
"Aku tak batak perhatian koranglah!" muatnaik anak muda yang nampaknya hipster sekali - dia mungkin tidak faham terma batak.
"Kau 24 jam depan fb ker?" soal teman saat bertemu,"aku buka jer fb kau tetap muncul," Apa dia lupa peranti kini semua sudah berada di tangan?
Itu belum lagi kisah anak anak yang tidak ghairah di meja makan saat keluarga berkumpul... begitu asyik mereka bagaikan menanti balasan, muatnaik baharu atau apa sahaja... (kalau zaman dahulu bagaikan berada di bawah pokok menanti manggis jatuh saat ada orang lain memanjat), belum lagi kisah kecil hati tidak semena mena...
Apa agaknya langkah untuk jadi tidak KEMARUK medsos?
- Bagaimana kalau kamu cuba DETOK diri dalam tempoh waktu tertentu? seminggu? atau sebulan? Saat untuk tidak melayan sebarang hal dari medsos... - boleh?
- Alih cara dengan membaca buku?
- Menceburi hobi dan kegiatan baharu?
- Melebihkan masa bersama teman teman dan keluarga
Tercari cari punca kemaruk pada medsos? Sama saja dengan ketagihan ketagihan lain, kemaruk pada medsos tidak mempunyai sebab musabab yang jelas. Sesetengah orang ketagih/kemaruk kerana ia beriringan dengan sakit mental disebabkan oleh tekanan atau celaru keresahan. Facebook dan sebarang dinding medsos jadi tempat tenang dan digunakan sebagai pelampias untuk menangani simptom yang dialami. (Terma sakit mental di sini bukan bertujuan menghina, ia adalah hal nyata)
Apa yang boleh dilakukan jika merasa sudah kemaruk?
- Tukar habit/rutin menyemak medsos di permulaan hari, buat tidak tahu sahaja.
- Cuba untuk tidak berdigital seketika. Jangan gunakan medsos saat makan atau ambil langkah rehat 24 jam (sehari) dari hal hal digital.
- Padam segala tentang medsos
- Buang segala paparan medsos di peranti kamu
- boleh block jika mahu
APA KATA DAKAP HAL HAL ALTERNATIF?
Saranan ini menjurus pada mereka yang agak tertekan bila ada keterlibatan/hubungan/keterikatan dengan media sosial. Ada kajian kajian yang membuktikan bahawa keluar/padam/hapus diri dari medsos akan membaik pulih emosi/mood/dirian kerana ia tanpa sedar membuat pelayar membandingkan diri dengan orang lain. Ia mungkin akan menjadikan tidur kamu nyenyak.
Antara hal tidak sihat di media sosial adalah peningkatan FOMO (Fear Of Missing Out) - akibat membanding dan perasaan seperti merasa tidak cukup, tidak layak, tidak puas hati dan terpinggir. Perasaan tersebutlah yang akan memberi kesan pada emosi dan memburukkan simptom depresi, keresahan/debar dan tekanan.
Nah, sekarang kamu faham bukan kenapa ada teman teman dalam senarai mukabuku kamu datang dan tiba tiba pergi atau hilang begitu sahaja bagaikan dibawa angin. Tidak perlulah dijadikan isu...atau ugut mengugut untuk block atau memberikan amaran bahawa kamu akan menutup akaun FACEBOOK kamu...
-
NOTA: artikel ini disiarkan secara digital, jadi secara logiknya pembaca melayari medsos. Namun, bicara punya bicara, ringkasannya mudah. Saranannya: Medsos dilayari secara berpada pada, tahu apa yang berfaedah dan menyumbang, menyekat jari jemari dan akal nakal jahat, demi alasan alasan agar tidak membawa mudarat pada diri.
Layarilah medsos secara berhemah.
YOU ARE READING
SELFISH
De TodoIF ONLY I LIVE TO TELL... Do you think it will be fair? No doubt, I am an excellent storyteller. I will leave your jaw dropped with my tales of manipulated words and languages. It is going to be all about me, me and myself alone. I will pretend to i...