MEMOIR MERDEKA
Tarikh kali ini saya ditelan waktu, genap 56 tahun. Setiap menjelang kemerdekaan dan dua tiga perayaan kita pasti mendengar seruan pada kata MUHIBBAH. Ya, di usia negara 63 tahun itu ia kedengaran agak klise.
Secara peribadi saya merasa bertuah kerana sejak kecil didedahkan pada perbezaan bangsa, anutan dan cara hidup. Sewaktu zaman kanak kanak kami saling melihat, berkerut dahi, tertanya dalam hati kerana tidak bertemu kata untuk dipersoalkan. Guru guru juga membantu meningkatkan pemahaman melalui subjek sisipan 'PENGAJIAN TEMPATAN' di tahun 70an.
1971 Bahasa Inggeris di sekolah sekolah terpilih dimansuhkan sebagai bahasa pengantar.- sisa sisa Inggeris masih ada, secara tidak langsung kami anak anak Melayu kampung terpaksa menjadi bi-ligual bila berurusan semasa sebagai kanak kanak.
Secara tidak sedar ia membentuk personaliti yang kukuh bila menjelang dewasa. Kami tidak tertanya tanya lagi kenapa ada pesta makan sayur, ikut menonton wayang cina, melihat kemeriahan perarakan Thaipusam, muzik pentas kotai dan menyaksikan Bukit Mertajam dibanjiri oleh penganut Nasrani ketika perayaan St Anne. Sesekali kekeliruan dijelaskan oleh teman teman dari bangsa dan anutan berbeza, sebagaimana kami menjawab soalan kenapa Azan? Kenapa 5 kali sehari? Kami tidak ketawa lagi pada tanda putih di dahi Thiruvarasu setiap pagi, tidak kecewa bila Ah Siong berkata bekal kuih pau daging merah tidak boleh dikongsikan bersama kami dan mereka sering minta maaf bila terpaksa makan di hadapan kami di bulan Ramadhan. Pemahaman di usia kanak kanak itu manis dan membekas bagaimana kami tanpa sedar ketika saling mencari pengertian hidup bila hidup berkumpulan.
Saat di Kolej dunia menjadi lebih luas... bertemu teman teman dari Malaysia Timur yang dialeknya berbeza, melihat kesabaran mereka yang memiliki nama dan berwajah Melayu bila ditarbiah oleh teman teman yang ciwi beragama... Anak Iban yang gagah, si Murut, si Bidayuh dan Melanau yang bijak bijak. Menilik dialek teman Kadazan Dusun dan bertanya itu dan ini pada mereka. Melintas pula di kamar anak anak cina dari Kelantan, terhenti, terpana seketika mendengar mereka berbicara seperti pakcik pakcik dari perkampungan nelayan di Bachok.
Begitu juga ketika di luar negara bila bertemu anak anak Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa ikatan menjadi begitu rapat. Masing masing tahu apa yang dirindui. (Yang kera sumbang selalunya mereka yang agak rasis, membawa diri dan menyimpan kesumat pada negara - kasihan sekali kerana hal itu harus menjadi latar belakang mereka)
Alaf baharu semakin luas sebenarnya. Teman teman hadir dari pelbagai latar belakang (campuran bangsa itu dan ini - lots of mix katanya, menganuti pegangan baharu, di landas politik berbeza, ada yang lebih Melayu dari Melayu sendiri). Suka tidak suka, segalanya didakapi dengan dada terbuka. Sesekali bila terpaksa melihat perdebatan tentang agama dan nilai hidup, kita merasa cuak serta tidak nyaman. Penetapan itu dan ini berdasarkan nialain kumpulan besar, faham bagaimana sang minoriti berkecil hati dan marah ada ketikanya.
"You must understand where they're coming from..."ujar anak Millenial
Saya kembali melihat zaman kanak kanak, bukan semua bertuah seperti kami yang hadir dari bekas sekolah rendah Inggeris yang berbilang bangsa... terbayang pula jika membesar di kawasan terpencil yang hanya didominasi oleh satu kaum sahaja. Terkedu melihat patung Ganesha, takut pada bau colok dan seram mendengar loceng gereja... ditambah pula didikan 'jahat tanpa sedar' orang tua (sang kafir akan jadi kayu pembakar kamu di neraka, jangan beli dari orang bukan muslim dan pelbagai hal negatif lain - duit yang berlegar dari pasar babi ke tangah Hajjah Rahmah, mereka pura pura tidak ingat yea...? Karya RM10)
Hari ini ayuh kita sama sama berfikir: Tubuh, Emosi dan Hati kita yang membenarkan diri dikotak katik, dipacu oleh keremehan ras, agama, bangsa saat mereka berpolitik harus ditinjau molek molek. Merugikan bila kita didesak oleh kemarahan dan luapan tidak puas hati yang dijana oleh kelompok kelompok yang menggelar diri sebagai pemimpin, sedangkan kita manusia manusia biasa menyintai kedamaian dan kemakmuran.
Kita berharap teman teman mampu jadi positif melalui perubahan kecil dalam diri bila menilai perbezaan. Sedikit demi sedikit dengan sifat mudah bersyukur, memahami akan warna dunia, kepelbagaian cara hidup itu pasti akan menjadi pola fikir yang sihat, bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal. Bahagia dalaman yang ikut keluar pasti menghiasi tubuh badan... dan ia pasti berjangkit pada orang di sekitaran dengan sikap penuh pengertian, memaafkan, mudah bersyukur tersebut menjadi pola fikir dan hati yang sihat kemudiannya berubah ----> terarah pada hidup sihat hakiki.
Regina Ibrahim
31/08/20
YOU ARE READING
SELFISH
RandomIF ONLY I LIVE TO TELL... Do you think it will be fair? No doubt, I am an excellent storyteller. I will leave your jaw dropped with my tales of manipulated words and languages. It is going to be all about me, me and myself alone. I will pretend to i...