IKTIRAF

8 0 0
                                    

IKTIRAF

Definisi iktiraf : mengiktiraf, menerima dan mengakui sesuatu sebagai satu kebenaran yakni mengesahkan.

Sebaik dewasa ia bagaikan deria yang menusup masuk dalam diri manusia apabila berhubung sesama. Tidak kira samada menerima atau memberi iktiraf.

Sedap didengar sekiranya diperakui, pilu meribut kalau ditolak mentah atas apa sahaja alasan termasuk aksi diam pihak di sana.

"Saya tahu mereka tidak mengiktiraf kewujudan saya, siapalah saya untuk berdiri segagan dengan mereka?" rungut si A pada si B

Jelasnya deria mahu diperakui ini harus diteliti bijak sebagai manusia yang masih mahu bergandingan. Sakit menanti iktiraf seharusnya berhenti apabila akal dan budi berada di satu tahap dewasa, diimbangi berpada pada.

Setiap kita pasti tanpa sedar sudah melaluinya sejak kecil membawa ke saat remaja dan paling sedih jika ia berlangsung tidak terkawal hingga usia tua. Sudah tentu pengiktirafan membawa sejenis nikmat. Lelah terasa berbaloi, nasib dirasakan tepat dan harga diri semakin meningkat. Namun bagaimana jika iktiraf tidak mahu hadir, berat terpacul dari mulut mulut yang kedekut berbudi? Apa yang tidak kena? Satu tugasan pula untuk berhempas pulas memikirkan apa sebenarnya yang dituntut oleh khayalak? Apakah mereka itu panitia penilai? Ya, barisan manusia yang diiktiraf oleh siapa? Kamu jenuh berfikir.

Tercari cari jawapan ada sebab musabab kenapa tidak diiktiraf juga suatu siksaan jika ia kabur. Perasaan bahawa kamu tidak layak, tidak berkecukupan, pertanyaan apa lagi yang dimahukan adakalanya tidak dinyatakan secara jelas. Kamu semakin tersiksa bukan?

Dari waktu ke waktu PERAKUAN akan tetap memainkan peranannya. Maklumlah kamu tidak berurusan dengan benda mati atau patung pakai bateri.

Jika IKTIRAF jadi segmen penting kamu harus:

1. Mengkaji sisitem piawai kegiatan tersebut. Patuhi

2. Menghasilkan kerja dan bentuk yang dimahukan (atau beri lebih)

3. Terbuka untuk dikritik dan menurut acuan sediakala.

4. Meletakkan inisiatif padu

5. Ada kesanggupan untuk mengulang tradisi (pokoknya setuju)

Kata iktiraf yang subjektif ini akan terus bermain dalam setiap tahap hidup manusia samada ditolak dengan kata kata atau hanya dengan gerak badan sebagai jawapan. Sama sahaja seperti menduduki peperiksaan untuk ke tahap seterusnya. Ya, itu juga perihal IKTIRAF.

Hal mahu diiktiraf terjadi seawal dunia kanak kanak bila dilingkung keluarga, teman teman, sekolah, mula bekerja, memilih teman hidup dan seterusnya dalam apa sahaja langkah manusia.

Demi mencapai iktiraf ada hal hal skema yang perlu dipatuhi oleh pihak teratas/berkuasa dan sudah tentu ada juga langkah langkah peribadi untuk segmen segmen hidup yang membenarkan kamu untuk bertanya, berdebat, membentang atau melawan. Iktiraf seperti yang disebut awal awal lagi merupakan deria yang tidak kunjung padam. Hadir dalam nada subjektif dan bervariasi. Bukankah kita sendiri tanpa sedar mempunyai senarai senarai penting dalam memberi pengiktirafan pada orang lain? Ya, memang ada cuba semak semula... bagaimana kamu menentukan jenis makanan, muzik pilihan, kekasih, jenis kawan dan macam macam lagi. Sesekali kita jadi longgar kerana tahu ia tidak memberi apa apa impak berat, sesekali mempertikai dan dipertikai orang.

Manusia manusia positif selalunya tidak peduli pada iktiraf orang. Dia kenal benar pada jalanan dan kemahuan peribadi. Bersedia untuk berhempas pulas memberi penerangan jelas tentang hala hidupnya yang bagaikan tidak mahu ikut serta dengan khalayak. Apa dia peduli?

Berbeza dengan manusia yang sering lelah menanti agar dirinya dijulang, dipuja puji dan dikagumi. Tidak salah apa-apapun, jika itu kemahuan kamu. Ia kekal sebagai gerak langkah usaha dalam hidup yang diterjemahkan sebagai 'perjuangan' manusia.

Bukanlah tugasan sesiapa untuk menentukan cara garapan kamu terhadap kata IKTIRAF. Mana tahu itu adalah peperangan kamu yang bakal membahagiakan?

Secara klise saya boleh sahaja mengatakan: "Oh! saya tidak hairan peduli pada iktiraf dan perakuan orang, saya adalah diri saya,"

Manalah tahu setelah itu saya kembali ke kamar sepi dan menangis hiba hanya disaksikan oleh empat dinding beku dan Tuhan.

Manalah tahu setelah itu saya kembali ke kamar sepi dan menangis hiba hanya disaksikan oleh empat dinding beku dan Tuhan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
SELFISHWhere stories live. Discover now