New Boyz

2.5K 109 14
                                    

Satu benda yang paling malas kau nak cakap yang kau berasal dari Cheras apabila orang mula mengaitkan tempat tinggal kau dengan New Boyz. Sebuah kumpulan dengan mamat bersurau sengau, gitar bunyi lemau, dan dram ketuk setengah jam sekali.

Disebabkan raya tahun ini dua kali, sesuatu yang agak rare dan lebih millennium lagi ia berlaku pada tahun 2000, sedang kau baru nak berlagak dengan seluar baggy dan t-shirt Limp Bizkit, tiba-tiba bila kau balik kampung, orang tanya kau pasal New Boyz.

Potong betul lah mood beraya macam ni.
New Boyz terdiri dari lima ahli kumpulan: Tomok sebagai vokalis sengau, Syuk, pemain bass, Jay, pemain gitar, Lan, pemain gitar lagi seorang, dan Along, pemain dram yang ketuk sejam sekali.

Disebabkan mereka ini artis berstatus nasional, jadi kehadiran mereka di studio rakaman di sebelah Restoran Nora di CP4 menjadi tumpuan semua peminat-peminat yang telah menunggu di depan restoran tu.

Kawan aku pernah baling mop dari atas cybercafe atas restoran Nora itu apabila Tomok dan rakan-rakannya tiba dan tak pasti mop itu terkena pada siapa.

Masa zaman underground masih kuat dulu, ada juga kedengaran cerita band ini, selain Scoin, Spin, Span dan apa lancau lagi ini, atau kumpulan Budak Kacamata (satu lagi band yang bergaya macam New Boyz) dibaling telur atau sayur yang dah mereput ke arah mereka yang sedang perform di Fajar Hypermarket atau entah mana-mana lagi shopping mall di pekan kecil oleh budak punk dan skinhead.

Membaling mop, telur, atau sayur busuk ke atas New Boyz ini adalah satu tindakan dari manifestasi kebosanan scene muzik mainstream negara. KRU pun dah nyanyi lagu tangkap leleh, Nico pun dah lama senyap, cuma boleh harapkan XPDC. Itu pun peminat mereka masih berbalah sampai sekarang siapa penyanyi yang lebih power - Ali ke Mael (err, aku #TeamAli, sorry...)

Tetapi Tomok terus tabah menempuh dugaan. Dia masih percaya bahawa seorang seniman haruslah mempunyai keteguhan dalam diri serta kesabaran kerana langit tak selalunya cerah. Dia mengamalkan konsep apa yang budak dekad sekarang ni cakap "haters gonna hate and I'm gonna shake shake shake".

Berkat kesabaran dari apa yang diterima, selepas sepanjang dekad ini dimaki dan dibaling telur, Tomok pada akhirnya menyertai One In The Million yang aku akan cerita di hujung dekad ini nanti.

Ramai yang seperti aku, menjadi pembenci dan rasa bengang dan marah setiap kali orang bertanya atau mengaitkan tempat tinggal kau dengan band yang paling kau benci - hanya sebab band tu kau tak suka. Fikir balik, apa dosa Tomok doh sampai diperlakukan sebegitu rupa.

Tapi aku merasakan itu adalah kemarahan seorang remaja yang tak berapa nak matang, dan perasaan kebencian itu tidak dapat disalurkan ke jalan yang lebih baik. Disebabkan itu, aku mula rasa menyesal dengan kebodohan yang aku pernah buat dulu.

Tapi normal lah, tak remaja lah kau kalau tak buat perkara bodoh sekali sekala. Atau selalu.

Kau fikir kau cool, kutuk Tomok, tapi dalam masa sama, kau puja Fred Durst sama macam diorang yang puja Tomok. Kau fikir layan Limp Bizkit itu lebih baik dan awesome dari kau layan New Boyz? Walhal dua-dua pun sampah, dan kau rasa lebih baik kau minat Fred Durst sebab dia berkulit putih.

Teruk gila bangsa Melayu ni dah kena jajah.

Cuma dalam satu perkara, makwe-makwe yang layan F4 terutamanya Vanness Wu, Wang Lee Hom, dan ramai lagi artis Taiwan yang popular terus tenang kerana setiap petang hari, akan ada Meteor Garden yang akan bersiaran di NTV7.

2000sWhere stories live. Discover now