Yasmin Ahmad

1.6K 94 7
                                    

Saya adalah sebahagian dari generasi millennial Melayu yang menjadi remaja dengan filem-filem dekad 2000an yang penuh dengan sampah seperti Cinta 200 Ela, Mami Jarum, Jangan Pandang Belakang, Senario Lagi, Lagi Lagi Senario, Balik Balik Senario, Dah Takde Benda Lain Ke Selain Senario, Mami Jarum Junior dan Sembilu 2005. Dan Cinta Kolestrol. Serta beberapa filem Melayu yang saya sudah sebutkan di dalam buku ini.

Tetapi, terdapat seorang atau dua pengarah filem yang bagus dan cemerlang, gemilang dan terbilang sejajar dengan hasrat bekas Perdana Menteri yang mendominasi dekad ini, Abdullah Ahmad Badawi. 

Yasmin Ahmad, misalnya.

Saya pernah bertemu dengan arwah Yasmin semasa screening cerita Talentime, walaupun tidak pernah berbual macam member, tapi saya sempat bersalaman dengan dia walaupun saya tidak ada gambar untuk saya letakkan di Instagram seperti dekad 2010an buat. Bagi saya, dia adalah inspirasi saya untuk terus menulis. Dia adalah orang yang mampu menyentuh hati semua orang tidak kira bangsa, agama dan usia - dengan filemnya.

Dan setiap kali filemnya keluar maka kontroversi akan keluar dari mereka yang terus mahu filem Haslamism terus berkuasa dalam industri filem. Mereka mahu cerita tentang anak orang kaya yang berebut syarikat dan watak utama bercinta dengan heroin semasa belajar di luar negara dan mahu melawan abang saudara yang gila kuasa dan tamak haloba.

Yasmin Ahmad mahu bercerita tentang hal sebenar masyarakat negara ini. Sebagai contoh, Talentime, kisah tentang seorang guru sekolah yang mahu mencari bakat menyanyi di sekolah yang berbilang kaum. Atau Sepet, mengisahkan percintaan antara dua kaum yang hubungannya sering dipolitikkan oleh UMNO dan DAP. Atau Mualaf, kisah tentang seorang bekas Katolik memeluk agama Islam.

Semua cerita arwah Yasmin menyentuh perasaan, termasuk iklan Petronas yang dia buat setiap tahun. 

Semasa beliau meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2009, ramai yang memberi penghormatan terakhir pada beliau sambil berkata beliau adalah pengarah filem Melayu terbaik sejak zaman P Ramlee. Pujian melambung dan ada yang mahu mencadangkan beliau untuk diberi pangkat Datuk atau Tan Sri.

Tapi bukan itu yang arwah Yasmin mahukan, dia tak pernah beritahu saya, tapi saya rasa, itu bukan apa yang dia mahukan. Dia cuma filem Melayu ini berkualiti, tidaklah akan dipandang remeh oleh sesetengah manusia Melayu yang berkata "apa barang tengok cerita Melayu, baik tengok Transformers", sebuah cerita sampah yang penuh dengan letupan CGI arahan pengarah sampah Michael Bay. 

Arwah Yasmin mahukan filem Melayu dijulang oleh orang Melayu sendiri, ini yang sebenarnya dia mahukan. Di luar negara ada pelbagai anugerah dia menangi, tetapi apabila di dalam negara bermacam-macam kata nista yang dihulurkan kepada beliau sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir.

Bila dah mati baru nak puji.

Saya mula bercita-cita untuk jadi penulis sejak darjah satu, tahun 1991. Tetapi saya mula serius untuk belajar menulis novel, seawal tahun 2000 apabila saya melukis komik dan saya sebenarnya lebih selesa menulis dari melukis. Jadi, saya berkesempatan bertemu dengan arwah Yasmin di USM pada tayangan perdana Talentime, saya mula berfikir, apakah patut saya menulis tanpa memikirkan apa kontroversi yang akan berlaku jika saya menulis dengan gaya saya.

Ternyata, saya tidak sekuat arwah Yasmin. Arwah Yasmin kental dan terus buat filem walau apa kritikan sekalipun. Tetapi saya berusaha ke arah itu.

Saya tak tahu bila saya mati, tapi saya harap saya dapat capai semua itu sebelum saya mati. Kalau saya tak dapat capai, ya, saya tahu saya tidak sekuat arwah Yasmin.

Al-Fatihah, Yasmin Ahmad.

2000sWhere stories live. Discover now