Last Kopek, Dr Mahathir?

1.9K 98 15
                                    

Tahun 2003 adalah tahun last kopek Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Dalam tulisan "Dah Lama Dah" yang lepas, Dr Mahathir mengumumkan untuk melepaskan semua jawatan di Perhimpunan Agung Umno, tetapi selepas Rafidah Aziz dan Hishamuddin Hussein menangis-nangis memujuk Dr Mahathir, akhirnya Dr Mahathir bersetuju untuk bersara.

Dan tarikh 31 Oktober 2003 adalah tarikh Dr Mahathir akan bersara dari politik, katanya.

Jadi semua benda yang Dr Mahathir nak semuanya dijalankan tanpa ook dan ekk. PPSMI (Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), Khidmat Negara, projek CIQ di Johor Bahru, monorel di KL, Times Square, beli Sukhoi dari Rusia, beli Scorpene dari Perancis, program Angkasawan, semuanya bermula dari tahun ini.

Dan sebagai mengenang jasa Dr Mahathir sebagai 'pengasas' Putrajaya, hari kebangsaan tahun ini berlangsung di Putrajaya, kali pertama dalam sejarah negara dan kali terakhir Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Pada tahun ini juga Dr Mahathir menjadi pengerusi Non-Aligned Movement (NAM) dan Organization of Islamic Countries (OIC), dengan ucapan "Yahudi mengawal dunia dengan proksi" yang popular itu.

Bagi seorang yang dah confirm nak bersara, memang takde hal lah dia nak cakap macam tu walaupun Barat marah-marah, tapi dia dah nak bersara maka Barat pun biarkan je lah.

Sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri banyak je dia berlawan dengan negara-negara lain. Pada tahun 80an, apabila kerajaan Britain pimpinan Margaret Thatcher menaikkan harga yuran universiti dan membebankan pelajar Malaysia luar negara, Mahathir gunakan taktik "Buy British Last" serta "Operasi Serangan Subuh" yang membeli semua syer British dalam negara ini sejak dari zaman penjajahan.

Semasa awal 90an Mahathir bertarung dengan Australia dengan mengatakan Perdana Menterinya tidak layak bercakap tentang hak asasi manusia apabila dia sendiri dari kaum kulit putih yang asalnya dari keturunan banduan, menindas kaum penduduk asli Aborigines dan Torres Straits.

Pertarungan paling kerap ialah dengan Singapura. Dari zaman sebelum dia jadi Perdana Menteri lagi dia sudah lawan Lee Kuan Yew, dan apabila dia menjadi Perdana Menteri, banyak juga ketegangan yang berlaku, macam contoh dalam tulisan "3 sen" dalam buku ini.

Tahun 1998 Mahathir bertarung dengan Al Gore dan Madeilene Albright sempena persidangan APEC dan pada tahun 2000 apabila Al Gore kalah jadi Presiden dalam keadaan paling kontroversi (rujuk tulisan Bush, Dari Texas), cuba teka orang pertama yang gelakkan Al Gore?

Dr Mahathir adalah master of political tactician. Dia mungkin bukan pandai dalam banyak bidang, tetapi dalam politik, dia memang seorang politikus yang hebat.

Sama ada kau pro dia, atau kau anti dia, kau harus tahu bahawa Dr Mahathir bukan calang-calang orang. Di dalam politik tempatan, Tunku Abdul Rahman, Ghazali Shafie, Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi (pada hujung buku ini nanti) semua tumpas dan tewas dengan Mahathir. Di peringkat antarabangsa pun dia boleh dianggap suara yang cukup kuat.

Dr Mahathir mempunyai daya sarkastik yang tinggi, dan kau jangan main-main dengan orang yang sarkastik. Orang yang sarkastik memang hebat berfikir, dan dalam perjalanan karier politik Dr Mahathir yang sarat dengan pengalaman, membina sistem politik di negara ini dalam karier politiknya yang berusia 40 tahun.

Dan pengalaman 22 tahun menjadi Perdana Menteri, dia adalah arkitek kepada sistem negara ini berjalan, dari peringkat atas pentadbiran, ke propaganda, ke pendidikan, semuanya dilakukan pada zaman Mahathir.

Cuma sayangnya, apabila dia sekarang nak lawan Najib Razak, ada dua masalah a) Najib banyak main tabur duit ke akar umbi b) Najib pandai menggunakan sistem yang dibina Dr Mahathir sendiri.

Bagi Dr Mahathir, ini mungkin pertarungan terakhirnya dalam politik, tetapi kalau teori saya dan kawan saya bahawa dia seorang cyborg yang dibina di Yokohama dan akan hanya mati pada tahun 2132, maka pertarungan ini sudah pasti akan lebih panjang.

Kalau kita tak suka Najib, marilah kita berharap bahawa Mahathir ini seorang cyborg.

2000sWhere stories live. Discover now