"Dah Lama Dah!"

2K 71 14
                                    

Tajuk tulisan ini adalah luahan perasaan Dr. Mahathir di suatu petang pada Julai 2002 pada Perhimpunan Agung UMNO ketika Rafidah Aziz dan Hishamuddin Hussein memujuknya supaya tidak melepaskan jawatan.

Saya ketika ini berada di USM - tetapi pada masa ini saya bukanlah pelajar USM, saya pelajar architecture UiTM yang menghadiri seminar senibina, dan tiga tahun kemudian saya kembali ke sini sebagai pelajar USM. Dah macam ada jodoh pulak awal-awal.

Pada petang itu, selepas melihat gol dari Ronaldinho menewaskan David Seaman yang menyebabkan England sekali lagi tersangkut di suku akhir Piala Dunia yang berlangsung di Korea-Jepun, TV terus buka ucapan penggulungan Dr Mahathir sebagai Presiden Umno.

Pada petang itu, dia mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Presiden Umno berkuatkuasa serta merta.

Dengan tangisan air mata mereka semua berpelukan dan memujuk Dr Mahathir supaya jangan melepaskan jawatan.

Situasi politik dari 1998 hingga 2003 sangat panas dan pertembungan antara dua puak, Barisan Nasional dan Barisan Alternatif adalah pertempuran yang paling sengit sejak 1969, sebelum digantikan dengan tsunami politik pada penghujung dekad nanti.

Dan pada masa ini barulah Dr Mahathir berkata, dia sedia melepaskan jawatan.

Semasa saya kecil dulu, saya selalu membayangkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri buat selama-lamanya. Saya membayangkan pada tahun 2020, Dr Mahathir akan masih menjadi Perdana Menteri dengan saya memandu kereta terbang macam kartun The Jetson.

Tetapi pada petang Julai 2002 itu, Dr Mahathir sudah tidak tahan lagi. Dia merasakan dia harus pergi.

Tetapi selepas dipujuk dan dipujuk barulah Dr Mahathir bersetuju untuk meletakkan jawatan pada Oktober tahun depan.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak 1981. Ketika itu The Buggles masih menyanyi lagu Video Killed The Radio Star, Ronald Reagan baru setahun jadi Presiden, dan Soviet Union masih lagi sebuah kuasa besar.

Seumur hidup saya pada ketika itu, belum pernah saya bayangkan Malaysia berada dalam pentadbiran orang lain selain Dr Mahathir. Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri negara ini sebelum saya lahir lagi.

Generasi yang lahir sejak 1981 digelar sebagai generasi Dr Mahathir. Seumur hidup dari lahir, sekolah, sampai masuk universiti, semuanya dasar Dr Mahathir.
Jadi untuk membayangkan Perdana Menteri selepas Dr Mahathir, adalah perkara yang sukar saya bayangkan. Jika Dr Mahathir tak jadi Perdana Menteri, siapa yang akan jadi Perdana Menteri? Dulu Anwar Ibrahim pernah jadi Pemangku Perdana Menteri, tapi baru dua bulan sahaja Mahathir dah balik Malaysia dan rasa situasi mula kucar bin kacir. Krisis ekonomi Asia berlaku.

Selepas itu tahun 1998 keadaan makin kucar kacir sehingga berlakunya Reformasi, demonstrasi jalanan yang berlaku tiap-tiap minggu di jalanan di Kuala Lumpur. Bahkan masa Sukan Komanwel pun ada demo.

Tetapi masa adalah relatif. Najib Razak sekarang menjadi Perdana Menteri selama enam tahun (pada masa tulisan ini ditulis) dan saya rasakan ia terlalu lama. Tetapi tidak masa Dr Mahathir, tidak. Pada masa itu saya tak terfikir ia begitu lama.

Jadi selepas Dr Mahathir emo menangis di PWTC pada hari itu, semua tumpuan diberikan kepada Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, yang mempunyai 15 bulan mempersiapkan diri untuk menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir pernah berkata, "mak saya pernah pesan, bila makan, berhentilah sebelum kenyang."

Dan bila saya fikir balik, 22 tahun menjadi Perdana Menteri, takkanlah tak kenyang-kenyang lagi? Agaknya kalau kenyang macam siapa? Macam kawan baik dia seperti Soeharto atau Robert Mugabe? 30-40 tahun baru puas hati?

Dan pada hari ini Dr Mahathir sudah pun berusia 90 tahun. Dan apabila dia berkata "dah lama dah (nak berhenti)" kira-kira tiga belas tahun yang lalu (pada masa tulisan ini ditulis), pada ketika itu sudah pastilah dia berusia 78 tahun. 78 tahun tu tua sangatlah. Usia bersara di negara ni pun 56 tahun. Sudah pastilah masa 56 tahun tu, Dr Mahathir baru nak mula jadi Perdana Menteri.

Tahun hadapan (pada tulisan ini ditulis), Barack Obama akan bersara dari jadi Presiden. Umur dia pada ketika itu ialah 56 tahun. Sedang elok untuk bersara.

Tak boleh ke kita dapat barisan pemimpin muda dan bersara macam usia Barack Obama? Tak boleh ke kita hadkan masa pemerintahan supaya tidak ada dinosaur yang duduk lama dalam pentadbiran.

Tetapi masa sekarang pun, Dr Mahathir masih lagi merancang macam dia seorang Perdana Menteri. Sedangkan penggantinya Abdullah Badawi pun sekarang sedang rehat tidur di pejabat IKIM, tapi Dr Mahathir masih steady.

Kadang-kadang saya dan kawan saya pernah membuat satu teori bahawa Dr Mahathir akan terus hidup sehingga 2132 kerana dia sebenarnya seorang cyborg yang dipasang di sebuah kilang di Yokohama, Jepun.

Kerana, semasa tulisan ini ditulis, Dr Mahathir masih hidup lagi, masih merancang, masih berfikir, dan masih lagi kuat.

Saya tak tahu apa yang saya nak buat jika saya ada usia sepanjang itu. Sedangkan sekarang pun saya fikir, mungkin pada masa ini, saya sudah berjalan lebih dari separuh hidup saya.

Saya pernah cuba menamatkan riwayat pada tahun ini, tapi gagal. Dan jika pada masa 2020 saya masih hidup, ada dua perkara yang saya telah capai - a) berjaya hidup pada Wawasan 2020 b) telah berjaya hidup separuh usia dari masa mula-mula saya bertindak bodoh pada tahun 2002 ini.

Pada malam tahun baru 2020 nanti, saya akan menyanyi lagu Wawasan 2020, lagu patriotik yang selalu saya dengar masa saya sekolah rendah dulu, dan Alive - dari Pearl Jam.

Saya masih hidup dan syukurlah saya menulis semua ini.

2000sWhere stories live. Discover now