Saya pernah bertemu dan berbual dengan Abdullah Ahmad Badawi. Dia seorang yang macam atuk tua yang suka melawak, dan pengalaman menemuramah Abdullah Badawi secara peribadi, mengenali dirinya, walaupun dalam keadaan formal, banyak membuatkan saya memahami lebih sedikit bagaimana politik di negara ini berjalan.
Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri pada penghujung tahun lalu, mula menjanjikan sesuatu yang baru dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional.
Bermula dengan menjanjikan 18 orang yang berprofil tinggi untuk dibicarakan dalam kes rasuah, kebebasan media serta membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara, menjadikan dia super popular pada masa ini.
Menggariskan satu garis panduan baru negara, Islam Hadhari - dengan menjadikan Islam sebagai ideologi yang membawa ke arah keamanan dan keselamatan, Pak Lah telah mengubah Malaysia yang dahulunya dibina oleh Dr Mahathir, kepada apa yang kita nampak sekarang.
Islamisasi, walaupun asalnya dibawa oleh Anwar Ibrahim yang pada 1980an adalah pemimpin ABIM, tetapi Abdullah Badawi yang secara berkuasa penuh di jawatan awam paling tertinggi negara, dasar Islamisasi diperkukuhkan.
Disebalik ramai yang mengatakan Abdullah Badawi ni pakcik yang kuat tidur dan lemah berbanding Mahathir, tapi selepas berbual-bual dengan Pak Lah, barulah saya menyedari, dia ini juga bukan orang calang-calang.
Seperti George W Bush yang saya pernah tulis di tajuk Perang Iraq dalam buku ini, Abdullah Badawi juga mempunyai penasihat-penasihat yang bijak di sekelilingnya.
Orang yang paling kita kenal di kalangan echelon Abdullah Badawi, sudah pastinya Menteri Selfie dan Abang Sado Negara pada hari ini, Khairy Jamaluddin yang dikenali dengan nama manjanya Kay Jay. Dia juga adalah menantu kepada Abdullah Badawi.
Orang-orang di sekelilingnya, yang menguasai tingkat empat JPM, adalah orang yang paling berkuasa di zamannya. Dan Malaysia mula berubah mulai zaman ini.
Retorik Abdullah Badawi tidak kencang seperti Anwar Ibrahim, tidak begitu gah dan besar macam Mahathir, tapi Pak Lah retoriknya nampak kecil, nampak perlahan, tapi ia meresap terus ke akar umbi.
Kemenangan besar pilihan raya tahun 2004 ini adalah satu petanda bahawa rakyat bergembira dengan Abdullah Badawi, seorang yang digelar Mr Clean, yang disukai oleh golongan liberal Taman Tun, dan imej warak yang digemari orang di luar bandar, imej macam ayah-ayah ayahanda menarik minat golongan Melayu bandar, Abdullah Badawi berjaya menyatukan semua fahaman politik dari semua suku kaum, menjadikan kemenangan besar sejak 1995 Barisan Nasional paling diingati.
Semenjak Pak Lah menang besar, barulah kita nampak orang macam Bung Mokhtar yang meningkat naik dalam Parlimen.
Baru rakyat sekarang ni faham, untuk menjadi wakil rakyat, kau tak memerlukan IQ yang tinggi, tetapi mempunyai ketua parti yang pandai mempengaruhi seluruh rakyat jelata.
Abdullah Badawi secara peribadi bagi saya, adalah seorang yang humble dan pandai mengambil hati orang, terutamanya wartawan pada hari saya bertemunya di pejabat IKIM. Dia mungkin nampak macam tidur, tapi saya percaya, telinganya tajam mendengar.
Lebih baik kita gerun dengan orang yang pendiam dan lemah lembut tapi tajam fikirannya, dari yang bercakap kuat tapi selalu tersasar.
YOU ARE READING
2000s
Fiksi SejarahMenceritakan tentang dekad yang baru lepas tidaklah secool cerita dekad yang 2-3 dekad lepas. Tapi oleh sebab belum ada orang buat, aku buat. Buku ini untuk mereka yang ingin sandarkan pada kenangan mereka ketika berhubung dengan makwe dengan handph...