DI sebalik langsir tingkap yang diselak, Arisa tersenyum lebar. Wajah tuanya berseri-seri bagai disimbah dengan cahaya bulan lima belas.
"Bang... budak-budak tu dah sampai!" Tangan suaminya terus ditarik untuk sama-sama menyambut tetamu yang baru tiba.
"Icha... kalau ia pun pelan-pelanlah sikit," larang Izhar bila Arisa bergegas untuk mendapatkan anak cucunya. "Kalut-kalut macam ni, nanti Icha pula yang semput!"
"Abang ni... Icha kuat lagilah!" Tangkis Arisa bersulam senyum. Masih manja terhadap suaminya walaupun mereka sudah sama-sama dimamah usia.
Riuhlah halaman rumah agam yang tadinya sunyi sepi. Semua tetamu yang datan berebut-rebut untuk menyalami Izhar dan Arisa yang kini bukan sahaja berpangkat tok dan tok wan, tetapi juga sudah menjadi moyang.
Hari ini bukan hari raya, tapi hari ini amat istimewa dari segala hari yang ada. Setiap tahun, Aris dan adik-adiknya serta keluarga masing-masing tidak pernah mungkir untuk pulang pada tarikh itu. Mereka tidak dipaksa, tetapi semuanya dilakukan demi kasih buat kedua orang tua tercinta.
Seperti biasa, bila semua sudah berhimpun mereka akan menikmati juadah yang telah disediakan daripada air tangan emak mereka, Arisa.
Di samping banyak juadah yang disediakan, pasti ada ikan pari bakar, tomyam putih dan pencuci mulut yang tentunya mempunyai buah strawberi. Kata Arisa, semua masakan itu mempunyai ertinya yang tersendiri.
"Kenapa banyak-banyak hari, tok mesti nak sambut hari ni?" Soal Ziyyad, cucu Izhar dan Arisa daripada anak bongsu mereka, Azim.
"Ha'ahlah! Orang selalu sambut ulang tahun perkahwinan, hari jadi... tapi tok dan tok wan pulak sambut hari ulang tahun perjumpaan pertama. Mesti hari tu sangat istimewa, kan?" Sokong Anis, cucu daripada anak ketiga mereka, Asrul.
Arisa dan Izhar berpandangan dengan senyuman seribu satu makna. Senyum yang penuh dengan kasih sayang yang telah berpuluh tahun dipupuk sehingga kini.
"Memang hari ni istimewa sangat, sebab... kalau tak dak pertemuan pertama tu, tak terbit rasa kasih sayang. Taklah sampai tok ni jadi isteri wan dan lahirkan semua anak tok. Kalau tak dak pertemuan tu... Ziyyad, Anis dan cucu-cucu tok dan wan pun tak dak juga."
Tenang suara Arisa dengan mata yang redup memandang ke arah semua insan kesayangan di sekelilingnya. Terimbau kembali saat pertemuan pertama yang hingga kini memberikan begitu banyak kebahagiaan buatnya.
"Betul kata tok, kalau wan tak jumpa puteri duyung wan dulu..."
"Wan jumpa duyung?" Soal Azfan, adik kepada Anis.
Izhar dan Arisa ketawa panjang. Wajah Azfan yang nampak teruja menggelikan hati mereka.
"Ha'ah! Puteri duyung!" Bahu Arisa dirangkul Izhar mesra.
"Inilah puteri duyung wan. Wan bersyukur sangat kerana ALLAH telah temukan wan dengan puteri duyung kesayangan wan ni." Bagi Izhar dan Arisa, pertemuan itu tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila kerana... semuanya bermula dari satu pertemuan!
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...