IZHAR yang sedang berzikir sejak habis subuh tadi terus mendapatkan Arisa bila mertuanya dipanggil Arisa.
"Sayang nak apa?"
"Icha nak mak!" balas Arisa kasar. Masih terus memanggil-manggil Azizah ke sisinya.
"Sayang nak apa? Abangkan ada! Abang boleh buat." Sekali lagi Izhar memujuk. Sejak bertemu Arisa, tidak pernah dia meninggikan suara kepada isterinya itu walaupun dia dilayan dengan kasar oleh Arisa. Pada saat begitu, dia sedar dia perlu banyak bersabar demi menjaga perasaan Arisa begitu rapuh dan mudah tersentuh.
"Icha tak mau abanglah! Panggillah mak cepat, Icha nak mak." Mendayu-dayu Arisa merayu. Dia hanya perlukan Azizah.
"Sayang..."
"Iz!"
Panggilan dan ketukan Azizah mematikan pujukan Izhar. Segera dia beredar untuk membuka pintu.
"Iz keluar sat," pinta Azizah perlahan. Sudah arif dia apa yang diinginkan Arisa ketika itu. Dan hanya dia yang diizinkan Arisa untuk berada di sisinya.
"Ada apa mak? Iz boleh buat." Masih tidak berputus asa Izhar nampaknya. Jika boleh, dia sendiri mahu merawat Arisa.
"Tak apalah, biar mak yang buat. Iz keluar dulu."
Di luar bilik, Izhar terserempak dengan Muiz yang baru naik tangga dapur dengan sebaldi air. Muizs juga keluar dari bilik setelah menyerahkan baldi air kepada Azizah.
"Tak payah ambil hati sangat Iz!" ucap Muiz bila melihat muka kelat Izhar.
"Ayah... Iz ni suami Icha, tapi Icha tu langsung tak kisahkan Iz. Mak juga yang dia cari," rungut Izhar agak terasa bila dia diketepikan.
"Biarlah, sementara dia nak biasa. Lama-lama nanti Iz buatlah semua tu. Takut Iz pulak yang tak sanggup nanti."
"Ayah... Iz akan buat apa saja untuk isteri Iz!" Tegas suara Izhar menandakan kesungguhannya. Dia tidak mahu dianggap suami yang tidak bertanggungjawab oleh mertuanya.
"Baguslah kalau Iz kata macam tu!"
"Mak mandikan Icha ke ayah? Awal lagi, tak sejuk ke Icha tu?" soal Izhar bila terdengar bunyi kocakan air di dalam bilik.
"Biasalah, Iz... tiap-tiap pagi macam tulah! Icha tu pagi-pagi mesti berak. Dah dia berak tu mak bersihkanlah badan dia sekali. Pakai lap dengan tuala basah saja. Nak mandi macam mana dalam bilik tu, bukannya ada lubang air pun! Nak bawa pi bilik air pun susah juga, nak turun naik tangga."
Arisa buang air besar rupanya! Patutlah dia beria-ia mahukan Azizah yang merawatnya! Izhar mengeluh perlahan. Mapukah dia melakukan apa yang sedang dilakukan Azizah sekarang? Apa-apa pun, Arisa adalah isterinya dan dia pasti akan menjaga Arisa sebaiknya termasuk juga membersihkan najis isterinya itu.
***********************************************************************************************
IZHAR menyingkap langsir tingkap di hujung kepala katil. Lega rasanya bila bayu pagi dari laut menyerbu masuk ke dalam bilik. Wajah Arisa yang sedang nyenyak tidur dibeleknya puas-puas. Sejak semalam, dia belum berkesempatan berbuat begitu. Arisa asyik marah-marah dan langsung tidak mahu bertentang muka dengannya.
Rambut Arisa yang menutup dahinya dikuis perlahan-lahan menampakkan lebih jelas lagi wajah isteri kesayangannya itu. Dengan rambut yang sudah dipotong pendek, tidak jauh bezanya muka Arisa dengan adik-adiknya, cuma sudah tentu wajah isterinya itu lebih lembut dan bercirikan seorang perempuan.
Masih comel dan manis Arisa di mata Izhar walaupun kulit Arisa kini lebih gelap dan ada kesan menggelupas di sana sini. Tentu Arisa telah melalui pengalaman yang amat teruk. Seminggu lebih berada di laut sendirian tentu amat menakutkan bagi isterinya. Tidak dapat dibayangkan betapa penderitaan yang telah dilalui oleh Arisa.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomansaSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...