46

109 5 0
                                    

IZHAR memberhentikan motosikal yang ditunggangnya di hadapan pusat pengumpulan buah-buahan di ladang. Seperti yang dirancang, selepas sahaja sarapan, Izhar membawa Arisa melawat ke ladang betik dan mangga milik mereka.

"Luasnya ladang ni!" ujar Arisa sambil matanya menerawang ke sekeliling ladang. Jika setiap masa buah-buahan di situ lebat begitu pasti besar imbalan yang diterima oleh syarikat itu.

"Abang nak jumpa Pak Jamal kejap. Lepas ni nanti kita pusing-pusing kat dalam kebun."

"Okey!" Arisa hanya mengikut saja ke mana langkah Izhar membawanya. Segan pula dia bila mata pekerja-pekerja ladang kini tertumpu ke arah dia dan Izhar. Tentu mereka semua ingin melihat rupa isteri majikan mereka itu. Serba tak kena dia jadinya, namun teguran dan salam daripada mereka dijawabnya juga dengan senyum yang sentiasa menguntum. Apa sekalipun nama baik Izhar mesti dijaganya!

Habis berbincang tentang tanah yang hendak dibeli oleh Teguh Makmur Plantation, Pak Jamal mengiringi Izhar suami isteri melawat ke sekitar ladang. Semakin teruja Arisa bila dapat memegang buah-buah mangga yang bergantungan di atas pokok.

"Buah hijau macam ni dah dikutip?" soal Arisa bila melihat buah mangga yang telah dihimpunkan di dalam kereta tolak untuk dibawa ke pusat pengumpulan.

"Kena pungut sebelum masaklah, tapi mesti yang cukup tua barulah elok kualitinya. Buah ni untuk dieksport, bila sampai sana nanti dah sedang elok untuk masuk ke pasar raya."

Arisa mengangguk tanda faham dengan penerangan Izhar. Ya tak ya juga, kalau buah yang sudah masak untuk dieksport, habis semuanya busuk dalam perjalanan nanti.

"Maknanya kat ladang ni tak ada buah yang masaklah?" soal Arisa agak kecewa. Sedari rumah tadi dia memang mengidam untuk makan mangga dari ladang itu.

"Eh, ada! Pak Jamal dah suruh budak-budak tu simpan bila tahu kamu semua nak datang sini. Dua hari lepas dia orang dah pungut buah tu. Ada kat dalam tu, nanti Pak Jamal suruh dia orang ambilkan. Bukan setakat mangga, Hawaiian Solo tu pun ada!"

"Hawaiian Solo?" Terkebil-kebil Arisa mendengar benda yang disebut oleh Pak Jamal. Benda apalah pula yang dimaksudkan agaknya?

"Buah betik. Betik yang ditanam kat sini jenis Hawaiian Solo. Betik yang kecil, tapi dengan isi yang padat dan manis tanpa biji. Nanti balik Icha boleh makan puas-puas. Sedap!" terang Izhar menghilangkan tanda tanya di hati Arisa. 

"Mempelam muda ada dak Pak Jamal?" soal Arisa lagi. Jika ada mangga muda sedap juga dibuat pencicah.

"Yang muda kena suruh dia orang petiklah. Pokok yang kat tepi setor tu, memang dikhaskan untuk orang yang mengidam," seloroh Pak Jamal sambil tersengih lebar.

"Mengidam? Pak Jamal ni... mana ada!" Arisa mula merah muka. Malu bila diusik oleh Pak Jamal begitu. Pengantin baru, biasalah menjadi bahan usikan!

"Eh, tu macam Baidura tu," ujar Pak Jamal sambil menunjuk ke arah kereta yang baru masuk ke hadapan pusat pengumpulan buah.

Baidura, Fariq dan tidak ketinggalan juga Elina keluar dari kereta dan menghampiri mereka.

"Apa khabar, Pak Jamal?" tegur Baidura penuh hormat.

"Sihat, Dura. Wah, makin berseri-seri Pak Jamal tengok Dura ni sekarang ya?"

"Mestilah, Pak Jamal... dah ada orang jaga..." seloroh Baidura sambil mengerling kepada Fariq.

"Tak tahulah, Pak Jamal... siapa yang jaga siapa?" Fariq turut berseloroh membuat semuanya ketawa senang.

"Iz dah masuk kebun?"

"Dah, Kak Dura... baru saja balik sini."

"Kalau macam tu, Kak Dura masuk kebun kejap. Abang Fariq ni teringin sangat nak melawat kebun. Macam tak pernah tengok pokok betik dan pokok mangga saja," usik Baidura kepada suaminya.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now