22

114 9 0
                                    

SELEPAS solat, Izhar berbual-bual dengan Arman dan Azmin. Dari pintu yang sudah terbuka luas, bayu laut menghembus perlahan dan mendamaikan sekali. Bunyi ombak yang tidak jemu menghempas pantai kedengaran bagai sebuah irama yang berlagu riang di telinga Izhar, padahal deruan ombak itulah yang membuat dia tidak lelap mata semalam. Nasib baik juga Muiz telah mengalihkan kipas angin tepat ke tempat tidurnya, tidaklah dia kepanasan dan lelap juga dia akhirnya setelah lama berkeluh kesah sendirian dia atas tilam milik Arisa. 

"Encik Iz..." Panggilan Arisa yang terjengul di tepi tangga dapur mematikan perbualan ketiga-tiga mereka. 

"Sarapan dah nak siap ni. Telefonlah Nek Da dan Kak Dura suruh depa siap. Encik Iz pilah jemput depa, boleh kita makan sama-sama kat sini."

"Awak siapkan sarapan?"

Arisa terus memanjat tangga. Pertanyaan dan riak Izhar yang seakan tidak senang bila disediakan sarapan menggamit hati Arisa untuk mendekati lelaki itu. Terus dia bersimpuh di hadapan Izhar.

Seketika Izhar terpaku. Arisa yang selalunya berseluar track dan berT-shirt pagi ini begitu berbeza sekali penampilannya bila berkain batik dan berbaju kurung Kedah. Tampak manis dan lebih matang!

"Pasal apa, Encik Iz? Tak sudi ka?" soal Arisa perlahan seakan berbisik pada Izhar. "Icha tau kat rumah ni kami semuanya kurang. Tak dak pinggan dan cawan cantik macam kat rumah Encik Iz. Makanan pun tak seberapa. Tapi, mak ayah Icha besar hati sangat nak raikan keluarga Encik Iz. Jangan hampakan depa na! Depa kata keluarga Encik Iz dah banyak tolong kami, jadi depa..."

"Icha, apa ni?" potong Izhar cepat bila Arisa kelihatan begitu sendu sekali dengan luahan perasaannya. "Kenapa cakap macam tu? Saya tak langsung terfikirkan benda tu semua. Layanan dan apa yang awak dan keluarga awak bagi dah cukup baik buat kami. Tentulah kami semua sudi. Cuma saya rasa tak selesa sebab kami ni dah jadi beban pula pada keluarga awak. Buat susah saja siapkan sarapan semua tu."

"Mana ada beban pula? Bukan kami nak riba ka, dukung ka. Semua orang duduk atas punggung sendiri." Dalam serius Arisa mula buat lawak selambanya.

"Memanglah, takkan..."

"Kalau macam tu, telefon Kak Dura cepat. Pi ambil depa mai sini, la ni jugak!"

Izhar terkedu seketika. Baru seketika tadi Arisa tunjuk muka belas, kini sudah berubah memerintahnya sesuka hati.

"Lagi satu, ayah Icha pesan... tengah hari nanti pun makan kat sini. Hari ni, dia balik awal. Nanti ada rezeki bolehlah masak ikan-ikan yang dia bawa balik tu buat lauk kita hari ni."

"Takkan makan tengah hari pulak lagi?"

"Tak mau sudahlah. Yalah, siapalah sudi nak makan kat rumah kami yang..."

Arisa terdiam bila Izhar meletakkan jari telunjuk di bibirnya.

"Plaster mulut karang. Sikit-sikit nak buat sedih. Nak rendah diri..."

Izhar dan Arisa segera berpaling ke arah Arman dan Azmin bila kedua-dua adiknya itu ketawa mengekek sambil berbisik sesuatu.

"Apa bisik-bisik ni?" sergah Arisa geram. Malu pun ada kepada adik-adiknya atas perlakuan Izhar tadi. 

"He... he... bontot ayam nak kena plaster!" Berderai lagi ketawa Arman dan Azmin.

Izhar turut ketawa. Lucu dia dengan usikan adik-adik Arisa itu.

"Kalau tak mau makan kat sini sudahlah, tak payahlah nak gelak kat Icha." Sudah mahu menangis nampaknya Icha bila diketawakan begitu terutamanya oleh Izhar. "Mak... tak payahlah hidang makanan tu! Encik Iz tak mau makan."

"Tak mau makan? La... kak dah masak banyak ni!" ujar Azizah dengan kepala yang terjengul di tepi tangga.

"Tak adalah, akak... saya gurau saja dengan Icha ni," jawab Izhar serba salah. "Apa cakap macam tu?" sambung Izhar perlahan setelah kelibat Azizah hilang dari tangga untuk kembali meneruskan kerjanya.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now