40

115 6 0
                                    

ARISA mengemaskan pakaiannya dan juga pakaian Izhar yang akan dibawa esok. Sut baru untuk menunggang motosikalnya juga telah siap dibeli. Lebih RM 2,000 duti Izhar dihabiskan untuk membeli jaket, seluar, kasut dan sarung tangannya. Itu pun jenuh dia menghalang, jika tidak pasti Izhar mahu membelikan sut yang lebih mahal lagi untuknya. Membazir sungguh! Jika di kampungnya duit itu boleh mereka belanjakan untuk empat lima bulan jika berjimat.

Siap mengemas, Arisa membaringkan tubuhnya di atas hamparan. Izhar berada di bilik kerjanya. Ada perkara penting tentang syarikat yang perlu diselesaikan. Katanya bila kerja selesai barulah seronok untuk bercuti.

Tersedar pada waktu dinihari, Arisa melihat jam di telefon bimbitnya, sudah hampir pukul satu pagi. Izhar masih belum kelihatan di tempat tidurnya. Arisa cuba melelapkan matanya kembali, namun fikirannya terus sahaja memikirkan tentang Izhar. 

Perlahan pintu bilik dibuka dan dia menapak menuju ke bilik kerja Izhar. 

"Encik Iz tak tidur lagi? Banyak lagi ka kerja nak buat?"

Izhar mengangkat kepala. Melihat ke arah Arisa beberapa saat sebelum kembali meneruskan kerjanya. Tiada sepatah kata yang diucapkannya.

Mungkin terlalu sibuk, fikir Arisa. "Encik Iz nak minum? Icha buat kopi mau dak?"

Sekali ini Izhar langsung tidak memberikan reaksi. Matanya terus saja tertancap ke skrin komputer di hadapannya. Sedikit pun tidak mempedulikan pertanyaan Arisa. 

Perasaan izhar mula tidak keruan bila Arisa terus keluar dari bilik itu tanpa meminta diri daripadanya. Merajuk barangkali kerana tidak dipedulikan.

Meleset rupa-rupanya sangkaan Izhar bila Arisa kembali lagi beberapa minit kemudian dengan sebuah mug di tangannya. Izhar bernafas lega, namun tetap saja meneruskan kerjanya.

"Apa tu?" soal Izhar bila mug diletakkan Arisa di atas mejanya.

"Kopi."

"Untuk siapa?" soal Izhar lagi, buat-buat tidak faham. Tangannya terus menekan papan kekunci di komputer.

"Untuk Encik Izlah!"

"Untuk abang?" Kali ini, Izhar sudah memanggungkan kepalanya. Dilihat Arisa sedang menganggukkan kepala sebagai menjawab soalannya. "Kalau untuk abang, tak payahlah. Kalau tak ikhlas tak..."

"Encik Iz, Icha susah-susah bangkit pagi-pagi buta ni buat kopi kat Encik Iz, Encik Iz kata tak ikhlas?" potong Arisa laju sebelum sempat Izhar menyambung ayatnya. Bara juga dia bila Izhar tidak menghargai apa yang telah dilakukannya.

"Ikhlas ke namanya kalau masih panggil abang, Encik Iz? Susah sangat ke Icha nak sebut abang? Rasanya susah lagi nak buat kopi ni dari nak buka mulut tu dan sebut abang ke, sayang ke!"

Izhar bangun mendapatkan Arisa. Punggungnya disandarkan di tepi meja dengan kedua-dua belah tangannya kejap memegang jari-jemari Arisa.

"Kenapa Icha masih tak nak ubah panggilan Icha pada abang? Atau... Icha memang bencikan abang?"

"Daklah!" Pantas Arisa menggeleng. Lekat matanya menatap wajah Izhar. 

"Habis kenapa?"

"Entah... Icha rasa macam peliklah! Macam manja sangat, macam..."

"Memanglah kena manja. Ichakan isteri abang. Kenapa pula tak boleh manja-manja?" Perlahan Izhar menolak rambut Arisa yang terjurai di bahu ke belakang. Anak-anak rambut di pipi Arisa pula dikuis ke belakang telinga secara spontan memberikan renjatan elektrik kepada Arisa Sehingga dia menunduk 90 darjah menatap permaidani. Naik seram pula rasanya bila Izhar berkelakuan begitu.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now