SUDAH seminggu keluarga Arisa pulang ke kampung setelah lima hari mereka di situ. Arisa kini sudah boleh berjalan dengan lebih tegap. Semua kerja-kerja rumah kini diambil alih olehnya. Izhar tidak lagi dibenarkan untuk menguruskan rumah seperti dahulu.
"Icha ni... sejak dapat kaki balik asyik buat kerja tak henti-henti. Janganlah terlampau memaksa sangat. Icha tu bukannya kuat sangat. Nanti lain pula yang jadi," tegur Izhar. Lepas satu, satu kerja dibuatnya. Tidak tahu duduk diam langsung.
"Icha dah lama sangat makan tidur, dah sihat ni apa salahnya Icha buat kerja."
"Icha ni degil sangatlah..."
"Kalau tak degil entah sampai la ni pun Icha tak boleh berjalan lagi."
Jawapan selamba Arisa mencuri perhatian Izhar. Tentu ada sesuatu yang tidak diketahuinya selama ini. "Apa maksud Icha?"
"Tak dak apalah!" nafi Arisa kalut. Nampaknya, dia sendiri sedang membuka tembelangnya.
"No... there must be something! Apa dia? Sakap cepat! Ingat abang senang-senang nak percaya cakap Icha tu." Izhar sudah merapat kepada Arisa. Dengan mata yang terjegil, mukanya sengaja didekatkan ke muka Arisa. Melihat riak serba salah Arisa, dia semakin yakin yang Arisa menyimpan rahsia daripadanya.
"Sampai hati Icha rahsiakan daripada abang."
"Icha minta maaf. Sebenarnya, Icha dah letih terbaring bulan-bulan macam tu. Icha nak baik, nak sihat dan boleh bergerak macam orang lain, tapi abang selalu marah bila Icha buat senaman lama-lama, pasal tu Icha..."
"Apa dia?" Izhar menegakkan tubuhnya. Wajah Arisa ditenungnya dalam-dalam. Banyak berahsia rupanya Arisa.
"Sebenarnya sejak Icha dah boleh bergerak sikit-sikit hari tu, Icha selalu buat latihan malam-malam..."
"Berlatih malam-malam?"
Arisa mengangguk. Biarlah dia berterus-terang kepada Izhar. Dia juga sudah boleh berjalan, tidak mungkin Izhar akan marah.
"Oh, jadi yang jatuh katil malam tu pun..."
"Dak! Bukan jatuh katil," akui Arisa memotong bicara Izhar. Nampaknya, Izhar sudah dapat mengagak apa yang sebenarnya terjadi pada malam itu.
"Icha sedar tak apa akibatnya? Kalau jadi apa-apa, Icha mungkin lebih teruk lagi daripada keadaan Icha mula-mula dulu. Untuk pulih, kita tak boleh terlalu memaksa..."
"Tapi, Icha rasa Icha mampu sebab tu Icha buat macam tu. Lagipun Icha dah sihat, dah boleh jalan..."
"Nasib baik boleh jalan, kalau lebih teruk lagi? Icha tak fikir langsungkan pasal tu semua? Abang larang Icha ada sebab bukan saja suka-suka. Memang abang nak Icha sihat, tapi bukan dengan memaksa macam tu!"
Arisa tidak berkutik. Gerun dia melihat ketat dan kelatnya wajah Izhar. Hilang langsung wajah manis yang tidak jemu-jemu merawatnya selama ini. Tidak pernah terlintas perkara buruk yang bakal berlaku bila dia terlalu kuat melakukan senaman. Di dalam kepalanya, dia hanya mahu sihat dengan cepat. Dia sudah jemu terbaring di atas katil.
"Kalau abang tegur, Icha kata abang tak sayangkan Icha, tapi Icha tu yang sebenarnya tak sayang abang. Tak pernah fikir apa akan jadi pada abang kalau Icha tak ada!"
Letih berleter agaknya, Izhar keluar ke balkoni. Bukan dia sengaja mahu marahkan Arisa, tetapi kadang-kadang Arisa memang mencabar kesabarannya. Dia sudah pernah merasa sakit kehilangan Arisa dan dia tidak mahu kehilangan Arisa sekali lagi. Arisa perlu disedarkan agar dia tidak bertindak mengikut perasaannya lain kali.
"Abang..."
Izhar menarik nafas panjang bila terasa tangan Arisa memeluknya dari belakang. Terasa hangan belakangnya bila pipi Arisa dirapatkan ke situ.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...