WALAUPUN sudah diijabkabulkan, Arisa berdebar juga menanti majlis yang akan berlangsung nanti bila sekali ini para jemputan terdiri daripada golongan berada dan berpangkat. Tentu majlis malam nanti akan lebih hebat jika dibandingkan dengan majlis makan malam yang pernah dihadirinya bersama Izhar dahulu. Maklumlah, majlis itu adalah untuk meraikan mereka sebagai pengantin bukan sebagai tetamu biasa.
"Icha pakai baju ni ya?"
"Baju siapa ni?" Dengan penuh tanda tanya, Arisa mengambil baju yang diserahkan oleh Izhar. Sepasang baju kebaya ungu muda bersulam penuh di bahagian kaki dan tangannya.
"Baju Ichalah!"
"Baju Icha? Icha mana ada baju macam ni?" Baju itu dibelek-beek Arisa. Memang bukan bajunya.
"Abang tempah kat butik pengantin tu suruh dia orang jahitkan."
"Buat apalah baju banyak-banyak..." rungut Arisa sambil menayang-nayangkan baju itu ke badannya.
"Baju yang istimewa untuk acara yang istimewa!" Memang akan ada acara istimewa sebentar lagi, majlis ijab kabul Baidura dengan Fariq.
Arisa hanya mengeluh sebelum masuk ke bilik air untuk berganti pakaian. Sama ada dia setuju atau tidak, dia tetap diwajibkan untuk memakai pakaian itu. Alah, pakai sajalah. Baju pun cantik! Lagipun tentu Izhar mahu dia kelihatan cantik hari ini, dia pun pengantin juga!
***********************************************************************************************
SELESAI saja majlis akad nikah Baidura dan Fariq, Izhar menyuruh Arisa bersedia untuk ke hotel pula. Tidak banyak yang perlu disiapkan kerana kebanyakan barang keperluan sudah dihantar ke hotel semasa mereka ke sana untuk membuat raptai semalam.
"Kelmarin, masa pi hotel kita tak lalu ikut sini. Ni kita nak pi mana?" soal Arisa termangu-mangu.
Izhar tidak menjawab, hanya senyumannya meniti di bibir dengan mata yang lembut merenung Izhar membuatkan isterinya tidak tentu arah bila terus-terusan direnung begitu.
"Encik Iz ni... orang tanya tak jawab! Nak jadi anak patung rosak jugak kot!"
Izhar ketawa senang. Kata-kata Arisa langsung tidak diambil hati olehnya.
Kereta itu akhirnya berhenti di hadapan deretan rumah kedai tiga tingkat. Kelihatan ramai yang sedang berhimpun di hadapan salah sebuah kedai yang dipenuhi dengan jambangan-jambangan bunga tersusun di sepanjang kaki limanya. Tidak ketinggalan, Nek Da, Adia dan Baidura suami isteri juga turut sama di situ.
"Jom, kita dah sampai," ajak Izhar sambil membukakan pintu buat Arisa.
Tanpa banyak soal, Arisa hanya mengikut ajakan Izhar. Jika disoal pun sudah pasti soalannya tidak akan berjawab seperti tadi.
"Ada jamuan kat sini ka?"
"Ada jamuan teh kecil saja. Tapi, itu tak penting, yang penting Icha tengok kat atas tu," suruh Izhar sambil menunjuk ke arah papan tanda di bahagian atas kedai.
"Klinik Dr. Izhar!" Arisa tersenyum memandang Izhar, sudah punya klinik sendiri rupa-rupanya suaminya itu! "Habis, kita nak buat apa kat sini? Nak buat pemeriksaan doktor?"
"Tunggu dan lihat..." Izhar ketawa kecil sambil memimpin Arisa ke bahagian kaki lima kedai dengan disambut oleh tepukan gemuruh daripada semua yang ada. "Kita mulakan sekarang."
"Baiklah, kita mulakan majlis ini dengan bacaan al-Fatihah dan doa selamat dulu ya!" Salah seorang daripada mereka bersuara. Lelaki itu terus membacakan surah al-Fatihah sebelum dia memulakan bacaan doanya.
Selesai saja membaca doa, Izhar lantas membawa Arisa ke hadapan pintu klinik yang terikat dengan riben berwarna ungu, warna kegemaran Arisa.
Terkaku Arisa seketika. Tidak disangka di dalam waktu begini sempat lagi Izhar membawanya untuk merasmikan klinik yang baru dibuka. Melihat Arisa yang termangu-mangu Izhar mencapai gunting yang disediakan untuk Arisa dan menyerahkan kepada isterinya.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...