EPILOG

213 16 2
                                    

SELEPAS berjemaah asar bersama, Arisa dan anak cucunya sibuk pula menghidangkan minum petang. Dalam usia yang sudah menjangkau ke hujungnya, apa lagi yang membahagiakannya melainkan bersama dengan keluarga tersayang.

"Abang... kopi."

Sebuah mug sederhana besar yang dihulurkan Arisa, disambut Izhar sambil tangannya yang sebelah lagi menepuk-nepuk sofa, meminta Arisa duduk di sebelahnya. Sejak dulu sehingga sudah sama-sama berusia kini, Arisa tetap dilayannya dengan penuh kasih sayang yang tiada tolok bandingnya.

"Ummph... sesekali kena kopi emak ni, memang terangkat habis!" puji Aris sambil menghirup beberapa kali kopi di tangannya. 

"Alah, along pun tahu kan kopi emak ni mana ada orang boleh lawan," sokong Azira, kakak kepada Azim dan Asrul. Dia turut duduk di sebelah Arisa. 

"Sebab tulah ayah hanya minum kopi yang emak buat," tambah pula Asrul. Seingat dia dan adik-beradiknya yang lain, itulah kenyataannya. Dan ternyata kopi yang dibuat Arisa memang sedap!

"Eh, cucu-cucu tok semua buat apa tu?" soal Arisa bila melihat cucu-cucunya sedang berhimpun dan menumpukan perhatian terhadap sesuatu.

"Kami tengok gambar-gambar lama ni. Banyak gambar tok dan wan masa muda-muda dulu," jawab Anis mendahului yang lain. 

"Nenek..." Tiba-tiba Arisa didatangi Fikri, cucu Aris merangkap cicitnya yang berusia lapan tahun. "Ni nenek, kan?" tanyanya ingin tahu. 

Arisa membelek gambar yang ditunjukkan Fikri. "Ya... ni gambar konvokesyen nenek masa PHD dulu." Gambar itu ditunjukkan pula kepada Izhar. "Abang ingat lagi dak?"

Izhar ketawa berderai, menarik minat semua yang ada di situ. "Mana tak ingat, kitakan jadi centre of attraction masa tu!" 

"Kenapa wan? Tok jatuh tangga ke?" soal Azfan penuh minat.

"Bukan jatuh tangga," nafi Izhar dengan ketawa yang semakin kuat, semakin menarik minat cucu-cucunya. "Masa tu, tok tengah sarat mengandungkan Mak Ngah Azira kamu ni. Elok saja tok turun pentas tu, dia sakit nak bersalin. Apa lagi wan dan oyang pun kalutlah turun untuk dapatkan tok dan bawa dia pergi hospital. Nasib baik sempat!"

"Kalau tida, emak jadi anak Dewan Canselorlah ya!" sahut Irfan, anak sulung Azira, membuat semakin riuh suasana di rumah itu. Memang tidak kering gusi bila semua ahli keluarga Izhar dan Arisa berkumpul di rumah pusaka Nek Da itu. 

"Tapi dalam banyak-banyak gambar tok dan wan, Nani paling suka gambar ni."

"Gambar mana?" soal Anis kepada anak pak longnya. 

"Ni gambar kat ladang strawberi ni." Hanani menunjukkan gambar yang dimaksudkannya kepada Anis, gambar Izhar dan Arisa di dalam ladang strawberi. Gambar itu diambil oleh Adila secara senyap-senyap semasa Izhar memujuk Arisa yang menangis kerana teringatkan keluarganya. "Cantikkan gambar ni."

"Yalah, so sweet. Wan nampak loving sangat, nampak sayang sangat-sangat kat tok. Dan tok pun nampak so sweet, just like a flower blooming," komen Anis turut menyetujui kata-kata Hanani. 

"Kalau dalam hati ada cinta, mestilah nampak sweet dan loving!" ujar Izhar dengan pandangan penuh mesra kepada Arisa. Sememangnya ketika itu, tanpa ada yang tahu, hatinya sudah tertawan kepada Arisa.

"Hmm... semuanya berlaku dari satu pertemuan, kan bang?" soal Arisa sambil memaut lngan Izhar. 

Izhar mengiakan kata-kata Arisa dengan sebuah anggukan. Tidak dinafikan pertemuan itu adalah rahmat buat mereka.

"Patutlah setiap tahun tok dan wan tak pernah lupa untuk sambut hari ni, kan? Betul kata tok dan wan, semuanya tidak akan berlaku kalau tidak ada pertemuan," kata Ziyyad dengan kepala yang terangguk-angguk perlahan. Sudah faham nampaknya dia kenapa hari itu begitu istimewa buat tok dan wan mereka semua.

 "Kenapa dengan emak tu, Ira?" soal Azim membuat mulut masing-masing kelu tanpa kata. Semua mata juga tertumpu ke arah Arisa yang tersandar lemah di sofa dengan mata yang terpejam rapat. 

"Emak!" panggil Azira lembut sambil mengurut lengan Arisa. "Emak letih sangat ni. Tulah, semua kerja nak buat sendiri. Sampai orang nak mai awal sikit nak tolong masak pun tak bagi, kan dah tak larat ni."

"Arisa..." panggil Izhar. Wajah Arisa dialihkan supaya bertentangan dengannya. "Icha..."

"Abang..." Arisa membuka matanya perlahan-lahan. Lemah sekali nampaknya dia. "Icha... nak tidur! Icha letih!"

"Ya ALLAH, Icha!" Izhar jadi cemas bila tangan Arisa yang bergayut di lengannya tiba-tiba terkulai ke atas pahanya.

"Abang... dada Icha... sakit!"

Aris, Azim dan Asrul cepat merapat ke hadapan tempat duduk Arisa. Anak isteri masing-masing juga turut sama menumpukan perhatian kepada Arisa. 

"Ayah, kita baringkan emak." Aris memberi cadangan sambil dia sendiri bangun untuk membantu. Dengan beralaskan sebuah kusyen, Arisa dibaringkan di sofa. 

"Kita bawa emak ke hospital, ayah?" usul Azim. 

"Tak payah..." Arisa menggoyangkan sedikit kepalanya tanda dia tidak mahu dibawa ke hospital. "Abang... rasanya dah..."

"Icha..." Izhar duduk di sisi Arisa. Dadanya sendiri sudah mula terasa sakit. Ketat dan sesak rasanya seolah-olah tidak boleh bernafas lagi. Doanya semoga dia dapat bertahan. Sekiranya sudah tiba masa untuk dia kembali kepada Pencipta-NYA, biarlah dia kotakan janjinya untuk menjaga Arisa hingga ke akhir hayatnya. Cukuplah jika dia diberikan sedetik lagi waktu untuk bersama Arisa!

"Sakit, bang!" Mata redup Arisa terus tertancap ke wajah Izhar sebelum tertutup perlahan-lahan dengan dada yang semakin berombak kuat. 

Izhar memegang jari Arisa yang sejuk. "Mengucap sayang..." Perlahan-lahan dia menyebut dua kalimah syahadah ke telinga Arisa. Setelah pasti Arisa juga telah mengucapkan kalimah itu, dahi Arisa diciumnya penuh syahdu dan kasih sayang, lama sekali. 

"Ayah!" Bahu Izhar ditepuk perlahan dengan perasaan yang berdebar-debar. Wajah adik-adiknya segera dicari bila tiada sedikit reaksi pun daripada ayah mereka. Masing-masing sudah tidak sedap hati.

Dengan penuh berhati-hati, tubuh Izhar dijarakkan dari tubuh Arisa. Nyata, apa yang mereka fikirkan benar-benar terjadi. Izhar dan Arisa kini sama-sama kaku tidak bernafas dengan jari-jemari yang bertaut rapat. 

Innalillahiwainnailaihirajiun.

Sesungguhnya, kita ini semuanya adalah milik ALLAH dan kepada-NYA kita akan kembali. 

Semoga kasih mereka berdua abadi sampai ke Syurga. Hidup biar sampai mati, jangan kita mati sebelum mati. 


KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now