IZHAR berbaring lesu di atas katil dengan mata yang amat berat untuk dibuka menarik perhatiannya.
Kelihatan Arisa masuk dengan membawa beberapa helai pakaian yang sudah siap dilipat disimpan. Dengan cuaca panas begini, cepat saja kain yang dibasuh menjadi kering. Baru beberapa jam dijemur sudah boleh dilipat. Pakaian itu diletakkan di atas katil di sisi Izhar sementara dia menuju ke almari pakaian, mengeluarkan beg pakaian mereka.
"Nak buat apa dengan beg tu?" soal Izhar. Dengan malas dia bergerak ke tepi katil supaya dapat melihat Arisa dengan lebih jelas.
"Nak simpan baju ni. Esok nak balik taklah kelam-kabut sangat. Nanti tinggal baju yang nak pakai malam ni dan untuk balik esok. Yang lain tu bubuh siap-siap kat dalam beg, senang sikit," terang Arisa panjang. Pakaian di dalam almari yang sudah tidak diperlukan juga dikeluarkan. Semuanya diletakkan di atas permaidani.
Beg pakaian dibuka dan jari-jari Arisa tangkas mengeluarkan semua isinya untuk disusun dengan lebih kemas.
"Apa ni?" Sesuatu di dalam beg plastik dikeluarkan Arisa. "Beratnya! Abang punya barang ka ni?" Arisa menyoal sambil berpaling melihat Izhar.
"Mana ada barang abang? Barang Ichalah..."
"Barang Icha?" soal Arisa dengan penuh tanda tanya. Bila masa pula dia masukkan barang itu ke dalam beg pakaian mereka? Ragu-ragu Arisa membuka beg plastik dan kertas pembalut benda di tangannya itu. Bulat matanya seketika.
"Ni bukan Icha punya! Macam mana dia boleh ada kat dalam ni?" soal Arisa dengan kerlingan maut.
Izhar buat tidak faham dengan soalan Arisa. Sebelah tangannya dihulurkan ke lantai dan mula mengguris-guris sesuatu dengan jarinya tanpa ada bentuk yang tertentu. Sengaja mahu melarikan perhatian daripada Arisa.
"Buat apa bubuh dalam beg ni? Ambillah balik!"
Tersentak Izhar bila Arisa meletakkan bungkusan itu berhampiran jarinya. Dia lekas turun dari katil, mencapai bungkusan itu dan duduk menghadap Arisa.
"Takkan marahkan abang lagi? Abang simpan ni untuk Icha. Abang tak nak orang lain makan. Dah kena marah dengan abang hari tu, rugi tau kalau tak makan!"
"Macam mana nak makan? Tengok buah tu pun sakit hati, nak makan pun tak tertelan. Yalah, ladang tu ladang abang, Icha mana boleh buat ikut suka hati. Ambil buah sebiji pun kena marah teruk-teruk," sindir Arisa. Laju tangannya menyusun pakaian ke dalam beg.
"Alah... dia merajuklah pula! Sayang abang Tuan Puteri Dang Anum, please... maafkan abang."
Arisa menahan senyum. Sudah lama dia tidak mendengar usikan nakal Arman dan Azmin dengan panggilan itu. Kini Izhar pula menjadi pengganti mereka untuk mengusiknya.
"Tak payahlah nak pujuk Icha..." Sebuah jelingan tajam memanah wajah Izhar. Sengaja buat-buat marah. Zip beg ditarik setelah selesai menyimpan semua pakaian. Beg itu diangkat dan dibawanya ke tepi almari.
"Abang ni!" gumam Arisa bila dia hampir saja berlanggar dengan Izhar yang begitu rapat mengikut di belakangnya.
"Ambillah buah ni," pujuk Izhar bagaikan seorang kanak-kanak kecil.
"Tak mau!" Arisa memalingkan mukanya ke arah lain.
Kedua-duanya bagaikan budak-budak saja keletahnya. Kalau dilihat Nek Da pasti dua-duanya akan mendapat habuan.
"Rugi tau!" Izhar mendekatkan buah mangga ke hidungnya sendiri.
"Fuh! Wanginya, mesti sedap ni... Cuba Icha cium." Buah itu kemudiannya disuakan pula ke hidung Arisa. "Wangi, kan?"

ANDA SEDANG MEMBACA
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...