77

123 9 0
                                    

SUDAH setahun Arisa masuk kuliah dan dia kini sedang sibuk dengan peperiksaan semester keduanya. Dalam sibuk belajar, dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap Izhar. Makan pakai izhar sentiasa dijaga. Cuma pada saat-saat dia sedang menghadapi peperiksaan begini, Izhar lebih suka jika dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya.

"Kesian, abang... tiap-tiap hari kena makan lauk kedai," ujar Arisa ketika mereka sama-sama menikmati juadah tengah hari. 

"Alah, bukannya lama. Lepas ni Icha cuti semester, kan? Bolehlah masak sedap-sedap untuk abang."

"Sedap ka Icha masak?" duga Arisa disulami dengan kerlingan manja. 

"Kalau sayang abang ni yang masak, jangankan gula, hempedu pun jadi manis," seloroh Izhar.

"Kalau macam tu, esok abang tak payah beli lauk kedai, Icha nak masak. Esok pagi, Icha nak  pi market, nak korek semua hempedu ayam yang depa buang tu dan masak untuk abang. Tengok, manis ka dak?"

Seperti biasa ada saja jawapan Arisa dengan otak lurus bendul yang tak berapa lurus tu. Kalau bab mengenakan orang, dialah pakarnya. 

"Takkan sampai nak korek tong sampah kat pasar tu? Lagipun esok pasar tutup."

"Ooo... tutup ka!" Arisa ketawa berderai. mana ada pasar yang tidak dibuka tujuh hari seminggu? "Takut juga abang noo... Tulah tipu lagi, bagi makan hempedu betul-betul batu tau."

"Abang bukan tipu, tapi nak puji Icha. Salah ke?" soal Izhar dengan wajah yang serius. Dia memang ikhlas memuji Arisa walaupun ada juga kekurangan pada masakannya.

"Memang tak salah, tapi bagilah logik sikit!"

"Alah, tu kan perumpamaan saja. Okeylah kalau Icha nak juga masak hempedu tu, esok abang carikan. Kita makan sama-sama!"

Semakin kuat ketawa Arisa, apatah lagi bila Izhar juga turut ketawa bersamanya. Izhar memang pandai mengambil hatinya dan sudah tentu pandai juga mengenakannya.

"Icha pun tak maulah makan hempedu. Tak apa... esok Icha masak sedap-sedap kat abang. Abang nak makan apa?" 

"Ichakan nak study, tak payahlah nak masak semua tu. Lagipun abang tengok sejak kebelakangan ni, Icha letih sangat. Kalau tak nak study pun rehatlah tak payahlah nak masak."

"Entahlah... Icha pun pelik juga. Dalam seminggu ni Icha rasa macam nak tidur saja. Tapi, alhamdulillah... apa yang Icha belajar tu masuk otak juga, kalau tak, tak taulah macam mana nak jawab exam tu." Memang Arisa sendiri perasan akan keadaannya yang agak kurang bermaya dan selalu letih sejak akhir-akhir ini.

"Icha tension agaknya. Janganlah paksa sangat. Kan abang dah pesan..." Izhar tidak meneruskan ayatnya bila tekaknya tiba-tiba berasa loya dan perutnya terasa bagai ada ombak besar yang sedang bergulung-gulung. Berasa yang makanan dari perutnya sudah kembali ke tekak, dia pantas berlari menuju ke bilik air. Habis semua makanan yang masih belum dihadamkan itu terhambur keluar. 

 Cepat langkah Izhar diikuti Arisa. "Ya ALLAH, abang! Pasal apa ni, duduk tak duduk muntah macam ni?" Belakang Izhar, Arisa urut perlahan bagi menolong mengurangkan rasa rengsa yang dihadapi suaminya itu.

Bila sudah berasa lega, Izhar berkumur dan membasuh tangannya yang masih bersisa makanan. "Dahlah, tak payah urut lagi... abang dah okey," larang Izhar bila Arisa masih belum berhenti mengurut belakangnya. 

"Abang nak makan lagi?" soal Arisa bila Izhar beredar dari bilik air walaupun dia sudah menduga yang Izhar sudah tidak berselera lagi untuk menghabiskan makanannya. Dia sendiri sudah membasuh tangannya. Seleranya turut terbantut. 

"Abang nak rehat kejap." Sambil menggeleng, Izhar menapak menuju ke ruang tamu. Tidak ada apa yang mahu dilakukan selain daripada berehat. 

Setelah pasti yang Izhar boleh menapak sendiri, Arisa ke dapur untuk mengambil segelas air. Segera dia mendapatkan Izhar yang sudah duduk di sofa dengan matanya yang terkatup rapat. 

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now