SIAP Arisa membasuh tangan dan pinggan, da menjengah ke belakang rumah. Kelihatan Pak Ali dan Mak Marina sedang mengupas kelapa di situ. Yang lain entah ke mana, mungkin di dalam bilik masing-masing. Pantas, dia menyarung seliparnya dan menuju keluar. Sejak peristiwa dia mahu dipatuk ular, tidak berani lagi dia keluar dari rumah bersendirian.
"Senangnya Pak Ali kupas nyok!" Pak Ali mengupas kelapa hanya menggunakan sebilah golok.
"Dah biasa, senanglah Icha."
"Kalau dah senang, kenapa tak buat? Apa tengok saja?" perli satu suara dari belakang menarik perhatian Arisa. Senyum yang sejak tadi bermukim di bibirnya terus pudar. Tidak disangka Elina turut mengikutnya ke situ.
"Icha tak reti," jawab Arisa perlahan. Tidak mahu mencari pasal dengan Elina, Arisa cuba membuang jauh-jauh perasaan geram yang cuba menyelinap ke hatinya.
"Belajarlah! Malu saja orang kampung tak tahu kupas kelapa. Kalau orang kaya tu, lainlah tak tahu buat kerja. Ini tak... dahlah miskin, bodoh pulak tu!" Semakin menjadi-jadi nampaknya sindiran Elina. Sengaja mahu mencari pasal dengan Arisa. Belum puas hatinya dengan apa yang terjadi selama mereka di situ.
Terasa tebal kulit muka Arisa. Sedap mulut Elina saja hendak mengata dirinya. Pak Ali dan Mak Marina dipandangnya dengan bibir yang digigit kuat, cuba mengawal perasaan yang bergelodak di dalam hatinya.
"Icha memang tak reti. Selalu ayah atau mak Icha yang kupas nyok ni." Tersenyum juga Arisa di hujung ayatnya yang masih cuba untuk bersabar.
"Alah, bukannya tak pandai... tapi tak sedar diri!" cemuh Elina. Mungkin sudah berasa puas hati, dia lantas berlalu dari situ.
"Amboi, mulut! Tak padan dengan terhencut-hencut!" rungut Mak Marina setelah Elina jauh daripada mereka. Sejak mereka datang ke situ, dia memang tidak pernah sukakan Elina yang sentiasa berlagak dan mengada-ngada. "Dia tu yang tak sedar diri!"
"Marina... dengar dek Baidura atau Fariq, kecil hati pula mereka nanti!" bantah Pak Ali, takut juga kalau kata-kata isterinya sampai ke pendengaran Baidura atau suaminya. Dia sudah pun mencapai buluh kecil yang diikat dengan pisau di hujungnya untuk mengait daun pisang.
"Dah sugguh pun!" cebik Mak Marina menangkis kata-kata suaminya. "Mengada tak bertempat. Dahlah, Icha... jom kita masuk ," ajak Mak Marina. Kelapa-kelapa yang sudah siap dikupas diangkatnya sekali untuk dibawa masuk ke rumah.
Tentu ramai di rumah Pak Ali bila kedengaran jelas suara orang berbual dan bergelak ketawa dari situ. Tambahan pula Pak Jamal dan Mak Hajar juga masih belum pulang, tentu saja Mak Hajar yang menggamatkan suasana dengan mulutnya yang tidak tahu diam. Namun dalam bising, tangannya juga tidak duduk diam. Ada saja kerja yang dilakukannya.
"Mak Na masuklah dulu. Icha nak duduk sini sat."
"Yalah, tapi kalau Pak Ali masuk nanti Icha jangan pula duduk sorang-sorang kat luar ni." Sebuah peringatan keras diberikan Mak Marina apabila kakinya mula melagkah pergi. Takut dia jika perkara semalam berulang lagi.
"Yalah, Mak Na. Nanti Pak Ali masuk, Icha masuklah," jawab Arisa. Ralit dia melihat Pak Ali mengait daun pisang.
"Kait daun pisang ni, nak buat kuih apa pulak hari ni, Pak Ali?" tanya Arisa.
"Hari ni Mak Nak kamu buat dangai. Tak guna daun pisang pun. Daun ni untuk bungkus nasi lemak besok pagi. Izhar tu teringin nak makan nasi lemak dalam daun pisang macam orang jual kat kedai tu. Selalu Jah tu buat nasi lemak makan dalam pinggan saja katanya. Mengidam agaknya suami kamu tu!"
Arisa tergelak besar. Tak ada maknanya Izhar mengidam, mustahil! "Daklah, Pak Ali. Dia tu bukan mengidam, tapi meragam, macam-macam dia mau. Macam budak-budak." "Sementara boleh bermanja ni jadilah macam budak-budak. Besok-besok dah jadi bapa budak, dia pula kena layan ragam anak-anak."

ANDA SEDANG MEMBACA
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomansaSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...