SESEKALI Arisa menoleh ke kiri kanannya. Rasa serba tak kena bila ada mata-mata yang dirasakan merenung ke arah mereka berdua, padahal entah siapalah yang dipandang orang itu.
"Encik Iz, pelanlah sikit." Lengan baju Izhar ditarik Arisa. Dia tidak berani berjalan laju-laju. Masih kekok dan sedikit rasa gementar. Pertama kali hadir ke majlis seperti itu terasa seolah-olah semua mata sedang melihat ke arahnya walaupun sebenarnya hanya dia yang perasan sendiri. "Icha tak boleh jalan laju-laju."
"Janganlah tarik baju, tak sempoilah!" Izhar berpaling melihat Arisa di sebelahnya. Kasihan juga dia bila melihat wajah Arisa yang jelas kelihatan runsing. "Awak paut lengan saya."
"Paut macam mana?"
Izhar menarik nafas panjang. Segera tangan Arisa dilingkarkan di lengannya. Jari Arisa pula ditarik sedikit ke bahagian atas lengan sebelum diletakkan di situ. "Pegang macam ni. Takkan tak biasa tengok orang jalan macam ni?"
Arisa ketawa kecil sambil melangut memandang Izhar. "Oh! Macam Cinderella and prince charminglah ni..."
"Bukanlah! Macam ayam katik dengan ostrich," balas Izhar turut ketawa.
"Sukanya dia dapat kutuk orang!" Sekilas Arisa menjeling pada Izhar. "Apa tak kata macam ayam katik dengan merak kayangan, lagi sesuai!" sambungnya lirih.
"Bagi saya ayam katik, ostrich atau merak serupa saja sebab mereka masih dalam spesies burung. Tapi, saya tak nak jadi merak sebab saya tak nak sedih bila ayam katik yang boleh terbang tu tinggalkan saya, merak tak boleh terbang. Saya lebih suka jadi ostrich sebab ostrich boleh lari laju dan ostrich ni akan kejar ayam katik tu kalau dia lari," ucap Izhar bersahaja dengan mata yang terjurus ke wajah Arisa.
Dalam berkias dia menyuarakan rasa hatinya. Dia tidak mahu Arisa berasa yang mereka mempunyai kedudukan yang berbeza. Baginya semua manusia adalah sama.
"Tak payah hambat Encik Iz, pasal ayam katik tu hari ni pakai heels, kaki dia berat dan dia tak boleh nak terbang." Arisa kembali ketawa mendengar penerangan Izhar tentang perihal burung yang disamakan dengan mereka.
Setelah mendaftar, Izhar membawa Arisa masuk ke dalam ballroom. Terpegun Arisa melihat keadaan di dalam dewan itu. Baginya semua yang dilihat begitu indah. Ruang yang luas dengan lampu-lampu yang bergemerlapan dan bunga-bunga yang tersusun indah di hadapan pentas utama dan yang lebih menarik perhatian ialah para jemputan yang rata-ratanya berpakaian cantik dan dengan bermacam-macam fesyen bagaikan artis.
Selama ini, Arisa hanya melihat keadaan itu di dalam televisyen dan selalu berangan mendapat kesempatan ke majlis sebegitu, namun sekarang terasa seram sejuk pula dirinya bila terpaksa berjalan merentas dewan itu untuk ke meja yang bakal didudukinya. Maklumlah sebagai tetamu kehormat, mestilah tempat Izhar di meja hadapan! Sudah tentu juga mereka berdua menjadi perhatian ketika itu.
Arisa menarik nafas lega bila dia selamat melabuhkan punggung di tempat duduknya. Bagai lepas satu beban berat yang ditanggungnya.
"Awak okey?" soal Izhar.
"Apa dia?" soal Arisa balik sambil mendekatkan sedikit tubuhnya pada Izhar.
Izhar juga melakukan perkara yang sama. Alunan muzik yang berkumandang dan suara orang ramai yang berbual menyebabkan suasana hiruk-pikuk jadinya.
"Awak okey tak?" soal Izhar sekali lagi.
Arisa mengangguk. Segaris senyum terpamer di bibirnya. "Encik Izhar sure tak salah ballroom? Ni bukan Festival Filem Malaysia kan?"
"Memanglah! Dan awak bakal dapat award pelakon wanita terbaik nanti. Ingat apa yang saya dah pesan tadi!"
Lama mereka bertatapan sebelum Arisa menarik nafas panjang dan mengangguk. Mana boleh dia lupa! Malam ini dia adalah orang yang istimewa buat Izhar. Cincin yang dipakainya adalah sebagai bukti! Tapi, mana dia orang yang dimaksudkan oleh Izhar itu? Matanya sekali lagi merayap ke arah tetamu-tetamu yang ada mahu mencari gerangan gadis yang dimaksudkan Izhar.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomansaSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...