IZHAR dan Baidura duduk di atas batang kayu mati yang dihanyutkan oleh ombak laut ke pantai. Dua beradik itu amat lega bila masjid terapung yang dibina oleh syarikat mereka kini sudah hampir siap keseluruhannya.
Ilai ketawa dari arah belakang mereka menarik perhatian kedua-duanya. Kelihatan dua orang kanak-kanak dari arah rumah pekerja kontrak yang sedang bergurau-senda sambil membawa bakul di tangan masing-masing.
"Dik... sini," panggil Izhar sambil menggamit ke arah kedua kanak-kanak itu. "Jual kuih ya?"
"Ha'ah. Abang nak beli ka?" Jawab salah seorang daripada mereka.
"Kuih apa ada, dik?"
"Dah nak habis dah, bang. Karipap ada lagi tiga biji dan cucur udang tinggal dua cucuk."
"Akak nak?" Izhar menyoal Baidura.
"Boleh juga." Baidura menjenguk ke dalam bakul, secucuk cucur udang diambilnya. "Berapa satu ni?"
"Empat kupang," jawab kanak-kanak yang seorang lagi dengan sengihan lebar. "Kakak beli semualah, dua ringgit saja."
Baidura turut tersenyum. Sekeping not lima ringgit diserahkan kepada salah seorang daripada mereka. Seorang daripada kanak-kanak itu mengeluarkan beg plastik kecil dari poketnya. Wang tukaran dikeluarkan dari beg itu dan dihulurkannya kepada Baidura.
"Tak payah bagi baliklah. Simpan saja duit lebih tu."
"Tak boleh, kak. Nanti mak marah. Mak kata, kita cari rezeki halal bukan minta sedekah!"
"Ini bukan sedekah." Baidura memandang Izhar. Serba salah dia dengan tanggapan kanak-kanak itu. "Yang dua ringgit tu akak bayar duit kuih. Yang baki ni, akak belanja adik berdua. Nanti buat beli keropok ke, beli aiskrim ke."
"Ha'ah! Ambillah. Kakak nak belanja tu." Izhar pula bersuara. "Ambillah!"
Kedu-dua kanak-kanak itu berpandangan sebelum akhirnya tersenyum dan menyimpan duit yang diberikan oleh Baidura ke dalam poket seluar. Baidura dan Izhar turut tersenyum. Dalam kesempitan hidup, tidak pula kanak-kanak berdua itu mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.
"Hmm... sedap! Siapa buat ni?" Kena betul kuih itu dengan selera Izhar nampaknya.
"Mak," jawab keduanya serentak.
"Nama adik siapa?"
"Saya Aman. Ni adik saya, Amin. Nama abang?"
"Panggil Abang Iz. Ni kakak abang, Kak Dura. Aman dan Amin umur berapa tahun?" Amat berminat nampaknya Izhar untuk berkenalan lebih lanjut dengan kedua beradik itu.
"Aman 10 tahun, Amin 9 tahun."
'Setahun seorang rupanya emak dia orang ni beranak. Agaknya berderet-deret adik dia orang ni,' detik hati Izhar. Keramahan Arman dan Azmin menarik minat Izhar dan Baidura untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka berdua. Leka mereka bercerita sehingga Azmin yang turut duduk di atas batang kayu mati itu tiba-tiba berdiri.
"Aman! Mati kita!" Ujar Azmin sambil menepuk dahinya.
"Alamak! Dang Anum dah mai!" Segera Arman berdiri di sisi adiknya.
Izhar dan Baidura turut melihat ke arah yang dimaksudkan oleh Arman dan Azmin. Kelihatan seorang gadis sunti sedang mengayuh basikal ke arah mereka.
"Siapa Dang Anum tu? Laju macam superwoman aje?" Soal Izhar dengan mata yang tidak lekang melihat ke arah gadis itu.
"Alah, kakak kami..."
"Aman... Amin, buat apa kat sini tak balik-balik? Mak risau tau dak kat rumah! Dah pukul berapa dah dok merayap lagi. Duit mana? Kalau hilang nanti kesian dekat mak. Mak buat kuih dan nasi lemak tu semua pakai modal tau? Kalau duit tu hilang, penat saja mak buat kerja. Aman dan Amin ni tak kesian ka dekat mak dengan ayah?"
Aduh mak! Macam peluru. Tak henti-henti leterannya. Itu baru umur setahun jagung, kalau sudah tua esok, entah macam manalah agaknya dia berleter?
"Duit adalah, kak! Dalam poket ni," beritahu Arman sambil menepuk-nepuk kocek seluarnya. "Orang nak baliklah ni! Kak Icha ni teruklah, mak pun tak berleter macam tu! Macam bontot ayam!" Arman mengembang dan menguncupkan kelima-lima jarinya seakan meniru gaya pergerakan bontot ayam.
"Sedapnya mengata orang! Bukan main lagi, orang marah sikit, banyak pulak dia menjawab. Orang cuma risaulah, mana tau Aman dan Amin bergaduh dengan budak-budak lain ka nanti!"
"Kak Icha jangan bimbanglah, kami tak gaduh dengan budak-budak nakal tulah," tangkis Azmin pula.
Bila masa dia dan Arman bergaduh dengan budak-budak lain? Boleh dikatakan mereka dan kanak-kanak lain di situ semuanya berkawan baik, semuanya bersekolah di sekolah yang sama. Jika bergaduh pun biasa-biasa saja bukannya sampai bertumbuk atau berlawan.
"Kak Icha tak kisah kalau Aman dan Amin gaduh dengan budak nakal, takut nanti Aman dan Amin tu buli budak-budak baik saja. Kan Aman dan Amin ni dah memang juara nakal. Mana ada orang lain boleh lawan!"
"Dahsyatlah Kak Icha ni... mengata adik sendiri pulak! Kami mana ada nakal pun!" Arman pula membela diri.
"Awak janganlah marahkan dia orang, saya yang ajak dia orang berbual tadi." Izhar yang berasa bersalah tiba-tiba cuba membela Arman dan Azmin. Memang dia yang menahan mereka dan mengajak mereka berbual tadi. Tidak terfikir pula yang mereka sedang ditunggu di rumah.
"Habis kalau tak marahkan adik-adik saya ni, saya nak marahkan sapa? Nak marahkan encik?"
Tersentak Izhar dengan jawapan berani gadis itu. Aptah lagi bila mata galak si Dang Anum terus-menerus merenung kepadanya. Takkan dengan gadis beringus tu pun takut!
"Bukan macam tu, Dang Anum, maksud sa..."
"Siapa Dang Anum?" Gadis itu melotot memandang Izhar sebelum bercekak pinggang dan beralih pada Arman dan Azmin. Pasti kedua-dua orang adiknya itu telah memanggilnya begitu. "Mesti kerja hangpa, kan?"
"Dik... janganlah gaduh!" Baidura bertindak memujuk bila gadis itu dilihatnya sudah mahu naik angin. Buatnya mereka bertiga bergaduh di situ, payah pula jadinya nanti.
"Dahlah, jom balik. Mak dah lama tunggu tu," rengus Arisa perlahan.
Lega Baidura dan Izhar mendengar suara yang semakin melunak daripada gadis itu. Rupa-rupanya si Dang Anum itu tidaklah garang mana sangat pun.
"Takkan kami nak jalan, Kak Icha? Letihlah jual kuih tadi," rengek Azmin mencari simpati kakaknya. Memang agak jauh juga jika hendak berjalan pulang. Hampir satu kilometer jarak masjid baru itu dari rumah mereka. Mereka terpaksa menjaja sehingga ke situ kerana sudah tentu jualan mereka akan habis dibeli oleh pekerja-pekerja kontrak yang sudah kepenatan dan juga kelaparan setelah seharian bekerja.
"Okeylah. Aman dan Amin naik basikal. Kak Icha jalan kaki." Mengalah juga nampaknya dia kepada adik-adiknya. Walaupun adik-adiknya agak nakal, namun dalam soal membantu ibu bapa mereka mencari rezeki, mereka tidak pernah membantah atau merungut.
Sambil bersorak, Arman dan Azmin terus mengambil basikal daripada kakak mereka. Arman mengambil tempat di hadapan sementara Azmin pula menjadi pembonceng sambil mulut tidak henti-henti mengeluarkan bunyi seperti orang sedang memandu.
"Aman, Amin... elok-elok! Jangan bagi jahanam basikal tu. Esok Kak Icha nak pergi sekolahlah, periksa ada lagi sehari!" Sempat Arisa memberi peringatan sebelum adik-adiknya menjauh.
"Baik Tuan Puteri Dang Anum," jawab kedua-duanya sambil ketawa mengekek. Seronok dapat mengenakan kakaknya.
Arisa hanya mampu mengeluh dan menggeleng kepala. "Saya balik dulu." Dalam marahnya kepada Arman dan Azmin masih juga ada hormatnya kepada Baidura dan Izhar.
Dia juga harus cepat sampai ke rumah, mambang kuning sudah mula menjenguk ke gigi laut. Sebentar lagi, azan maghrib pasti berkumandang.
Izhar dan Baidura juga turut meninggalkan tempat itu. Mereka juga mahu segera pulang ke hotel. Bila azan berkumandang nanti mereka juga mesti tunduk sujud pada Yang Maha Esa.

ANDA SEDANG MEMBACA
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...