7

98 9 0
                                    

ARISA sudah diperkenalkan kepada beberapa orang kakitangan Teguh Makmur Holdings yang berhampiran dengan bilik Baidura. Dia mula menjalankan tugasnya setelah diberi serba sikit penerangan oleh majikannya itu. Tidak sampai dua jam seluruh pejabat telah disapu dan semua bakul sampah di setiap meja kakitangan telah dikosongkan. Sambil bekerja sudah tentu mulutnya ramah menegur semua kakitangan.

"Nak buat apa lagi? Cuci bilik air!" Arisa bingkas menuju ke bilik air. Melangkah saja masuk ke bilik air, bau harum ros daripada pewangi yang dipasang mula menusuk hidungnya. Dipandang sekeliling bilik air itu. Bersih! Diamati lagi keseluruhan bilik air.

"Nak cuci apa, dah bersih sangat dah pun! Wangi mengalahkan bedak yang aku pakai ni." Spontan Arisa mencium ketiaknya. Wangi juga walaupun tadi dia sibuk bekerja. Bedak wangi berbau ros jenama 'Three Beauties' yang dipakainya masih menjalankan tugas. Itulah satu-satu alat kecantikan yang dimilikinya. Bedak itu juga yang ditepek ke mukanya. Akhirnya dia tersenyum, lebih kurang saja bau bilik air itu dengan bau tubuhnya!

"Kata Kak Dura, kerja aku bancuh air. Nak bancuh air kat siapa?" Sambil bercakap sendirian, Arisa melangkah menuju ke pantri. Dia membetulkan botol-botol yang berisi gula, serbuk Nescafe dan bermacam jenis botol minuman lagi yang tidak teratur di situ. 

"Eeii... siapa punya kerjalah bagi tumpah gula ni? Pengotor! Macam budak-budak!" bebelnya perlahan. Buatnya ada yang mendengar tak pasal kena cili mulut nanti. Kalau dengan Arman dan Azmin di rumah, sudah tentu adik-adiknya dileteri.

Siap mengemas, Arisa menuju pula ke bilik Baidura. 

"Kak Dura nak minum? Icha bancuh air, nak?"

"Hmm... boleh juga! Icha buatkan Kak Dura Nescafe suam. Jangan pekat dan terlalu manis."

"Yess boss!" Arisa memberi tabik hormat pada Baidura sebelum dia keluar menjalankan tugasnya.

Tersenyum Baidura dengan keletah Arisa yang bersahaja lagaknya. 

***********************************************************************************************

"KAK DURA, minta kertas dengan pen," pinta Arisa setelah meletakkan cawan berisi Nescafe di atas meja Baidura. 

"Nak buat apa?"

"Buat kerjalah." Tanpa banyak soal lagi, Baidura menyerahkan barang yang diminta Arisa.

Sekali lagi Arisa melangkah  keluar dari bilik itu. Baidura hanya membiarkan. 'Asalah yang hendak dilakukan tu,' bisiknya sendiri.

Sampai di luar bilik, Arisa berdiri di tengah pejabat yang mana semua kakitangannya sedang sibuk bekerja.

"Ada sesiapa nak minum tak?" Semua yang ada di situ mengangkat muka memandang Arisa, tapi tidak seorang pun yang bersuara. " Kalau ada yang nak minum, Icha boleh tolong bancuhkan."

Melihat kertas dan pen di tangan Arisa, masing-masing mula faham dan tersenyum sesama sendiri. Nampaknya pekerja baru ni rajin terlebihlah pulak!

Arisa menghampiri seorang kakitangan yang terdekat dengannya. "Kak nak minum apa?" soalnya bagaikan seorang pelayan restoran.

"Betul ke nak buat ni?" tanya balik pekerja itu bagaikan kurang percaya. Selama ini, mereka semua membuat minuman sendiri. Tukang cuci pejabat sebelum ni hanya bekerja membersihkan pejabat dan buat minuman untuk bos-bos besar saja, tidak pula untuk mereka.

"Tu kan kerja saya," balas Arisa sambil mengangguk. 

"Hmm... kalau macam tu, buatkan Kak Ikin Milo panas," pinta Farida Asykin masih ragu-ragu. Betulkah Arisa mahu membuatkan minuman buat mereka?

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now