"HANGPA berdua ni lawan menyelam ke tadi? Sampai merah hidung, merah mata!" soal Muiz bila melihat wajah anak menantunya masih memerah sehingga ke malam hari. Tidak mangsung diketahui akan penyebab kedua-duanya berkeadaan begitu.
Izhar dan Arisa hanya memberitahu yang mereka mandi laut bila pulang dengan pakaian yang basah kuyup senja tadi. Mereka sudah sepakat biarlah hal yang sebenarnya menjadi rahsia buat mereka berdua. Lagipun pasti mereka akan dileteri jika perkara itu sampai ke pengetahuan kedua orang tua Arisa.
"Saja seronok-seronok, ayah..." akui Izhar bagi menutup rahsia. Biarlah dia mengaku saja akan telahan mertuanya daripada memberitahu mereka akan hal sebenar yang agak memalukan itu.
"Izhar... Izhar! Ayah ingat bila wayar tu dah tak berselirat semuanya makin elok, tapi nampaknya Iz pulak yang kena short karan!"
Izhar terbenguk-benguk menelan liur. Malu pun ada, hendak ketawa pun ada dengan kata-kata Muiz. Kali nin, dia memang terkena!
"Nak buat macam mana ayah... sayang isteri, sekali-sekala kenalah short karan jugak!" Dalam berlawak melayan Muiz risau juga Izhar jika gurauannya menggores perasaan Arisa. Lega hatinya bila Arisa turut ketawa bersama mereka tanpa menunjukkan sebarang rasa tidak senang.
***********************************************************************************************
ARISA merebahkan tubuhnya di sisi Izhar setelah mematikan lampu. Bersuluhkan cahaya lampu dari ibu rumah yang menerobos masuk melalui celah-celah bumbung ke bilik mereka wajah suaminya itu direnungnya lama tanpa suara. Peristiwa petang tadi masih jelas bermain di ingatannya.
"Kenapa pandang abang macam tu? Sayang pandang abang?" Izhar yang tadinya menelentang terus mengiring menghadap Arisa.
Arisa cepat menggeleng. Tidak langsung terdetik di hatinya untuk marahkan Izhar ketika itu walaupun nyawanya hampir melayang kerana kelakuan Izhar tadi.
"Abang janji dengan Icha jangan buat Icha macam tu lagi. Icha takut! Icha takut sangat-sangat tadi. Icha ingat Icha akan kehilangan abang!"
"Sayang... maafkan abang! Abang cuma nak main-main saja tadi. Tak sangka pula Icha akan begitu cepat bertindak."
"Habis, takkan Icha nak biarkan abang tenggelam."
"Sayangnya Icha pada abang!"
"Selama ini, abang tak rasa yang Icha sayangkan abanglah?" duga Arisa, cuba mengorek isi hati suaminya.
"Mestilah sayang. Tapi hari ini Icha sampai sanggup berkorban nyawa untuk abang. Kalaulah terjadi apa-apa tadi?"
"Tak dak apa-apa yang akan jadi. Tapi abang kena janji abang takkan main-main macam tu lagi dan abang akan terus sayangkan Icha sampai bila-bila. Sampai Icha kerepot, sampai kulit berkedut, sampai gig dah luruh, sampai..."
"Sampai hujung nyawa abang," potong Izhar bila Arisa sudah mula merapu seperti selalu. "Insya-ALLAH abang akan terus sayangkan Icha sampai bila-bila jika diizinkan umur abang panjang nanti. Abang janji sampai abang kerepot, sampai dah rongak..."
Kata-kata Izhar dimatikan oleh tawa kecil Arisa. Bergetar-getar tubuh Arisa menahan tawanya agar tidak sampai terdengar keluar bilik.
"Kenapa ketawa? Betullah!" Izhar turut ketawa bila sedar yang dia juga sudah mula merapu.
"Betullah... tapi tak payahlah biar rongak, tak handsome, buatlah gigi palsu," bisik Arisa berselang dengan tawa manjanya.
"Handsome lagi ke bila abang dah tua nanti?"
"Sampai bila pun abang akan tetap handsome di mata Icha." Arisa memaut tubuh izhar. Dagu Izhar diciumnya penuh sayang. " Icha bahagia jadi isteri abang. Walaupun kita baru saja kahwin, tapi Icha dapat rasakan yang Icha akan terus bahagia dengan abang. Icha sayang abang! Sayang sangat-sangat!"
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...