30

123 6 0
                                    

SEMUA tangkapan yang diperoleh hari ini tidak dijual. Kata Izhar semuanya mahu dibawa balik untuk Arisa sebagai bukti kesungguhannya. Walaupun mereka pulang awal, boleh tahan juga hasil tangkapannya.

"Encik Iz nak makan apa hari ni? Emak boleh masakkan."

"Bukan awak yang nak masakkan untuk saya?" soal Izhar perlahan.

"Alah, Encik Iz pun tau kan... Icha bukannya pandai masak sangat. Sayang ikan baru-baru ni kalau tak sedap nanti, kan ayah?" Arisa tersengih memandang Muiz, mengharap sokongan daripada Muiz akan kata-katanya tadi.

"Bukan saja sayang pasal ikan tu baru ditangkap, sayang saja penat lelah Izhar yang sampai nak pitam tadi tu, kalau suruh Icha masak!"

"Encik Iz nak pitam tadi?" soal Arisa kalut. Wajah Izhar terus ditelitinya, mengharap tidak ada berlaku perkara yang tidak baik kepada Izhar tadi. 

"Sampai muntah Izhar tu tadi."

"Encik Iz muntah?" Semakin besar mata Arisa merenung Izhar. Rasa bersalahnya lebih luas dari laut di hadapan mereka.

"Dah tau Izhar tu tak biasa buat kerja kasar macam ni buat apa suruh dia ke laut? Melampaulah Icha ni!" marah Muiz, geram juga dia dengan kerenah Arisa. 

"Maaflah, Encik Iz. Icha tak tau pulak nak jadi teruk sampai macam ni."

"Tak apalah, sekurang-kurangnya saya dah buktikan kesungguhan saya. Kalau dah kena tolak juga, saya nak buat macam mana!" Lirih suara Izhar tanpa melihat Muiz mahupun Arisa.

Arisa melirik Izhar sekejap sebelum mencari wajah Muiz. Muiz hanya diam sambil mengangkat kening dengan wajah yang sengaja sengaja dibuat serius. Nampaknya, Muiz telah memberikan kata putus semasa mereka di laut tadi.

"Maaf, Encik Iz... Icha dah kata yang Icha akan ikut apa saja keputusan ayah." Melihat kesungguhan Izhar membuatkan Arisa rasa bersalah jika Izhar telah ditolak oleh ayahnya.

"Macam mana, Zah? Kita nak terima Izhar ni dak? Kesian pula abang nak tolak, sampai dah lembik, nak angkat kepala pun dah tak larat ni!" Muiz tersenyum kepada Azizah memberi isyarat yang dia sebenarnya menerima Izhar sebagai menantu mereka.

"Entahlah, bang... takkan nak biar saja dia terus jadi macam ayam patah tengkuk ni," balas Azizah memberi jawapn secara berkias kepada suaminya.

"Kalau dah macam tu, kita terimalah..." 

"Betul abang, kak? Alhamdulillah!" Izhar yang tadinya kelihatan tidak bermaya kembali bersemangat. "Terima kasih abang, kakak!" Terus Izhar mencapai tangan Muiz dan menjabatnya.

"Kenapa?" Kaget Muiz dan anak isterinya bila Izhar berdesis kesakitan semasa menjabat tangannya.

"Tak ada apa!" Izhar menggeleng cepat. Malu dia untuk memberitahu hal yang sebenar.

"Lah... Encik Iz, kena apa tangan Encik Iz ni?" Tidak dapat juga nampaknya Izhar hendak merahsiakan perihal tangannya yang memerah dan melepuh.

"Ni mesti pasal tarik pukat tadi ni. Pasal Icha, Izhar tarik pukat tu sorang-sorang tau, ayah nak tarik dia langsung tak bagi. Last-last macam nilah jadinya."

"Encik Iz tarik pukat?" Seperti biasa, Arisa mula menggelabah bila dia menjadi punca kesakitan Izhar. Telapak tangan Izhar dibukanya dan diletakkan di atas telapak tangannya sambil meniup-niup dan menggosok-gosoknya perlahan. 

"Nanti kita bubuh minyak na?" Bagaikan sedang memujuk seorang anak kecil saja lagak Arisa, tidak peduli yang tingkah lakunya sedang diperhatikan oleh kedua-dua orang tuanya.

Perasan akan dua pasang mata yang tidak berkelip memandang ke arah mereka, Izhar cept menarik tangannya daripada pegangan Icha. "Tak apa, nanti baiklah ni. Bukan teruk sangat pun. Saya ni anak jantanlah!" ujar Izhar cuba berseloroh.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now