60

117 7 0
                                    

IZHAR meninjau-ninjau ke ruang dapur. Betul kata Kak Sal, Arisa memang di situ, sedang membancuh air di tepi kabinet. Arman dan Azmin pula sedang leka menjamah nasi goreng kosong sedangkan banyak lauk-pauk sampingan seperti telur goreng dan sausage yang telah disediakan Mak Jah.

"Mak Jah... tolong hantarkan kopi ni ke depan."

"Tak payah, Mak Jah... saya makan kat sini," larang Izhar membuat Arisa terkedu. Tidak sedar dia yang Izhar kini sudah berada di situ. "Mak Jah tolong ambilkan nasi goreng untuk saya. Telur dan sausagenya ambil lebih sikit."

Arisa meletakkan cawan kopi di hadapan Izhar. Walaupun kelihatan bersahaja, jelas ida agak gugup dengan kehadiran Izhar. 

"Kenapa makan kat sini?" soal Izhar setelah Mak Jah berlalu.

"Saja." Pendek jawapan Arisa. Sememangnya, dia tidak ada jawapan lain yang lebih baik dari itu bila dia sebenarnya sedang melarikan diri bersama adik-adiknya daripada bertembung dengan Izhar. Izhar juga tentu sudah maklum akan hal itu.

"Aman dan Amin siap cantik-cantik, awal-awal ni nak ke mana?" Ramah suara Izhar. Cuba untuk mengembalikan kemesraan. "Aman?"

Dengan rasa serba salah dan takut-takut Arman memandang Arisa yang menumpukan sepenuh perhatian terhadap sarapan di depannya. Jika tidak dijawab takut Izhar akan naik angin lagi. Jika dijawab takut pula akan dimarahi kakaknya.

"Apa nak takut, cakaplah! Abang bukannya marah, abang tanya saja."

"Icha nak hantar depa balik kampung," jawab Arisa bagi pihak adiknya.

"Balik kampung? Tapi... Izhar tidak meneruskan kata-katanya bila Mak Jah dan Kak Sal tiba dengan membawa pinggan berisi nasi goreng dan juga lauk-lauknya.

"Mak Jah dan Kak Sal tak makan sekali?"

"Nantilah, kami makan. Iz dan Icha makanlah dulu." Sedar yang Izhar mahu bersendirian bersama isteri dan adik-adik iparnya, Mak Jah langsung menarik Kak Sal masuk ke biliknya. Mereka juga tahu yang Izhar marahkan Arisa semalam cuma mereka tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh Arisa pada tengah malam semalam.

"Aman... Amin, abang minta maaf pasal semalam. Abang tak sengaja. Abang terlalu ikutkan hati abang sampai cakap yang bukan-bukan pada Aman dan Amin. Aman dan Amin tak payah balik lagi ya? Kan abang dah janji nak bawa Aman dan Amin jalan-jalan hari ni."

Arman dan Azmin berpandangan sebelum kedua pasang mata itu mencari wajah Arisa. Walaupun berminat dengan kata-kata Izhar, namun tidak ada yang berani mengiakan. Lagipun kedua-duanya masih takut-takut bahasa untuk bermesra dengan Izhar seperti selalu. Pengalaman semalam banyak memberi pengajaran kepada mereka.

"Abang tak payahlah susah-susah. Abang pilah kerja. Lagipun depa ni dah lama kat sini. Eloklah kalau icha hantar depa balik."

"Lama apanya, baru tiga hari. Abang tahu abang salah. Icha, Aman dan Amin tolong maafkan abang. Bagi abang peluang untuk tebus kesalahan abang semalam. Abang janji akan bawa Aman dan Amin ke mana saja yang Aman dan Amin nak pergi." Masih berusaha Izhar memujuk walaupun Arisa kelihatan sedikit pun tidak terusik dengan kata-katanya. 

"Abang tak payah nak tebus apa-apa. Abang tak salah! Kami yang macam kaduk naik junjung, tak sedar diri." Arisa mengusap hujung matanya yang mula basah dengan jari. Tidak mudah untuk dia menghadamkan perkara semalam begitu sahaja. Perasaan terkilannya tetap menempel di hati walaupun sudah cuba dibuangnya jauh-jauh.

"Aman dan Amin makan cepat. Nanti lambat, tak dak bas pulak." Tanpa meminta diri, Arisa pergi meninggalkan Izhar. Perasaannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tidak ada ruang baginya untuk bernafas di situ.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now