RUMAH Muiz kini sudah lengang seperti biasa. Semua tetamu sudah pun pulang. Esok, Arisa juga akan mengikut Izhar pulang ke rumah Nek Da. Semakin sunyilah rumah Muiz nanti.
"Ingat apa mak pesan, Icha?" zizah yang duduk di depan pintu bilik mengingatkan anaknya.
"Ingat, mak. Icha taulah Icha dah jadi isteri orang, kena jaga perangai, jaga suami elok-elok," jawab Arisa dengan tangan yang lincah mengemas biliknya. Di bahagian dapur dan ruang tamu sudah siap dikemasnya. Bila sudah berkumpul begitu tunggang-langgang semua jadinya. Nasib baik juga rumah mereka tidak seluas mana, jika tidak teruklah hendak mengemas jawabnya.
"Izhar pun, kalau Icha ni buat perangai, tegur dia. Mak tau sangatlah perangai anak mak ni, bukan boleh harap sangat. Bila kita tegur semua mengaku! Okeylah sat, tapi lepas tu dia buat balik."
"Alah, mak tak payahlah bimbang," jawab Izhar yang duduk di tepi katil. Matanya tekun melihat Arisa yang sedang mengikat beg plastik berisi sampah yang telah disapunya. "Dah kahwin ni nanti tahulah Icha bawa diri dia. Lagipun selama ni, Iz rasa Icha okey saja."
Arisa mengangkat kening sambil tersenyum-senyum pada Azizah. Nampaknya, Izhar juga menyebelahinya. Siap semua kerjanya, dia duduk memeluk lutut di tepi Izhar.
"Hah! Tengok tu. Cuba duduk tu elok-elok sikit."
"Alah, mak ni... bukannya ada orang pun," tingkah Arisa.
"Eii... tak dak orang pun kenalah buat perangai tu elok-elok, biar sedap mata suami tengok. Muka tu kena selalu manis, barulah hati suami jadi senang. Ni kalau dengan muka macam tempek basi, duduk macam samseng, suami tengok pun boleh pengsan."
"Okey... okey, mak." Arisa membetulkan duduknya. Dari memeluk lutut, dia terus bersimpuh dengan senyum simpul dan mata yang berkelip-kelip memandang Izhar. "Macam ni okey, kan?"
Izhar ketawa. Lucu dia dengan telatah Arisa yang pura-pura ayu.
"Kalau orang tegur, macam tulah perangai dia. Yang terkelip-kelip macam mata anak patung rosak tu pasal apa?"
Semakin kuat ketawa Izhar. Arisa juga turut ketawa. Adakah patut dia dikatakan anak patung rosak?
"Icha taulah, mak. Dah banyak kali mak pesan kat Icha," jawab Arisa setelah tawanya reda. Wajahnya juga sudah kembali serius. "Tak pa, nanti Icha senyum 24 jam kat abang. Biar dia senang hati selalu. Icha pun dapat pahala. Tapi janganlah Icha sorang saja senyum, bagi dia happy, dia pula tunjuk muka tempak basi."
"Tengok tu... sedapnya dia mengata orang!"
"Icha bukan mengata, Icha cakap yang betul saja, mak. Takkan Icha saja kena tunjuk muka manis, kena perangai elok-elok, abang tak payah! Icha pun nak juga senang hati tengok suami Icha. Biar orang kata, apa... sejuk mata memandang."
"Hisy! Dahlah, tak dak kerja mak nak layan Icha ni. Pi tidur lagi baik. Mak pun letih jugak, dah berminggu-minggu tak cukup tidur pasal dok fikir pasal anak mak yang nak kahwin."
Azizah bangun hendak berlalu. Jika hendak lawan bercakap dengan Arisa sampai pagi pun tidak habis.
"Mak..."
Panggilan Arisa mematikan tangan Azizah yang mahu menarik tombol pintu bilik Arisa. Wajah Arisa terus ditatap.
"Terima kasih pasal dah lahirkan Icha dan dah besarkan Icha elok-elok macam ni. Terima kasih juga pasal mak dah kahwinkan Icha. Bukan dengan calang-calang orang, dengan anak raja pulak tu."
Azizah yang mulanya rasa terharu terus mencerlung kepada Arisa. Dalam serius sempat juga anaknya itu buat lawak. Tanpa kata, pintu terus ditutup Azizah dan dia beredar ke biliknya.

ANDA SEDANG MEMBACA
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...